Keputusan rayuan Syed Saddiq diketahui 24 April


Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan iaitu bersubahat dalam kes pecah amanah jenayah, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram.

MAHKAMAH Rayuan Petaling Jaya, Selangor menetapkan 24 April ini bagi keputusan rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman atas empat kes subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan Syed Saddiq.

Beliau berkata, mahkamah akan mengambil masa untuk meneliti hujahan daripada kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan.

BACA LAGI : Hadir beri sokongan di mahkamah, Syed Saddiq anggap Bella wanita luar biasa

BACA LAGI : 'Untung rakyat Muar dapat YB function', peruntukan bakal diterima Syed Saddiq beri manfaat menjelang Aidilfitri

"Tarikh akan ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan," katanya pada Khamis. 

Terdahulu, pihak pendakwaan menyambung hujahan mereka yang kemudiannya dijawab oleh pasukan pembelaan.

Untuk rekod, pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi mendapati Ahli Parlimen Muar itu bersalah atas empat pertuduhan iaitu bersubahat dalam kes pecah amanah jenayah, penyelewengan dana dan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM1.2 juta.

Beliau dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas semua pertuduhan tersebut.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan RM1 juta dana milik sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), untuk melakukan pecah amanah dengan menyeleweng dana terbabit.

Bagi pertuduhan kedua, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa menyeleweng wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan mengarahkan Rafiq untuk melupuskan wang tersebut.

Selain itu, beliau turut berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan dua transaksi masing-masing sebanyak RM50,000 yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram, daripada akaun Maybank Islamic Bhd miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera. — The Star/ JUNAID IBRAHIM dan ARFA YUNUS

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram