
SEPANJANG lebih sedekad lalu, ekosistem restoran tempatan menyaksikan perkembangan peningkatan bilangan restoran mencari untuk mendapatkan pensijilan halal.
Malah, data daripada Portal Halal Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan kini terdapat lebih 11,500 premis makanan yang disahkan halal di negara ini.
Pertumbuhan itu berpunca daripada pelbagai faktor dengan sebahagian besarnya didorong permintaan dan keperluan pengguna yang berubah-ubah serta pengiktirafan terhadap potensi pasaran halal.
BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah
Mengisi jurang dalam pasaran
Bagi pengasas rangkaian restoran Jepun, Nippon Sushi, Siti Noraini Nuawi yang mempunyai 20 cawangan di Malaysia, kepentingan mendapatkan pensijilan halal adalah satu keperluan yang tidak boleh disangkal lagi.
Sebagai usahawan yang sentiasa proaktif, Noraini pantas menyedari mengenai pasaran permintaan untuk makanan Jepun yang diperakui halal.
Trend tersebut menurutnya sama sekali tidak ketara ketika beliau mula mengoperasikan jenama tempat makannya lapan tahun lalu.
Menyedari potensi pasaran belum diterokai, beliau meneruskan rancangan untuk melancarkan rangkaian sushi Jepun disahkan halal.
Kepentingan sijil halal mula mendapat tempat dalam kalangan pengusaha restoran di Malaysia sejak sedekad lalu. — Gambar hiasan
“Saya memulakan Nippon Sushi enam tahun lalu pada 2018 di Bandar Baru Bangi. Jadi semasa saya mula-mula beroperasi, saya tahu dari awal antara nilai mahu ditonjolkan untuk jenama saya iaitu ia mestilah disahkan halal.
“Sebab pada masa itu, kebanyakan restoran Jepun sama ada di bawah kategori bebas daging babi atau mesra Muslim sahaja.
"Jadi saya melihat jurang dalam pasaran untuk makanan Jepun yang disahkan halal kerana saya tahu saya tidak boleh melawan dengan rangkaian jenama sushi yang besar melainkan saya mempunyai titik perbezaan.
"Bagi saya, itu bermakna mendapat sijil halal,” katanya.
Noraini kemudiannya membuka jenama restoran lain termasuk MyViets, yang merupakan restoran Vietnam disahkan halal dan kini mempunyai 14 cawangan sementara Shabu-Yaki, sebuah kedai makan bufet shabu-shabu viral miliknya kini mempunyai enam cawangan seperti namanya.
Bagi Tan Jay Wvin pula, memilih untuk menjalankan restoran yang diperakui halal bukanlah sesuatu yang ada dalam perniagaan diusahakan oleh keturunan keluarganya.
Jay Wvin dan bapanya mengusahakan kedai makan terkenal di Petaling Jaya, iaitu Green View, yang sudah wujud selama lebih 30 tahun.
Restoran Cina milik keluarga itu terkenal dengan sang har mee (mi udang air tawar) dan hidangan makanan laut lain.
Bagaimanapun, restoran terbabit tidak menyediakan hidangan yang mesra muslim.
Situasi itu mendorong Jay Wvin untuk membuka rangkaian baharu di Green View yang diperakui halal, dikenali sebagai Galah Gala di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur yang turut menyajikan sang har mee dan hidangan gaya Cina lain, namun diperakui halal.
Jay Wvin (kanan) bergambar di hadapan jenama restoran baharunya, Galah Gala.
“Saya akan katakan pasti ada permintaan untuk hidangan sebegini.
“Saya selalu fikir ada pelanggan yang ingin mencuba makanan kami tetapi tidak dapat menikmatinya di Green View kerana di situ, kami menghidangkan daging khinzir dan alkohol.
“Terdapat restoran Cina bebas daging khinzir dan bebas alkohol tetapi sangat sedikit pengusaha restoran Cina Malaysia disahkan halal.
“Permintaan untuk makanan Cina semakin meningkat – anda lihat banyak jenama makanan Muslim China masuk dan segmen itu sangat popular – kadangkala terdapat barisan pelanggan beratur di luar kedai!
“Saya rasa sebagai orang Cina Malaysia, kami mempunyai resipi buatan sendiri yang unik.
"Terdapat permintaan untuk ini juga, yang boleh kami manfaatkan kerana kami boleh memenuhi keperluan semua orang sekarang," kata Jay Wvin.
Keyakinan Jay Wvin terhadap potensi Galah Gala dicerminkan dengan langkahnya membuka sebuah lagi cawangan rangkaian restoran itu di KL East Mall, yang kini dalam proses mendapatkan sijil halal.
Dalam pada itu, perkembangan tersebut turut mencetuskan impak signifikan termasuk terhadap jenama restoran antarabangsa yang cepat menerima trend dan permintaan semakin meningkat untuk restoran disahkan halal.
Antaranya termasuk rangkaian restoran ayam goreng Korea KyoChon yang sudah wujud di Korea Selatan sejak 1991 dan kini mempunyai lebih 1,400 kedai di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif KyoChon Malaysia, Terry Goh berkata, apabila jenama itu memasuki pasaran Malaysia hampir lapan tahun lalu, matlamat pertama adalah untuk mendapatkan pensijilan halal.
“Kami adalah restoran ayam goreng Korea pertama dari Korea Selatan yang mendapat pensijilan halal dan itu adalah matlamat kami apabila kami memasuki pasaran Malaysia kerana Malaysia mempunyai peratusan Muslim besar dan pensijilan halal dipandang tinggi.
“Di restoran kami, 70 peratus pelanggan kami adalah Melayu Islam. Jadi penting bagi kami untuk mendapat pensijilan halal,” jelas Terry.
Ketua Pegawai Eksekutif KyoChon Malaysia, Terry Goh.
Sementara itu, Noraini mengakui langkah untuk mendapatkan pensijilan halal bukan satu proses yang mudah.
“Sudah tentu ada cabaran untuk mendapatkan sijil halal kami.
"Kadang-kadang ia semudah dokumen yang tidak lengkap manakala pada masa lain, ia adalah fakta bahawa kami menggunakan tong sampah yang salah di dapur.
"Tetapi ia telah menjadi keluk pembelajaran yang sangat baik, "katanya.
Walaupun selepas mendapat pensijilan halal, Noraini berkata, satu standard tinggi perlu dipastikan dan dikekalkan secara berterusan, termasuk pengenalan menu baharu meliputi menu ketika perayaan untuk kelulusan kepada Jakim.
Dengan jumlah restoran dimilik wanita itu, langkah memastikan agar sijil halal setiap restoran diperbaharui pada masa ditetapkan adalah tugas penting.
Untuk rekod, sijil halal biasanya dikeluarkan dan sah untuk tempoh dua tahun.
“Banyak yang perlu dilakukan oleh eksekutif halal melibatkan proses dokumentasi.
"Mereka perlu sentiasa peka terhadap pembaharuan sijil halal untuk semua 40 cawangan dan juga memastikan setiap cawangan mengekalkan piawaian ditetapkan Jakim.
"Ia tidak mudah tetapi saya tidak pernah berputus asa, kerana saya tahu akhirnya, mendapatkan sijil halal adalah baik untuk saya dan baik untuk pengunjung yang datang ke restoran saya.
"Pada asasnya, ia baik untuk semua orang,” kata Noraini.
Hidangan masyarakat kaum Cina diperakui halal semakin mendapat tempat di dalam negara. — Gambar hiasan
Sementara itu, bagi Jay Wvin, langkah mengubah resipi turun-temurun milik keluarganya yang berusia 30 tahun kepada versi halal mungkin merupakan halangan terbesar terpaksa diatasinya kerana pendiriannya yang tidak mahu menjejaskan reputasi baik telah dibina oleh jenama Green View.
Namun, transformasi terbabit tetap dilaksanakan dengan melihat kepada penyediaan hidangan yang mengekalkan inti pati resipi di samping beberapa perubahan diperlukan.
“Resipi asal untuk sang har mee di Green View memerlukan air rebusan premium dimasak selama lebih enam jam.
"Air rebusan itu mengandungi daging khinzir dan wain beras Cina, jadi cabaran bagi kami di Galah Gala adalah untuk mencipta air rebusan baharu.
“Kami melalui enam atau tujuh versi dalam proses R&D kami untuk mencuba dan mendapatkan rasa sehampir mungkin dengan yang asal.
"Kami bukan sahaja menukar resipi, kami menukar kaedah memasak kami!
“Sekarang ini, saya akan katakan hidangan itu tidak 100 peratus sama dengan asal tetapi setiap satu mempunyai rasa berbeza.
"Di Galah Gala, sang har mee kami mempunyai rasa autentik, tulen dan sesetengah orang sebenarnya lebih suka versi ini,” kata Jay Wvin. — The Star/ABIRAMI DURAI