Hanya jual satu produk, 5 syarikat global raih untung cecah bilion ringgit


  • Bizz
  • Selasa, 11 Mac 2025

Walaupun dengan hanya satu jenis produk terdapat syarikat boleh meraih keuntungan luar biasa sehingga mencecah nilai bilion ringgit.

BAGI kepercayaan lazim, mungkin sukar membayangkan bahawa sesebuah syarikat boleh mencapai keuntungan jutaan ringgit hanya dengan menjual satu jenis produk.

Ia berikutan dalam dunia perniagaan terdapat tekanan dari semasa ke semasa keperluan mempelbagaikan produk bagi mengembangkan ke pasaran baharu untuk meningkatkan pendapatan perusahaan. 

Namun, beberapa syarikat di seluruh dunia berjaya membuktikan bahawa itu bukan satu-satunya cara untuk mencapai matlamat berkenaan.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGI: Status agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

Buktinya, terdapat beberapa jenama menunjukkan walaupun dengan hanya satu jenis produk, mereka mampu meraih keuntungan luar biasa sehingga mencecah nilai bilion ringgit.

1. Crocs

Ciri keselesaan menjadi faktor utama kepada populariti Crocs dalam kalangan pengguna global. — Agensi

Crocs Inc. diasaskan pada 2002 oleh tiga rakan, George Boedecker Jr., Lyndon Duke Hanson dan Scott Seamans di Boulder, Colorado, Amerika Syarikat (AS).

Mereka pada awalnya mencipta kasut jenis clog yang merujuk kasut tapak tebal dan keras diperbuat daripada bahan Croslite, bahan sintetik ringan, selesa dan tahan lama.

Meskipun fasa awal Crocs dilihat agak aneh dalam kalangan pengguna, namun keselesaan ketika menyarungnya membuatkan kasut jenama berkenaan menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna dari pelbagai lapisan masyarakat seantero dunia.

​Pada 2024, Crocs Inc. mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak AS$4.1 bilion (RM18.86 bilion), meningkat 4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

2.Red Bull

Red Bull merupakan pengeluar minuman bertenaga diasasaskan pada 1987. — Agensi

Red Bull diperkenalkan pada 1987 oleh dua pengasas, Dietrich Mateschitz dari Austria dan Chaleo Yoovidhya pula berasal dari Thailand.

Konsep asal Red Bull tercetus daripada idea Mateschitz yang ingin membawa minuman tenaga popular di Thailand, Krating Daeng ke pasaran global.

Dengan bantuan Yoovidhya, mereka menyatukan formula Krating Daeng dengan reka bentuk dan pemasaran lebih sesuai untuk pasaran antarabangsa.

Red Bull bukan sahaja dikenali kerana minuman tenaga, tetapi disusuli inovasi dalam pemasaran dan strategi perniagaan.

Ia berjaya mencipta satu gaya hidup menghubungkan jenama mereka dengan sukan ekstrem, acara besar dan dunia hiburan.

​Pada 2023, Red Bull dilapor mencatatkan pendapatan global sebanyak €10.554 bilion (RM51.5 bilion).

3. Birkenstock

Birkenstock asalnya merupakan pengeluar kasut ortopedik. — Agensi

Birkenstock syarikat kasut dari Jerman diasaskan oleh Johann Adam Birkenstock pada 1774 dan terkenal dengan reka bentuk sandal ergonomik serta keselesaan tersendiri.

Pada asalnya, ia menumpukan kepada pembuatan kasut ortopedik atau kesihatan.

Bagaimanapun, jenama tersebut mula popular sejak 2000 apabila memperkenalkan reka bentuk sandal dengan tapak kaki berbentuk anatomi yang bantu memberi sokongan terbaik kepada kaki.

Selain itu, Birkenstock juga berinovasi dengan pelbagai jenis rekaan dan material lalu menjadikan produk mereka tidak hanya selesa, namun juga bergaya.

Pada 2021, Birkenstock tersenarai di pasaran saham AS melalui penawaran awam permulaan (IPO), dengan nilai syarikat mencapai sekitar $4 bilion (RM18.4 bilion).

4. Sriracha

Sriracha chili sauce is produced at the Huy Fong Foods factory in Irwindale, Calif. CEO David Tran has been at odds with the local City Council over the smells emitted by the sauce factory.

Sriracha terkenal dengan botol bungkusannya yang ikonik. — Agensi

Sriracha merupakan jenama sos cili yang mendapat populariti global dan berasal dari Thailand.

Nama 'Sriracha' diambil dari bandar Sriracha di Thailand, iaitu tempat asal sos ini dicipta.

Sos berkenaan diperbuat daripada bahan-bahan utama seperti cili, bawang putih, cuka, gula, dan garam. Sriracha mula mendapat populariti selepas ia dipasarkan oleh syarikat Huy Fong Foods diasaskan oleh David Tran, seorang imigran dari Vietnam yang tiba di AS pada 1979.

Sos Sriracha dihasilkan oleh Huy Fong Foods kemudiannya menjadi ikonik dengan botol plastik merah dan penutup hijau serta rasa pedas yang khas.

David dan Huy Fong Foods dianggarkan memiliki nilai kekayaan lebih AS$1 bilion (RM4.6 bilion).

5. Lego

Lego ditubuhkan pada 1932 di Billund, Denmark. — Lego

Lego adalah syarikat pengeluar mainan terkenal dengan blok binaan plastik boleh disambung untuk membina pelbagai struktur dan objek. Syarikat ini ditubuhkan pada 1932 di Billund, Denmark, oleh Ole Kirk Christiansen.

Pada mulanya, ia menghasilkan perabot kayu sebelum beralih kepada pembuatan mainan plastik pada 1949. Blok binaan Lego yang dikenali hari ini mula dicipta pada 1958 dengan sistem pengunci yang membolehkan blok-blok tersebut disambung dengan kukuh dan mudah.

Pada 2024, Lego adalah salah satu syarikat permainan terbesar dan paling berharga di dunia, dengan nilai pasaran dianggarkan sekitar AS$9 bilion (RM41.4 bilion). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram