
WAJAH manis yang dahulunya sering menghiasi skrin televisyen kini lincah di gelanggang seni mempertahankan diri. Itulah hobi baharu Bella Dally, 34, apabila dia tampil bertenaga dalam kelas Muay Thai.
Menerusi satu hantaran video di Instagram miliknya pada Khamis, Bella berkongsi momen sesi keduanya menyertai sukan berasal dari Thailand itu.
"Sesi kedua kelas Muay Thai. Yang pertama semasa saya di Phuket, Thailand minggu lalu. Sekarang saya dah 'ketagih'! Tukar rutin dengan penuh niat. Kali ini fokus untuk jadi lebih kuat," tulisnya dalam kapsyen video itu.
BACA LAGI: Bangkit lepas rumah tangga bergolak, bekas rakan niaga dakwa bisnes pai Zahnita dilanda masalah
Dalam rakaman video berdurasi kurang seminit itu, pelakon drama Cik Misi 123 (2023) tersebut mempamerkan aksi cukup bertenaga dan kelihatan fokus melakukan pelbagai teknik termasuk tumbukan dan tendangan, sekali gus menunjukkan sisi berbezanya yang lebih lasak.
Muay Thai bukan sekadar seni mempertahankan diri, malah ia juga menyumbang kepada kesihatan badan wanita yang terlibat dalam aktiviti fizikal tersebut.
Berikut merupakan kebaikan Muay Thai yang dipetik daripada sumber halodoc:
1. Menguatkan otot kaki – Gerakan tendangan seperti roundhouse kick membantu membina kekuatan dan kelincahan otot kaki serta betis.
2. Meningkatkan kelenturan pinggul – Serangan menggunakan lutut dan tendangan bantu melenturkan pinggul dan menyokong postur tubuh yang sihat.
3. Menjaga kesihatan jantung – Aktiviti kardio seperti skipping dan berlari dalam sesi latihan mampu meningkatkan fungsi jantung dan stamina.
4. Membakar kalori dan menurunkan berat badan – Gabungan gerakan aktif seluruh badan efektif dalam membakar lemak dan membentuk tubuh ideal.
5. Mengurangkan tekanan – Membantu melepaskan emosi negatif, menenangkan fikiran serta memperbaiki kualiti tidur dan kesejahteraan mental.
Untuk info, Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally merupakan pelakon, model dan juga usahawan kelahiran Kota Kinabalu, Sabah.
Dia mula melibatkan diri dalam dunia lakonan pada tahun 2009 selepas bakatnya dicungkil oleh Datuk Rosyam Nor menerusi rancangan realiti pencarian bakat lakonan, Pilih Kasih musim pertama, di mana beliau berjaya meraih tempat keempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram