
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan ucapan penghargaannya kepada penyanyi dan pelakon kelahiran Sabah, Bella Astillah atas kehadirannya di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Rabu sebagai tanda sokongan terhadapnya.
Memetik laporan The Star, beliau menyifatkan ibu kepada dua orang anak itu sebagai seorang wanita luar biasa.
BACA LAGI: Awas gejala endometriosis, mampu jadi musuh senyap wanita, risiko sukar hamil
"Terima kasih. Dia (Bella) wanita yang luar biasa dan saya terhutang budi," katanya ringkas.
Sebelum itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu tiba di mahkamah sekitar pukul 8.45 pagi dengan mengenakan sut hitam.
Beberapa minit selepas itu, kelibat Bella dilihat memasuki lobi mahkamah dengan mengenakan baju kurung cerah bercorak bunga.
Pada Selasa, Bella turut menitipkan semangat buat Syed Saddiq menerusi hantaran di Instagramnya.
"Doa orang ramai mengiringimu," tulisnya.
Untuk rekod, rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) didengar di hadapan panel tiga hakim pada Rabu.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta ke atas beliau selepas didapati bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.
Jika gagal membayar denda, beliau boleh dipenjara selama empat tahun.
Namun, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan penangguhan pelaksanaan semua hukuman dan mengekalkan syarat jaminan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram