
DALAM tempoh dua tahun, populariti sukan pickleball menunjukkan peningkatan drastik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Hal ini turut dibantu dengan pembukaan lebih banyak pusat menyediakan kemudahan gelanggang bagi aktiviti tersebut.
Fenomena itu juga dapat dilihat khususnya di sekitar Lembah Klang.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Antara terawal menyediakan gelanggang tersebut ialah ESM Pickster Club di Kuala Lumpur, berdekatan Universiti Malaya (UM).
Mempunyai tujuh buah gelanggang dikhususkan untuk pickleball, pusat sukan dimiliki oleh firma sukan, ESM Internationale Sdn. Bhd., diasaskan bekas atlet tenis profesional negara, Mohd Faizal Othman berusia 41 tahun.
Mohd. Faizal merupakan bekas pemain tenis profesional negara.
"Saya diperkenalkan terhadap sukan ini daripada seorang rakan sekitar Ogos 2023. Apabila cuba bermain, saya terus meminati aktiviti (pickleball) ini.
"Saya rasa sukan ini diperlukan di Malaysia cuma ketika itu tidak banyak pusat menyediakan gelanggang ini kerana masih sesuatu yang baharu.
"Disebabkan itu, saya terus belajar semua perkara mengenai sukan ini sebelum mencari tempat dan membuka ESM Pickster Club pada November 2023," kongsinya kepada Majoriti.
Pickleball merupakan sukan menggabungkan elemen tenis dan pingpong. Ia dimainkan di gelanggang bersaiz hampir sama seperti badminton.
Dengan menggunakan kayu pemukul seperti pingpong dan bola plastik berlubang, cara permainannya juga ringkas menyebabkan aktiviti itu digemari ramai terutamanya generasi muda.
Potensi
Dalam pada itu, Mohd. Faizal melihat pickleball mempunyai potensi cukup tinggi untuk berkembang di Malaysia dan menafikan tanggapan ramai yang menyifatkan sukan tersebut bukan sukan profesional.
Malah katanya, sistem penarafan universal untuk pickleball, Dynamic Universal Pickleball Rating (DUPR) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) turut meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga paling pantas berkembangnya sukan tersebut.
ESM Pickster Club terletak berdekatan Pusat Sukan UM. — ESM Pickster Club
"Kalau di peringkat global, pickleball sudah diiktiraf sukan profesional.
"Cuma mungkin di Malaysia ia masih dalam proses untuk berkembang," katanya.
Untuk jangka masa panjang, Mohd. Faizal berpandangan adalah tidak mustahil sukan berkenaan berkembang sehingga mencapai tahap sama seperti sukan badminton yang kian popular dalam kalangan rakyat di negara ini.
"Bagi mereka yang belum pernah mencuba berkemungkinan beranggapan sukan ini mahal, tetapi sebenarnya tidak.
"Harganya juga berpatutan. Oleh itu, kami berharap ia bukan setakat trend sahaja, tetapi terus kekal seperti mana sukan lain," ujarnya.
Sukan pickleball boleh dimainkan oleh semua lapisan peringkat umur. — ESM Pickster Club
Di ESM Picksters Club, bayaran dikenakan bagi satu gelanggang adalah RM35 hingga RM45 sejam dengan setiap tempahan turut menerima empat padel dan dua bola.
Perkembangan positif
Dalam pada itu, untuk jangka masa panjang, Mohd. Faizal melihat kewujudan lebih banyak pusat menyediakan gelanggang pickleball merupakan perkembangan positif dalam pembangunan sukan tersebut di Malaysia.
"Lagi banyak gelanggang, lagi bagus agar dapat melahirkan lebih ramai pemain yang bagus," ujarnya yang turut mengendalikan pasukan pickleball profesional pertama negara di bawah ESM Pro Team. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram