
SETIAP kali menjelang musim perayaan Aidilfitri, keluarga Muhammad Hamdi Tarmizi di Kampung Belukar, Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah akan menjalani rutin amat sibuk.
Ini kerana sejak hampir 30 tahun lalu, keluarga itu cukup dikenali sebagai pengeluar ketupat palas tradisional dengan nama Ketupat Palas Sejuk Beku Hutan Kampung.
Jumlah pengeluarannya tidaklah kecil.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Selain memiliki kilang pemprosesan ketupat palas sejak 2021, mereka turut mula menyewa kontena penyimpanan sejuk beku bagi persediaan menampung permintaan yang semakin meningkat khususnya ketika musim perayaan.
Kini, perusahaan keluarga tersebut sudah memiliki tiga biji kontena penyimpanan dengan setiap satu daripadanya mempunyai kapasiti 10 tan muatan.
Berkongsi kepada Majoriti, Muhammad Hamdi, 26, yang merupakan generasi kedua perniagaan tersebut berkata, setiap tahun, permintaan terhadap hidangan tradisional itu lazimnya akan meningkat bermula ketika bulan puasa.
"Kemudian, peningkatan tahap permintaan ini akan konsisten selama lebih tiga bulan sehingga memasuki musim sambutan Hari Raya Aidiladha.
"Macam untuk Aidilfitri ini sendiri, selepas raya pun ramai yang ambil tempahan untuk buat jamuan dan sebagainya," kongsi beliau yang juga anak kedua daripada tiga adik beradik.
Muhammad Hamdi (kiri) ketika membantu dalam operasi pengeluaran ketupat palas syarikatnya.
Jika jumlah tempahan diterima pada bulan biasa adalah sekitar 10,000 kilogram (kg), Muhammad Hamdi berkata, pengeluaran ketupat palas syarikat berkenaan lazimnya meningkat sehingga 80,000 kg sebulan ketika waktu puncak.
Ujarnya, dalam tempoh tersebut, pendapatan diperoleh boleh mencapai antara RM800,000 hingga lebih RM1 juta sebulan.
Selain menjual secara langsung kepada pelanggan, pihaknya turut menjadi pembekal ketupat palas bagi beberapa jenama makanan lain.
Muhammad Hamdi berkata, rata-rata pelanggannya adalah daripada kawasan sekitar Lembah Klang dan di bahagian Selatan Semenanjung.
Bermula dari pasar malam
Perniagaan Ketupat Palas Sejuk Beku Hutan Kampung dimulakan oleh ibu bapa Muhammad Hamdi, iaitu Tarmizi Yaacob, 62 dan Che Non Ahmad, 55 pada sekitar pertengahan 1990-an.
Pasangan itu memulakan jualan ketupat palas dengan berniaga di pasar malam sekitar Alor Setar.
Ketika itu, tidak ramai peniaga dilihat menjalankan jualan makanan tradisional tersebut yang merupakan sebahagian daripada tradisi masyarakat di negeri bahagian Utara Semenanjung Malaysia.
Perniagaan Ketupat Palas Sejuk Beku Hutan Kampung dimulakan ibu bapa Muhammad Hamdi sejak pertengahan 1990-an.
Situasi itu kemudiannya memberikan peluang kepada pasangan itu untuk mengembangkan perniagaan terbabit dengan lebih pesat.
Untuk memenuhi permintaan yang semakin tinggi, mereka kemudiannya mula memperkenalkan produk ketupat palas sejuk beku pada 2013.
Menyentuh mengenai cabaran dalam menguruskan pengeluaran makanan tradisional itu, Muhammad Hamdi berkata, antara kekangan utama dihadapi adalah daripada segi aspek penyimpanan.
"Sebabnya bila permintaan meningkat, biasanya kami punya kapasiti penyimpanan tidak mencukupi.
"Untuk isu bahan mentah seperti daun palas, sebelum ini memang ada cabaran. Tapi sekarang ini kami dah atasi perkara tersebut dengan buat persiapan awal," kongsinya.
Muhammad Hamdi yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) berkata, beliau secara rasmi mula mengambil alih perniagaan tersebut pada tahun ini.
Buat masa ini, Muhammad Hamdi berkata, kilang pengeluarannya yang turut memiliki pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) mampu menghasilkan kira-kira 300 kg hingga 400 kg ketupat palas sehari.
Kilang pengeluaran Ketupat Palas Sejuk Beku Hutan Kampung mampu menghasilkan kira-kira 300 kg hingga 400 kg ketupat palas sehari.
Dalam pada itu, menurutnya, salah satu faktor menjadikan ketupat palasnya begitu istimewa adalah cara penyediaan bahan utama khususnya santan.
Dalam usaha untuk mengekalkan rasa autentik dan menjaga kualiti, Muhammad Hamdi berkata, mereka memilih untuk memproses santan sendiri menggunakan kelapa segar.
"Selain itu, daripada segi balutan pun ada kaedah yang khusus," ujarnya yang kini memiliki kira-kira 20 orang pekerja dengan sebahagian besar daripadanya bertugas di bahagian proses pembalutan yang masih menggunakan cara manual.
Bergerak ke hadapan, Muhammad Hamdi berkata, beliau merancang untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran di kilangnya.
Dengan langkah tersebut, beliau turut bercadang bagi mula memperkenalkan produk ketupat palas di beberapa rangkaian pasar raya utama di Malaysia.
"Kemudian jika ada rezeki, saya juga merancang untuk memperkenalkan ketupat palas yang terkenal sebagai makanan tradisi orang Kedah ini ke luar negara dengan memulakan langkah mengeksport.
"Tapi perkara tersebut mungkin akan dilakukan dalam dua hingga tiga tahun lagi.
"Ketika ini fokus kami untuk stabilkan pengeluaran dan juga tangani isu tempat penyimpanan yang ketika ini masih terhad," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram