
GAYA hidup golongan lelaki kini semakin berubah mengikut peredaran zaman, dipengaruhi oleh kemajuan teknologi, kebangkitan budaya pop, serta kesedaran terhadap keselesaan dan penampilan diri.
Jika suatu ketika dahulu lelaki sering dikaitkan dengan imej maskulin, kental dan ‘tahan lasak’, namun kini gambaran itu semakin kabur.
Manakan tidak, penampilan yang lebih lembut, dengan gaya hidup rapi dan ekspresi diri secara lebih 'outspoken' dan bebas kini menjadi norma baharu dalam kalangan generasi muda lelaki.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Tangkap reman, dakwa segera', aksi mat rempit halang laluan di LPT undang kemarahan
Perubahan itu nyata membentuk semula persepsi terhadap jati diri lelaki moden dan tidak dinafikan, turut mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat, terutama dalam kalangan generasi terdahulu yang membesar dengan nilai dan standard berbeza terhadap konsep kelelakian.
Satu hantaran di media sosial oleh seorang pengguna Facebook, Syafi’e Abdul Shukor, mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warga maya apabila dia meluahkan kebimbangannya terhadap gaya hidup dan penampilan generasi lelaki muda masa kini, khususnya mereka yang tinggal di ibu kota.
Dalam hantaran panjang yang mendapat pelbagai reaksi, Syafi’e mempersoalkan trend penggunaan kipas tangan mudah alih atau handheld portable fan yang semakin popular dalam kalangan lelaki muda ketika berjalan di tempat awam.
Syafi’e berkongsi pengalamannya semasa bersiar-siar di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur dan mendapati ramai lelaki muda kini dilihat membawa kipas tangan mudah alih dengan menyifatkannya senario pelik.
"Hari ini aku berkesempatan bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur. Aku lihat ramainya lelaki muda sekarang ini berjalan sambil membawa handheld portable fan,", tulisnya.
Syafi’e turut menggambarkan situasi di mana dia hampir menggeleng kepala apabila melihat seorang lelaki muda berjoging sambil memegang kipas tangan.
Malah, dia turut menyifatkan perkara tersebut sebagai perubahan yang agak sukar diterima kerana baginya, zaman dulu lelaki dididik untuk menjadi lasak dan maskulin, bukan hanya mengutamakan keselesaan diri semata-mata.
"Zaman aku, lelaki telah diajar dan dididik agar lebih lasak dan maskulin. Lelaki biarlah dia berpeluh lencun,” katanya, sambil menekankan pentingnya menjaga kebersihan tubuh meskipun aktif secara fizikal.
Lelaki sinonim dengan imej lasak dan maskulin. —Gambar hiasan/JanaanAI
Namun begitu, Syafi’e mengakui bahawa mungkin pandangannya dipengaruhi oleh nilai-nilai zaman dahulu, dan dia terbuka untuk bermuhasabah diri jika trend berkenaan dianggap wajar oleh generasi muda kini.
Syafi’e juga mencetuskan soalan kepada pengikutnya tentang adakah dia seorang sahaja yang berpendapat sedemikian atau perkara itu merupakan tanda perubahan zaman yang perlu diterima.
“Kalau aku seorang sahaja yang rasa macam ini, aku memang kena betulkan balik perspektif aku dan kena bermuhasabah balik,” tulisnya sambil menunjukkan keinginan untuk memahami pandangan orang lain.
Luahan Syafi’e itu turut menggambarkan jurang antara generasi dalam menilai norma baharu gaya hidup lelaki moden.
Ada yang menyokong pandangan Syafi’e, sementara ada juga yang mempertahankan hak individu untuk memilih keselesaan dan ekspresi diri masing-masing tanpa perlu dihakimi berdasarkan piawaian tradisional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram