[VIDEO] Sampai ke negara jiran buat hal, rider dirakam langgar lampu isyarat merah di Thailand


  • Tular
  • Rabu, 16 Apr 2025

Tangkap layar memaparkan sekumpulan penunggang motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran Malaysia melanggar sebuah lampu isyarat merah di Thailand.

RAKYAT Malaysia seharusnya menjaga nama baik negara ketika berkunjung ke negara jiran, lebih-lebih lagi apabila berada di tempat awam yang menjadi tumpuan pelancong.

Namun, sikap segelintir individu yang tidak bertanggungjawab mencetuskan rasa kecewa dan malu warga maya apabila tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan penunggang motosikal dipercayai warga Malaysia melanggar lampu isyarat merah di sebuah persimpangan di Thailand.

Video yang dimuat naik di laman Threads, nursophea_chu pada Selasa itu turut dikongsikan semula ke platform laman media sosial yang lain.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Elak insiden ngeri berulang, semua kenderaan perlu dipasang alat khas had kelajuan'

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tangkap reman, dakwa segera', aksi mat rempit halang laluan di LPT undang kemarahan

"Mengharumkan nama negara di tempat orang," tulisnya sinis.

Dalam rakaman berdurasi kurang seminit itu, tiga penunggang bersama pembonceng motosikal berkenaan dilihat tidak menghiraukan lampu merah yang sedang menyala.

 

 

 

Lebih memalukan lagi, mereka terus memecut melepasi persimpangan tanpa memperdulikan kenderaan lain yang sedang berhenti.

Aksi itu bukan sahaja membahayakan mereka, malah turut mengundang risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

Insiden dipercayai berlaku di kawasan pelancongan popular di selatan Thailand dan dirakam oleh penduduk tempatan.

Turut kedengaran suara si perakam dipercayai penduduk tempatan menyebut Malaysia sebanyak tiga kali sambil merakam video berkenaan.

Berdasarkan nombor pendaftaran yang jelas kelihatan, motosikal terbabit didaftarkan di Malaysia, sekaligus menguatkan spekulasi bahawa penunggang terbabit merupakan rakyat negara ini.

Rata-rata netizen mengecam tindakan rider berkenaan yang dianggap mencemarkan nama baik Malaysia di mata negara jiran.

"Datang negara orang bawak perangai macam ini, nanti semua rakyat Malaysia dipandang serong,” tulis seorang pengguna Facebook Hakim Rahman.

Setakat ini, pihak berkuasa Thailand belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut,.

Dalam pada itu, ramai pengguna jalan raya menyeru agar rakyat Malaysia lebih berdisiplin ketika berada di luar negara dan tidak mengambil mudah soal keselamatan serta pematuhan undang-undang tempatan.

Tindakan sebegitu bukan sahaja mengundang risiko kemalangan, malah boleh mencalarkan imej negara di mata dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram