
NIAT murni seorang lelaki yang berhenti untuk membantu seorang penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan maut bertukar tragedi apabila mangsa maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki di bawah pengaruh alkohol di Johor Bahru, Johor pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, insiden menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 2.10 pagi di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi.
Menurut beliau, kemalangan pertama melibatkan sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang lelaki dipercayai warga Myanmar dalam lingkungan usia 30-an.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Umi pergi sebagai tetamu ALLAH, dijemput di tanah paling mulia'
Mangsa dipercayai sedang melalui lorong kanan dari arah Johor Bahru menuju ke Taman Setia Tropika sebelum hilang kawalan ke atas motosikalnya.
"Penunggang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke atas jalan. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
NIAT murni seorang lelaki yang berhenti untuk membantu seorang penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan maut bertukar tragedi apabila mangsa maut selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki di bawah pengaruh alkohol di Johor Bahru, Johor pada Ahad. pic.twitter.com/KLd7ZhJyfz
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) April 13, 2025
Sejurus selepas kejadian, Mohd Taufik Ariff Sariff, 37, yang menyaksikan kemalangan tersebut berhenti untuk membantu dengan mengawal aliran trafik bagi mengelakkan kenderaan lain melanggar mangsa sementara menunggu bantuan tiba.
Bagaimanapun, ketika sedang membantu di lokasi kejadian, sebuah kenderaan jenis BMW yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia 25 tahun melanggar mangsa.
"Impak perlanggaran itu menyebabkan Mohd Taufik mengalami kecederaan dalaman yang serius dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," kata Mohd Sohaimi.
Jelas beliau lagi, pemandu kereta tersebut hanya mengalami kecederaan ringan di muka namun hasil pemeriksaan mendapati dia berada di bawah pengaruh alkohol semasa kejadian.
"Suspek ditahan dan pihak polis memperoleh perintah reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang merangkumi kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu serta memandu di bawah pengaruh alkohol.
Mohd Sohaimi turut menggesa semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang lalu lintas dan sentiasa mengambil serius aspek keselamatan semasa memandu, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
"Memandu di bawah pengaruh alkohol bukan sahaja satu kesalahan berat, malah membahayakan diri sendiri dan orang lain," tegasnya.
Orang awam atau mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pihak polis di talian 07-386 4222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular satu video orang awam mengejar pemandu yang dipercayai merempuh suspek di lokasi kejadian.
Difahamakan, pemandu mabuk tersebut berjaya ditahan beberapa kilometer dari lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram