[VIDEO] 'Elak insiden ngeri berulang, semua kenderaan perlu dipasang alat khas had kelajuan'


  • Massa
  • Rabu, 16 Apr 2025

Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam nahas melibatkan dua buah lori di Lebuhraya PLUS pada Selasa.

SEORANG lelaki maut selepas kenderaan Perodua Myvi yang dipandunya dirempuh sebuah lori muatan tiga tan yang hilang kawalan di Kilometer 242, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Senawang, Negeri Sembilan pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tercampak keluar dari kenderaan Myvi miliknya akibat impak kuat pelanggaran.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang, PKPgB Mohd Narul Ikram Mohd Nor berkata, kejadian melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori muatan konkrit 10 tan, sebuah lori tiga tan tanpa muatan dan kereta mangsa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tangkap reman, dakwa segera', aksi mat rempit halang laluan di LPT undang kemarahan

BACA LAGI: [VIDEO] Polis JB reman pemandu mabuk rempuh maut 2 lelaki bantu mangsa kemalangan

"Siasatan awal mendapati lori tiga tan terbabit datang dari arah bertentangan sebelum terbabas dan merempuh kereta mangsa.

"Pemandu kedua-dua lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial menunjukkan lori terbabit hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan mangsa dengan laju, menyebabkan kereta berkenaan berpusing beberapa kali sebelum terbalik di lorong kanan.

Susulan daripada kejadian itu, ramai yang mendesak Kementerian Pengangkutan menjadi lebih tegas dan menuntut tindakan segera diambil bagi menangani insiden melibatkan kenderaan berat yang semakin membimbangkan.

"Sampai bila nasib orang tak bersalah nak jadi macam ni? Kerajaan perlu buat sesuatu, lagi lama dibiarkan lagi banyak nyawa melayang. Sekarang lori semua bawa laju!" kata seorang pengguna warga maya, Muhamad Hamdan.

Sementara itu, pengguna Facebook, Mohd Amin Ismail menyarankan agar had kelajuan lori dikawal secara automatik seperti dilakukan oleh sesetengah syarikat bas ekspres.

"Lori kena ada undang-undang untuk setting had kelajuan, sama ada bawa muatan atau tidak. Beberapa syarikat bas ekspres dah mula buat benda yang sama," tulisnya.

Seorang lagi warga maya Yatie Fauzie turut bersetuju dengan pendapat Mohd Amin.

"Banyak sangat kemalangan maut melibatkan lori. Kerajaan perlu tegas dan wajibkan kenderan berat membuat pemeriksaan Puspakom.

"Wajibkan semua kenderaan berat memasang alat khas penghad kelajuan (speed limiter)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram