
SEORANG remaja perempuan maut digilis sebuah treler ketika dalam perjalanan ke gerainya di Taman Tangga Batu Perdana, Melaka pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Nurnie Alisya Mohamed Noor, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi.
Christopher berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Tangga Batu ke gerainya di sebelah kanan Taman Tangga Batu Perdana untuk berniaga nasi kerabu.
BACA LAGI: 'Lagi jahat dari syaitan', kartel jenazah jadikan warga asing 'jackpot' caj bayaran tak masuk akal
"Manakala treler dipandu lelaki berusia 43 tahun itu pula sedang bergerak dari arah Tangga Batu menghala ke Ayer Keroh.
"Motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah kiri jalan cuba memotong treler yang bergerak dari Tangga Batu ke Ayer Keroh.
"Disebabkan itu, berlaku perlanggaran antara motosikal dengan treler itu hingga menyebabkan penunggangnya maut digilis di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk mengesan saksi bebas dan kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Lebih memilukan apabila melihat reaksi keluarga mangsa di lokasi kejadian.
Menerusi video tular di media sosial, seorang wanita dan lelaki bersama kanak-kanak perempuan dipercayai ahli keluarga mangsa dilihat menangis teresak-esak apabila melihat jasad Nurnie Alisya yang tidak bernyawa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram