
MENURUT data terkini diterbitkan Forbes pada Februari 2025, terdapat seramai 2,764 individu mempunyai status bilionair di seluruh dunia.
Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat teratas dengan 822 bilionair, diikuti China (405 bilionair), dan India dengan 207 bilionair.
Jumlah keseluruhan kekayaan kesemua bilionair terbabit dilaporkan mencapai angka AS$6.928 trilion (RM30.961 trilion).
BACA LAGI: 120 jam tangan edisi khas M. Nasir laris, Artwist.Co tepis skeptikal kualiti jenama tempatan
Dengan jumlah kekayaan yang cukup menakjubkan, adalah tidak pelik apabila kumpulan ini sering menjadi tumpuan khususnya dalam bagaimana mereka membelanjakan wang dimiliki.
Malah, adalah kebiasaan untuk mengaitkan golongan ini dengan apa yang dikatakan dengan pemilikan aset mewah antaranya hartanah, jet peribadi dan kapal layar canggih.
Taikun pengeluar minuman China, Zhong Shanshan. — Agensi
Bagaimanapun, itu bukan satu-satunya cara hartawan ini berbelanja.
Selain menggunakan wang untuk kemewahan, mereka turut membelanjakan kekayaan bagi tujuan pelaburan, inovasi, dan kerja-kerja kebajikan yang memberi impak kepada masyarakat di dalam negara mahupun di peringkat global.
Di China, pemerhati menyaksikan berlakunya trend baharu dalam perbelanjaan orang terkaya di negara tersebut selepas kumpulan terbabit dilihat mula memiliki obsesi bagi mengeluarkan pembiayaan untuk memiliki universiti sendiri.
Pelaburan terbabit disifatkan sebagai satu pelaburan berani meskipun dilakukan orang terkaya di negara berkenaan.
Pada Disember lalu, taikun pengeluar minuman di China, Zhong Shanshan membuat keputusan pelik apabila mengumumkan rancangannya membelanjakan 40 bilion yuan (RM24.474 bilion) bagi tempoh 10 tahun akan datang untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi swasta dikenali sebagai Universiti Qiantang.
Shanshan yang merupakan pengasas gergasi minuman botol Nongfu Spring, berkata, institusi baharu itu akan mempunyai visi yang jelas iaitu memajukan penyelidikan saintifik, memacu penerapan teknologi baharu dan memupuk bakat peringkat teratas dalam bidang strategik.
Inisiatif beliau adalah yang terbaharu dalam trend di negara tersebut yang menyaksikan anjakan pembiayaan oleh elit perniagaan China kepada universiti tempatan.
Perkembangan tersebut berlaku ketika Beijing sedang giat untuk menggalakkan kemandirian bagi pembangunan terhadap pelbagai industri berteknologi tinggi.
Hanya beberapa hari sebelum pengumuman Shanshan, Kementerian Pendidikan China memberikan kelulusan kepada Universiti Sains dan Teknologi Fuyao (FYUST) – sebuah institusi baharu diasaskan dengan derma AS$10 bilion ( RM44.69 bilion) daripada pengerusi pengeluar kaca, Fuyao Group, Cao Dewang – untuk mula mendaftarkan pelajar tahun ini.
China menyaksikan anjakan dalam pembiayaan oleh elit perniagaan China kepada universiti di negara tersebut. — Agensi/Gambar hiasan
Sementara itu, Institut Teknologi Timur (EIT), sebuah universiti di bandar pelabuhan Timur Ningbo yang dibiayai oleh mogul semikonduktor, Yu Renrong, sedang bersedia meraikan mahasiswa pertamanya pada akhir tahun ini, selepas menerima kumpulan pertama calon kedoktoran pada 2022.
China Philanthropy List 2024 yang merupakan laporan daripada Institut Penyelidikan Hurun, meninjau pendanaan orang terkaya China mendapati 70 peratus daripada penderma utama negara itu mengutamakan pendidikan pada tahun lalu, meningkat 58 peratus berbanding pada 2023.
Institusi lain dibiayai bilionair antaranya Universiti Beijing Geely dan Universiti Westlake yang menjadi antara perintis kepada trend tersebut.
Universiti terbabit berkongsi matlamat sama iaitu menyokong strategi nasional, menangani kekangan pembangunan teknologi dan menghasilkan bakat yang boleh memacu industri China ke hadapan.
Timbalan Dekan di Institut Guangzhou Greater Bay Area, Li Mingbo berkata, China memerlukan bakat mahir dalam sains dan teknologi dengan segera untuk memacu transformasi industrinya, memandangkan sistem universiti tradisional China bergelut untuk bersaing dengan industri yang berkembang pesat.
"Tanpa pakar generasi baharu, China berisiko ketinggalan dalam perlumbaan teknologi global.
"Hari ini, inovasi teknologi semakin didorong oleh perniagaan dan bukannya universiti, jadi masuk akal bahawa usahawan melangkah masuk terbabit untuk mengisi jurang itu," ujar Mingbo.
Menurut rancangan dikeluarkan kerajaan Hangzhou pada akhir Disember lalu, Universiti Qiantang milik Shanshan menyasarkan untuk melahirkan 15 pakar di peringkat tinggi setiap tahun, menarik 500 penyelidik terkemuka dan mendidik 350,000 pelajar.
Dewang membuat sumbangan kepada Universiti Sains dan Teknologi Fuyao (FYUST). — Agensi
Semasa ucapan pada persidangan tahunan syarikatnya bulan lepas, Shanshan berkata, misi universiti itu adalah untuk memajukan medan pengetahuan dan memacu penemuan saintifik "dari sifar kepada satu".
Visi Dewang untuk FYUST turut membawa nada serupa dengan beliau mahu menjadikan Universiti Stanford di Amerika Syarikat (AS) sebagai penanda aras.
Universiti itu distrukturkan untuk menyokong strategi perindustrian China, dengan penubuhan fakulti khusus untuk sains bahan, kecerdasan buatan, kejuruteraan mekanikal dan ekonomi digital.
Renrong yang merupakan Pengerusi Will Semiconductor dengan anggaran kekayaan 42.5 bilion yuan (RM26.004 bilion), telah berjanji untuk melabur 30 bilion yuan (RM18.356 bilion) ke dalam EIT untuk mentransformasikannya menjadi kuasa penyelidikan yang mengkhusus dalam teknologi gunaan.
Pakar ekonomi, Ma Guangyuan, yang merupakan seorang pemikir dengan lebih lima juta pengikut di platform microblogging Weibo berkata, China memerlukan lebih banyak universiti yang disokong usahawan untuk memacu inovasi.
“Kita memerlukan Fuyao kedua, Fuyao ketiga – lebih banyak universiti yang boleh menyelesaikan cabaran inovasi China dan meningkatkan daya saing industri,” tulisnya dalam catatan Weibo pada Disember lalu.
Dekan bersekutu di Beijing Normal University-Hong Kong Baptist University United International College, Simon Zhao berkata, langkah menubuhkan universiti merupakan bentuk pelaburan baik untuk bilionair China di tengah-tengah iklim ekonomi negara itu kekal tidak menentu dan peluang risiko dalam pelaburan tradisional.
Presiden China, Xi Jinping. — Agensi
"Penubuhan universiti telah menjadi penyelesaian menang-menang - ia sejajar dengan matlamat strategik negara sambil menawarkan faedah sosial dan ekonomi jangka panjang.
"Di China, penubuhan dan pengendalian sekolah swasta biasanya menguntungkan, ditambah pula dengan peraturan kerajaan yang agak longgar mengenai industri pendidikan swasta, yang memberi insentif kepada usahawan untuk menumpukan diri mereka kepada pendidikan," kata Simon.
Donald Dai, seorang eksekutif di sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Shenzhen percaya perkembangan itu turut membawa implikasi kepada medan politik.
“Tindakan melabur dalam sains dan teknologi adalah satu tindakan yang politik yang betul.
"Kepimpinan tertinggi tidak akan terlepas pandang mereka yang menyumbang kepada pembangunan strategik negara," ujarnya.
Kebangkitan universiti didanai bilionair juga berlaku di tengah-tengah peningkatan seruan daripada kepimpinan tertinggi negara Chna agar usahawan membuat sumbangan sosial yang lebih besar.
Semasa lawatan ke wilayah Jiangsu di Timur China pada 2020, Presiden Xi Jinping menggalakkan usahawan untuk belajar daripada seorang ahli perindustrian dinasti Qing, Mendiang Zhang Jian, yang mengasaskan lebih 300 sekolah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram