
PADA 5 Mac lalu, seorang wanita berusia 108 tahun dari timur Jepun secara rasmi diiktiraf Guiness World Records sebagai tukang gunting rambut wanita tertua di dunia.
Menurut laporan agensi berita Kyodo, Shitsui Hakoishi dari Nakagawa, Wilayah Tochigi, menerima sijil pengiktirafan di tempat tinggalnya dengan jiran dan pelanggan turut hadir bagi meraikan pencapaian tersebut.
"Walaupun saya hidup penuh dengan kesusahan sejak muda, tetapi saya benar-benar gembira," katanya.
BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah
Hakoishi dilahirkan pada 10 November 1916, anak perempuan ketiga daripada lima beradik.
Kerana tubuh bersaiz kecil untuk menunggang basikal, beliau tidak dapat menghadiri sekolah menengah rendah kira-kira 8 kilometer dari rumahnya, lalu memutuskan untuk meneruskan kerjaya sebagai tukang gunting rambut atas saranan bapanya.
Hakoishi (kiri) ketika menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness sebagai tukang gunting rambut wanita tertua di dunia. — Agensi
Seorang jiran memperkenalkannya kepada kedai gunting rambut di Tokyo, yang mana beliau kemudiannya dilatih sebagai perintis dan memperoleh lesen gunting rambutnya pada 1936.
Pada usia 14 tahun, Hakoishi meninggalkan ibu bapanya untuk ke Tokyo.
Menurut Guiness World Records, di kota tersebut, beliau membuka kedai bersama suaminya yang juga seorang tukang gunting rambut, namun berpindah ke kampung halamannya selepas premis tersebut musnah dalam satu serangan udara ketika Perang Dunia Ke-2.
Hakoishi menunjukkan gunting yang kerap digunakannya untuk memotong rambut pelanggan. — Agensi
Selepas suaminya meninggal dunia dalam peperangan tersebut, beliau mendirikan sebuah kedai kecil di rumahnya sambil membesarkan dua anak yang masih kecil.
Pada Mac 2021, Hakoishi turut mengambil bahagian sebagai pembawa obor dalam acara larian obor Sukan Olimpik Tokyo.
Walaupun mengalami sakit lutut dan tidak lagi boleh menerima pelanggan seramai sebelum ini, beliau masih boleh menunjukkan kemahiran menggunting rambutnya setiap kali mendapat tempahan.
"Sesetengah orang mengembara dari jauh untuk melihat saya, jadi saya mahu meneruskan perjalanan selagi boleh," kata Hakoishi yang berkahwin bersama suaminya ketika berusia 24 tahun.
Hakoishi menunjukkan foto mendiang suaminya. — Agensi
Sementara itu, berkongsi rutin hariannya kepada LongeviQuest Japan, Hakoishi berkata, beliau melakukan senaman kendiri selama sejam, menjalani urutan limfa akupresur dan berjalan kaki.
Ujarnya, rutin yang dibuat bagi mencegah penuaan itu dimulakan ketika usianya mencecah 70 tahun.
Menerusi amalan tersebut, beliau akan mengurut titik tekanan pada telinga dan pelipis termasuk jari kakinya, melakukan senaman fleksibiliti untuk merehatkan seluruh badan sebelum berjalan 500 langkah di sekeliling rumah sambil menjerit "1, 2, 3..." sambil berjalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram