[VIDEO] 'Tangkap reman, dakwa segera', aksi mat rempit halang laluan di LPT undang kemarahan


  • Tular
  • Selasa, 15 Apr 2025

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan mat rempit menghalang laluan pengguna jalan raya yang lain di LPT baru-baru ini.

MAT rempit, satu fenomena yang sering kali menimbulkan kontroversi dan kebimbangan dalam masyarakat.

Malah, ada dalam kalangan mereka terkenal dengan yang terkenal dengan kelakuan liar dan tidak bertanggungjawab di jalan raya sekali gus terus menjadi ancaman kepada keselamatan awam.

Terbaharu, tindakan sekumpulan penunggang motosikal beraksi berbahaya serta menyekat laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) mencetuskan kemarahan pengguna lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis didesak ambil tindakan khas terhadap ‘Sarjan Alang’, bimbang kalau terjadi kemalangan

BACA LAGI: [VIDEO] Polis JB reman pemandu mabuk rempuh maut 2 lelaki bantu mangsa kemalangan

Melalui satu perkongsian video di laman Facebook Bawang Channel pada Selasa itu memaparkan aksi berani mati para mat rempit yang bukan sahaja menunggang secara melulu tetapi turut menjadikan lebuh raya tersebut menjadi litar perlumbaan haram.

Lebih mengejutkan lagi, seorang lelaki dilihat turut memberi isyarat agar pengguna jalan raya yang lain memperlahankan kenderaan mereka sehingga menghalang laluan, demi memberi ruang kepada rakan-rakan mereka berlumba secara haram di lebuh raya berkenaan.

"Mat rempit sekarang makin mendonia (menjadi-jadi). Siap sekat jalan pengguna lain di LPT dia buat macam jalan tu mak bapak dia yang punya," tulis pentadbir laman Facebook berkenaan.

Dalam video yang dikongsikan itu turut memaparkan sekumpulan pemuda membanjiri lebuh raya berkenaan tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Tindakan mereka bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab yang boleh mengakibatkan kemalangan serius.

Malah, gejala mat rempit yang semakin berleluasa itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, tetapi juga mencerminkan cabaran besar dalam membentuk budaya pemanduan berhemah dan bertanggungjawab terutama dalam kalangan generasi muda.

Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna media sosial, Hilmi Mohd Yunus, menggesa agar pihak berkuasa tidak bertolak ansur dengan sekumpulan pemuda yang terbabit dengan lumba haram tersebut.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu segera menangkap, menahan reman serta mendakwa mereka yang terlibat tanpa kompromi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan mengesahkan kejadian terbabit. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan giat dilakukan.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pukul 4.52 pagi pada 12 April lalu yang mana terlihat seorang lelaki sedang menahan kenderaan di atas jalan raya bagi melepaskan perlumbaan motosikal haram di Lebuh Raya Pantai Timur tersebut.

"Orang ramai yang ada sebarang maklumat mengenai kejadian diminta memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Dalam rakaman video berdurasi dua minit yang tular menyaksikan seorang lelaki yang memakai baju hitam menahan kenderaan bagi memberi laluan kepada dua penunggang motosikal berlumba di laluan berkenaan.

Tambahnya, siasat dilakukan dengan usaha mengesan pemilik video dan mengesan nombor pendaftaran motosikal yang terlibat dalam kejadian berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram