
DI tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur, tersembunyi sebuah galeri seni digital yang membawa pengunjung ke dunia cahaya, warna, dan ilusi. Immersify Kuala Lumpur yang terletak di The Labs, Bukit Bintang City Centre (BBCC) Kuala Lumpur menawarkan pengalaman seni unik melalui gabungan teknologi, bunyi, dan visual yang memukau.
Setibanya di pintu masuk, pengunjung terus seakan-akan dibawa masuk ke satu dunia baharu yang melangkaui imaginasi biasa.
BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah
Dengan ruang berkeluasan 30,000 kaki persegi, galeri seni digital tersebut mempunyai 11 zon berbeza, masing-masing menawarkan pengalaman unik lagi mengasyikkan.
Salah satu ruangan paling mengagumkan ialah Surreal World, iaitu zon seni bersudut 360 darjah dengan ketinggian skrin dua tingkat atau 12 meter pertama di Malaysia yang membawa pengunjung tenggelam ke dalam dunia seni digital.
Antara ruangan seni digital memukau yang menanti pengunjung immersify KL.
Tidak cukup dengan itu, terdapat 10 lagi zon lain yang unik termasuk Rimba Neon yang mana pengunjung dibawa meneroka ke tengah-tengah hutan belantara Malaysia yang indah bercahaya.
Mereka juga diperlihatkan sendiri dengan kepelbagaian hidupan liar di dalam negara dengan berlatarkan hutan hujan tropika yang bermandikan cahaya.
Di Kanvas Lautan, pengunjung boleh melakarkan kreativiti mereka dan menghidupkan karya seni di atas sebuah kanvas interaktif, dan menyaksikan kreativiti mereka ‘hidup’ berlatarbelakangkan dunia marin.
Sementara itu, Galeri Seni mempersembahkan karya pelukis terkenal termasuk Klimt, Monet dan Van Gogh melalui lensa berbeza, diselitkan dengan keajaiban cahaya dan bunyi.
Zon Galeri Seni yang memaparkan karya pelukis agung dunia.
Zon-zon lain di immersify KL ialah Taman Cahaya, Air Terjun Mistik, Memori Purnama, Taman Cahaya Bintang, Detik Berbalik, Jalan Ilusi dan Sinaran Prisma.
Perlu diingatkan, setiap satu daripada zon dibinatidak hanya dilengkapi dengan visual mengagumkan, tetapi juga efek bunyi dan suasana pastinya meningkatkan pengalaman pengunjung.
Immersify Kuala Lumpur merupakan galeri seni multidimensi pertama di Malaysia yang dibangunkan khas secara tetap.
Ia dibangunkan hasil usaha sama antara Bitgrim Immersify Group Sdn Bhd dan Eco World Development Group Bhd., dengan mereka membawakan kandungan teknologi kandungan bertaraf dunia di Korea Selatan ke Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Immersify (KL) Sdn. Bhd., Lee Moon Yub berkata, immersify KL berbesar hati untuk membawa kandungan terbaik dan pengalaman mengasyikkan untuk memperkayakan pengalaman seni dan budaya di ibu kota Kuala Lumpur.
Immersify Kuala Lumpur merupakan galeri seni multidimensi pertama di Malaysia yang dibangunkan khas secara tetap.
“Tarikan bertema seperti immersify KL menawarkan pengalaman pelancongan, pendidikan mendalam terbaik untuk semua orang daripada semua lapisan masyarakat.
"Sama ada anda datang ke sini bersama kawan, atau ahli keluarga dan anak-anak, pasti ada sesuatu untuk semua orang,” katanya.
Kehadiran immersify KL ke dalam ranah seni dan budaya ibu kota Kuala Lumpur ternyata memberikan satu penanda aras baharu terhadap pembangunan teknologi dikenali sebagai experiental design atau reka bentuk pengalaman.
Experiental design merujuk kepada proses mencipta pengalaman yang mendalam, interaktif dan bermakna bagi pengguna melalui gabungan teknologi, seni dan reka bentuk fizikal.
Ia bertujuan antara lain bagi melibatkan deria dan emosi pengguna, memberikan pengalaman yang lebih daripada sekadar penggunaan produk atau perkhidmatan. Dalam reka bentuk pengalaman, elemen-elemen seperti realiti maya (VR), realiti tambahan (AR), interaksi digital, dan instalasi seni interaktif digunakan untuk mencipta suasana yang mengagumkan dan merangsang.
Di zon Kanvas Lautan, pengunjung berpeluang melakar kreativiti dan menghidupkan karya seni di atas sebuah kanvas interaktif dan menyaksikan ia ‘hidup’ berlatarbelakangkan dunia marin.
Di Malaysia, penggunaan reka bentuk pengalaman semakin berkembang dengan pesat dalam pelbagai bidang.
Industri hiburan seperti taman tema, galeri seni, dan pameran interaktif semakin menggunakan teknologi terkini untuk menarik perhatian pengunjung.
Bagi mereka yang berminat untuk merasai pengalaman berkunjung ke immersify KL, tiket untuk individu berharga antara RM35 hingga RM68, bergantung kepada jenis pengalaman yang dipilih.
Untuk pakej keluarga (terhad kepada pemegang MyKad), harga bermula dari RM164, yang membolehkan beberapa ahli keluarga menikmati pengalaman tersebut pada harga lebih berpatutan.
Pakej keluarga terbabit memberikan peluang untuk seisi keluarga menikmati pengalaman immersif secara bersama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram