
BERTAHAN selama 10 tahun bagi sesuatu perniagaan bukanlah satu tempoh singkat, apatah lagi untuk terus konsisten mengecapi populariti dan keyakinan pelanggan.
Namun, itulah kejayaan dicapai jenama baju Melayu popular tempatan, Bulan Bintang yang menyambut sedekad pertama penubuhannya sejak 2015.
Meskipun boleh disifatkan sebagai pendatang baharu dalam dunia fesyen tanah air, tetapi ia tidak menghalang jenama itu bergerak pantas meletakkan diri antara peneraju utama dalam pasaran baju Melayu.
BACA LAGI: Inovasi meja ergonomik anak muda dari Pulau Pinang, tak gentar persaingan, teruskan legasi keluarga
BACA LAGI: Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan
Lebih menakjubkan, segala pencapaian diperoleh itu berjaya dilakukan di bawah teraju Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi yang baru berusia 28 tahun.
Kini, Bulan Bintang yang bermula dengan menjual sekitar 300 helai kurta pada 2015 sudah berkembang dan dianggarkan menjual lebih 1.3 juta helai pakaian pada musim perayaan kali ini.
Untuk mengetahui lebih lanjut perit-jerih dilalui usahawan muda itu, Majoriti menemui beliau di gudang syarikat tersebut terletak di Seri Kembangan, Selangor.
Usia tidak menghalang Azzim (enam dari kanan) mengusahakan perniagaan diminati sehingga dikenali antara peneraju utama pasaran baju Melayu di Malaysia.
1. Mencapai usia sedekad, adakah anda menjangkakan perniagaan ini berkembang sehingga ke tahap ini?
Kami bermula dengan menjual 300 helai kurta sebelum berkembang ke 500 hingga mencecah 2,000 helai.
Sebagai usahawan baru nak bermula tentunya saya ada cita-cita jadi besar untuk melihat Bulan Bintang sebuah perniagaan berjaya dan mampu gajikan ramai orang termasuk kawan-kawan. Waktu itu saya fikir alangkah gembiranya kalau boleh bekerja dengan sahabat.
Alhamdulillah, selepas 10 tahun saya berpeluang memiliki apa yang pernah dicita-citakan, gudang bersaiz besar dan lebih 300 staf.
2. Jumlah jualan pakaian kini sudah mencecah kira-kira 1.3 juta. Boleh kongsikan perbezaan dari segi mengendalikan ribuan kepada jutaan helai pakaian?
Tentunya cabaran menguruskannya sangat besar. Orang luar mungkin nampak seronok jual sejuta. Kalau untung satu baju RM2, dapat untung RM2 juta. Tapi, mereka tidak tahu dari segi operasi untuk mengendalikan stok memang susah.
Barang banyak, maka perlu sewa gudang lebih besar, tetapi bukan senang nak uruskannya (gudang besar).
Azzim sentiasa mahu tampil dengan idea luar biasa setiap tahun bagi memastikan jenama Bulan Bintang terus segar dalam kalangan masyarakat. — @meripergibulat
Dari segi sistem dan tenaga kerja juga rumit apabila stok semakin bertambah. Dulu menjual 300 helai atau 10,000 helai mungkin mudah.
Tapi, bagaimana untuk menjual 1 juta helai dalam masa kurang daripada 60 hari? Apatah lagi, perniagaan ini bermusim.
Begitu juga segmen pemasaran apabila jenama masih kecil kami buat apa yang ada. Kini pemasaran perlu dilakukan sehabis baik, shooting dan menganjurkan banyak acara.
Dulu saya buat bisnes ini sekadar minat, salah satu cara untuk pendapatan ekstra. Saya bermula pada usia 18, bermodalkan RM15,000 hasil wang yang dikumpul daripada menjual baju-T pada zaman sekolah dan semasa menuntut di Universiti Malaya.
Masa itu bisnes Bulan Bintang sebagai sumber pendapatan untuk saya pergi melancong dan beli kamera mahal.
Apabila jenama berkembang ia memberi kesan pada hidup saya dari segi masa termasuk waktu rehat sehinggakan berhari-hari saya berada di gudang. Boleh dikatakan, sebelum berkahwin, saya 'tinggal' gudang selama tiga tahun.
Kini paling awal pulang ke rumah pukul 4 pagi dan pukul 10 pagi kena masuk kerja semula. Beginilah rutin saya bertahun-tahun.
Ain Edruce (kanan) bersama suami, Amirul dan anak perempuan mereka, Soraya, menggayakan koleksi raya Bulan Bintang tahun ini. — Bulan Bintang
3. Bagaimana Bulan Bintang tampil dengan idea baharu setiap tahun khususnya dari segi pemilihan rekaan baju Melayu dan produk lain?
Secara peribadi saya ada satu mindset sentiasa dahagakan sesuatu dan ingin menghasilkan sesuatu yang luar biasa supaya ia boleh diingati orang ramai. Jadi, perkara itu yang membuatkan saya tidak berhenti, kekal proaktif dan idea akan muncul.
Kalau tanya perancangan tahun depan, jawapannya belum tahu lagi. Tapi yang pasti saya akan lakukan sesuatu yang luar biasa kerana ingin sentiasa jadi nombor satu dan peneraju dalam pasaran.
4. Apakah pengorbanan terbesar yang anda lakukan dan lalui untuk mengembangkanan jenama Bulan Bintang dalam tempoh sedekad ini?
Pengorbanan paling besar adalah dari segi masa bersama kawan-kawan, isteri dan keluarga. Semasa Bulan Bintang 'berjuang' untuk bermula kehidupan saya tak sama dengan kebanyakan rakan seusia.
Pada usia 18, hampir setiap minggu berulang-alik naik bas dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk tengok sample production di kilang.
Di situ, saya sudah korbankan masa remaja saya. Kalau tidak mengusahakan bisnes mungkin saya bermain futsal dengan kawan-kawan.
Gudang pakaian Bulan Bintang bertambah sibuk sepanjang bulan Ramadan.
Pada hujung minggu pula, saya dan isteri tiada masa ke luar atau melakukan aktiviti lain. Kami banyak menghabiskan masa di butik.
5. Apakah endgame ingin dicapai Bulan Bintang?
Bulan bintang ada satu moto sentiasa saya laungkan iaitu Make Baju Melayu Great Again dan untuk capai itu, saya rasa jauh lagi.
Banyak lagi perlu diusahakan dari segi peningkatan kualiti, perkhidmatan termasuk servis selepas jualan dan banyak lagi sehingga orang berasakan memakai baju Melayu bukan satu beban.
Tambahan pula, sebahagian besar individu menyifatkan apabila menyarungkan baju Melayu rasa panas dan tak selesa. Jadi, saya ingin menghasilkan koleksi baju Melayu yang selesa buat si pemakai.
Pada masa sama, orang tidak segan memakai baju Melayu ketika menghadiri mesyuarat ataupun ke pusat beli-belah.
Kalau tanya endgame Bulan Bintang pula, kami nak jadi seperti Uniqlo, namun niche pakaian kontemporari Muslim.
Sekarang ini pun kami sudah mula keluarkan rangkaian baju batik dan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pakaian seperti seluar dan item rakyat Malaysia gemar pakai. Insya-ALLAH, Bulan Bintang akan ke situ.
6. Nasihat anda untuk usahawan yang baru bermula meneroka bidang bisnes?
Pertama, usia bukan penghalang untuk anda mula berniaga, asalkan ia disusuli dengan impian. Saya sendiri berniaga pada usia 15 tahun membuat baju-T di sekolah.
Kedua, apabila ada cita-cita, kena ada keberanian untuk mula. Ketika saya bermula keadaan pasaran baju Melayu sudah tepu dengan pelbagai jenama besar.
Pun demikian, sekiranya saya tidak bermula ketika itu, mungkin sampai hari ini saya tidak menjadi seperti hari ini.
Ketiga, bermulalah dengan sesuatu yang kecil. Jangan kelam-kabut tengok jenama lain besar, jenama itu hebat, terus nak jadi sedemikian. Tak boleh. Segala benda adalah satu proses.
Apa dilihat pada Bulan Bintang sekarang ini adalah 10 tahun perjalanan. Sedekad lalu, saya rasa tiada pun nak ambil peduli, teringin tahu perjuagan dan kesukaran saya lalu. Jadi, dream big, just do and starts small. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram