Bermula di Langkawi, TixCarte bantu PKS pelancongan seluruh negara redah arus digitalisasi


  • Bizz
  • Rabu, 16 Apr 2025

Parthiven berkata, TixCarte dimulakan untuk menangani kekurangan kritikal penyelesaian digital untuk perniagaan pelancongan berskala kecil dan sederhana Malaysia.

TEMPAT tarikan yang terdapat di seluruh Malaysia memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi khususnya industri pelancongan negara.

Bagaimanapun, sebahagian destinasi tumpuan terbabit dilapor menghadapi cabaran untuk menarik pelancong akibat jurang digital dalam operasi mereka.

Situasi itu berpunca antara lain akibat daripada keterbatasan infrastruktur digital, kekurangan kemahiran dan ketidaksediaan pengusaha untuk beralih daripada cara tradisional kepada digital.

BACA LAGI: 3 tahun 'berumah' di gudang, turun naik bas Ipoh ke KL, jerih perih sedekad Azzim demi Bulan Bintang

BACA LAGI: Bukan sukan mahal, bekas atlet tenis profesional negara teroka potensi pickleball di Malaysia

Menyedari mengenai perkara tersebut, penyedia penyelesaian tiket digital perniagaan-ke-perniagaan (B2B), TixCarte kini merancakkan usaha membantu tempat tarikan pelancong bagi merapatkan jurang tersebut.

TixCarte menghubungkan aktiviti, pengalaman dan tempat tarikan kepada agensi pelancongan dalam talian dan pasaran melalui sistem pemasaran platform dipacu awan proprietarinya.

Excavations since 1917 have unearthed signs that the caves in the Gua Kajang complex in Lenggong were inhabited as long as 11,000 years ago. — Tourism Malaysia

Sebahagian destinasi tumpuan terbabit dilapor menghadapi cabaran untuk menarik pelancong akibat jurang digital dalam operasi mereka. — Gambar hiasan

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas TixCarte, Parthiven Shan berkata, perniagaan itu dimulakan untuk menangani kekurangan kritikal penyelesaian digital untuk perniagaan pelancongan berskala kecil dan sederhana Malaysia.

"Banyak tarikan tempatan bergantung pada proses manual untuk menjana tiket apabila bekerja dengan agensi pelancongan rakan kongsi dan platform.

“Ia memerlukan banyak masa dan proses yang renyah untuk memuktamadkan tempahan bagi aktiviti seperti pelayaran matahari terbenam, menaiki bot dan lawatan.

"Jika anda ingin menjual tiket anda melalui platform perdagangan sosial, kaedah seperti mencetak buku kecil baucar fizikal tidak lagi diperlukan," ujarnya.

Selain itu, tanpa bantuan platform digital, beliau berkata, perniagaan pelancongan mempunyai tahap keterlihatan dan kehadiran dalam talian yang terhad.

TixCarte bermula di Langkawi, Kedah sebagai penyedia tiket dalam talian untuk tarikan tempatan, terutamanya Kereta Kabel Langkawi milik kerajaan.

Apabila perniagaannya berkembang, ia menjadi semakin jelas bahawa penyelesaian digital diperlukan pada skala yang lebih luas di seluruh industri.

Pendedahan itu akhirnya membantu mengembangkannya ke seluruh negara, sekali gus memberi perkhidmatan kepada peniaga dan rakan kongsi di setiap negeri.

Hari ini, lebih 600 tarikan di seluruh Malaysia menggunakan penyelesaian TixCarte.

"Daripada mengendalikan 1,000 tiket semasa kami mula, kami kini memproses lebih 500,000 setiap tahun," kongsi Parthiven.

Peniaga pelancongan terlibat terdiri daripada penyedia aktiviti berskala kecil seperti kenderaan lasak dan pengendali pantai, kepada taman tema ternama seperti Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun.

Platform tiket B2B TixCarte memudahkan pengendali menguruskan saluran pengedaran tiket bagi perkhidmatan pelancongan mereka.

Pengendali platform boleh menerima serta-merta, mengesahkan dan menerima e-tiket daripada penjual semula, dan menjejaki pesanan, penebusan, pembayaran dan tetapan dengan kesemuanya dibuat dalam satu papan pemuka.

Inteview with CEO of TixCarte, Parthiven Shan. — SAMUEL ONG/The Star

Parthiven (enam dari kanan) berkata, TixCarte memproses lebih 500,000 setiap tahun.

Penjual semula tiket dan rakan kongsi platform pelancongan mempunyai kaedah cekap menjual tiket bagi ribuan tarikan, dengan ciri seperti tiket tarikh fleksibel, caj pembatalan 0 peratus dan tanpa deposit keselamatan.

Selain itu, sistem tiket kod QR turut menyelesaikan isu kerumitan menyediakan tiket bercetak dan mengurangkan risiko penipuan dan tiket pendua.

Parthiven berkata, berbeza dengan syarikat lain, TixCarte mempunyai pemahaman mendalam tentang keperluan pelancongan tempatan dan inovasi teknologi.

"Walaupun terdapat platform penyelesaian tiket lain, kami unik dalam memberi tumpuan khusus kepada tarikan dan pengalaman pelancongan.

“Kami juga berbangga menjadi salah satu daripada segelintir penyedia yang menyampaikan integrasi mendalam dari hujung ke hujung melalui API (antara muka pengaturcaraan aplikasi) kami.”

Dengan penyelesaian Full Stack API TixCarte, penjual semula tiket mempunyai akses kepada model penyepaduan lengkap dengan API untuk penyenaraian produk, penjanaan pesanan, penebusan dan ulasan.

Syarikat itu baru-baru ini melancarkan EasyTix, penyelesaian digital komprehensifnya yang membolehkan tempat tarikan menguruskan ekosistem tiket mereka sendiri.

"Ia adalah penyelesaian pertama yang memberikan tarikan kawalan sepenuhnya ke atas pengedaran dan harga mereka merentasi semua saluran jualan," katanya.

EasyTix beroperasi pada SaaS, iaitu perisian sebagai perkhidmatan, dengan model langganan atau penetapan harga berasaskan transaksi, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti dan membolehkannya menawarkan perkhidmatan kepada rangkaian pelanggan lebih luas.

Platform tiket B2B TixCarte memudahkan pengendali menguruskan saluran pengedaran tiket bagi perkhidmatan pelancongan mereka.

“Ini termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi dilema biasa: penyelesaian mahal atau terlalu banyak ciri yang tidak perlu.

"Kami mahu membangunkan produk yang lebih ringkas dan boleh disesuaikan untuk mereka, " kata Parthiven.

Berdasarkan data TixCarte, tarikan yang menggunakan penyelesaiannya dilapor menyaksikan peningkatan purata 40 peratus dalam keterlihatan di platofrm talian dan peningkatan 25 peratus bagi tempahan awal.

Bagaimanapun, Parthiven mengakui pihaknya berdepan cabaran untuk meyakinkan perniagaan dan pengendali yang lebih kecil untuk mendigitalkan operasi jualan tiket dan perkhidmatan disediakan mereka.

“Mereka bimbang penggunaan penyelesaian digital akan menjadi mahal. Walaupun kebimbangan itu tidaklah sepenuhnya salah, kami mempunyai penyelesaian yang memerlukan sedikit atau tiada pelaburan awal kerana kami benar-benar percaya pada impak jangka panjang,” jelasnya.

TixCarte menyasarkan untuk mendigitalkan 200 tempat tarikan di Malaysia menjelang akhir 2025, dengan penekanan pada memperkasakan PKS pelancongan yang membentuk majoriti sektor pelancongan negara.

“Ini amat penting kerana negara bersiap sedia untuk Melawat Malaysia 2026, yang mana kesediaan digital akan menjadi kunci untuk mengendalikan peningkatan jumlah pelancong,” tambah Parthiven.

Beliau mendedahkan syarikat itu juga sedang meneroka pengembangan ke pasaran Asia Tenggara seperti Thailand.

“Kami mengekalkan tumpuan kami untuk melayani perniagaan pelancongan tempatan dan menyokong kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka di rantau ini,” ujarnya. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram