Bisnes restoran, hartanah dan pelaburan lonjak nama 7 pelakon berstatus terkaya di dunia


  • Bizz
  • Rabu, 23 Apr 2025

Dari kiri atas: Arnold, Dwayne, Bradd dan Tom merupakan antara pelakon lelaki dengan nilai harta terkaya di dunia. — Agensi

SUDAH menjadi rahsia umum bahawa dunia hiburan memberikan bayaran cukup mewah terutamanya kepada mereka yang sering muncul di layar perak. 

Walaupun kutipan tiket filem mungkin tidak lagi segemilang dahulu, industri filem dan televisyen masih beroperasi dengan skala berbilion ringgit, dengan bajet besar dan peluang keuntungan luas. 

Maka tidak hairan jika pelakon utama sering kali menerima habuan yang sangat lumayan.

BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online

BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis

Bagi yang bijak, mereka akan tahu bagaimana memaksimumkan pendapatan hingga menjadi bukan sahaja jutawan, malah bilionair.

Namun, sekiranya hanya bersandarkan kepada lakonan sahaja, secara realiti mereka tidak akan mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk melonjakkan mereka ke tahap kekayaan luar biasa. 

Nama-nama besar yang tersenarai sebagai pelakon terkaya dunia bukan sekadar bergantung kepada bakat di hadapan kamera, sebaliknya mereka turut bijak merencana langkah dalam pelaburan, perniagaan dan penjenamaan diri. 

Hasilnya? Empayar kekayaan yang dibina dari pelbagai sumber dan tidak terhad hanya daripada set penggambaran.

Berikut ialah senarai tujuh aktor terkaya dunia bagi 2025, seperti yang disenaraikan oleh Esquire Australia, disusun mengikut jumlah kekayaan bersih mereka

1. Arnold Schwarzenegger

Arnold Schwarzenegger. — Agensi

Nilai Bersih: RM4.62 bilion 

Daripada kesemua aktor dunia, Arnold ialah pelakon yang memiliki kekayaan paling tinggi. Namun, penglibatannya tidak terhada hanya di layar. 

Ini kerana beliau merupakan individu serba boleh termasuk sebagai seorang ahli bina badan, pelakon, ahli politik dan usahawan. 

Namun, kebanyakan orang masih mengenalinya sebagai pelakon terkenal terlebih dahulu.

Forbes melaporkan pelakon kelahiran Austria ini mencapai status bilionair pada awal tahun ini. Beliau berjaya menyertai kumpulan pendapatan tersebut selepas melaburkan pendapatan lakonannya ke sektor hartanah sejak awal kerjayanya.

Hasilnya, kini beliau memiliki empayar hartanah yang luas, serta pegangan 5 peratus dalam salah satu firma pelaburan terbesar di dunia. 

Boleh dikatakan, Schwarzenegger tidak perlu lagi kembali bertanding dalam kejohanan Mr. Olympia untuk menyara hidupnya.

2. Dwayne ‘The Rock’ Johnson

Dwayne ‘The Rock’ Johnson. — Agensi

Nilai Bersih: RM3.69 bilion

Bermula sebagai ahli gusti, kini kebanyakan orang sudah mengenai beliau yang mengenali The Rock lebih sebagai pelakon.

Beliau memulakan kerjaya di pentas WWE, tetapi The Rock kemudiannya mengembangkan sayapnya menjadi figura besar di Hollywood menerusi penampilan fizikal ikonik dan kehadirannya lazimnya akan menjamin kejayaan di pawagam.

Di luar bidang lakonan, beliau juga memiliki kira-kira 30 peratus pegangan dalam jenama minuman, Teremana Tequila, yang dianggarkan bernilai AU$2 bilion (RM6.2 bilion).

3. Tom Cruise

Tom Cruise. — Agensi

Nilai Bersih: RM2.76 bilion 

Francais filem: Mission Impossible dan Top Gun telah memberikan pulangan yang sangat besar kepada Tom Cruise, di mana beliau menerima bayaran lumayan atas penglibatannya dalam naskhah tersebut. 

Selain itu, beliau turut memiliki hartanah di Pantai Timur dan Barat Amerika Syarikat, serta di beberapa tempat di seluruh Amerika Utara.

Tom adalah antara pelakon dalam senarai ini yang membina kekayaannya hampir sepenuhnya melalui bidang lakonan. 

Beliau secara konsisten merupakan antara pelakon yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood. 

Malah, satu kajian pada 2020 menganggarkan beliau memperoleh sekitar RM22,000 bagi setiap perkataan dialog dalam filem-filemnya.

Melihat kepada kejayaan filem pecah panggung terkini, boleh dijangka angka tersebut kini jauh lebih tinggi.

4. Shah Rukh Khan

Shah Rukh Khan. — Agensi

Nilai Bersih: RM2.72 bilion 

Bagi dunia Barat, Shah Rukh Khan – atau SRK, seperti mana beliau lebih dikenali di tanah airnya – mungkin bukan nama paling besar dalam dunia perfileman. 

Tetapi di India, dengan pasaran Bollywood yang sangat menguntungkan, SRK ialah bintang utama yang paling berpengaruh.

Beliau telah menjadi pelakon dengan bayaran tertinggi di India selama kira-kira 30 tahun, selain turut memiliki beberapa aset. 

Baru-baru ini, SRK juga mula mencuba peranannya sebagai pengarah filem.

5. George Clooney

George Clooney. — Agensi

Nilai Bersih: RM2.30 bilion 

Seperti yang anda mungkin perasan sekarang, menjadi antara pelakon dengan bayaran tertinggi di Hollywood tidak semestinya menjamin tempat dalam senarai ini, tetapi ia memang membantu. 

George Clooney secara konsisten memperoleh jutaan dolar bagi setiap peranan besar yang dibintangi.

Namun begitu, sumber utama kekayaannya datang daripada usahanya di luar bidang lakonan. Clooney pernah menjadi pemilik bersama jenama minuman terkenal Casamigos, yang dijual pada nilai hampir RM3.1 bilion.

Kini beliau lebih aktif di belakang tabir sebagai penerbit, yang terus menambah pendapatannya.

6. Robert De Niro

Robert De Niro. — Agensi

Nilai Bersih: RM2.28 bilion 

Beliau dikenali sebagai salah seorang pelakon terhebat sepanjang zaman, tetapi seperti ramai dalam senarai ini, Robert De Niro tidak bergantung sepenuhnya kepada dunia lakonan dan berjaya menjana pendapatan dari pelbagai sumber lain.

Beliau ialah pengasas bersama rangkaian restoran sushi mewah Nobu yang kini mempunyai lebih 40 cawangan di seluruh dunia dan menjana jutaan pendapatan setiap tahun.

Robert juga memiliki beberapa restoran dan pelbagai hartanah, terutamanya di bandaraya New York – yang kita semua tahu, merupakan pasaran hartanah yang sangat mahal.

7. Brad Pitt

Brad Pitt. — Agensi

Nilai Bersih: RM1.84 bilion 

Pelakon filem pecah panggung yang terkenal, Brad Pitt, memang layak menerima bayaran tinggi untuk setiap projek disertainya. Terbaharu, beliau menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM139.1 juta untuk filem F1 yang bakal ditayangkan.

Namun itu bukan satu-satunya sumber pendapatannya.

Brad turut mengasaskan syarikat produksi Plan B Entertainment bersama bekas isterinya, Jennifer Aniston. Syarikat ini telah menghasilkan beberapa filem yang memenangi Anugerah Oscar seperti The Departed, Moonlight dan 12 Years a Slave – yang semuanya memberi pulangan besar dari sudut kewangan dan reputasi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram