
ADA sesetengah ibu bapa melihat anak mereka sebagai 'pelan persaraan', meletakkan harapan tinggi supaya dapat membalas jasa dari segi kewangan apabila dewasa.
Namun, sejauh mana adilnya harapan sebegini?
Dalam realiti hari ini, ramai anak muda masih belajar cara membina kehidupan, pada masa sama mereka juga perlu memenuhi harapan keluarga sehingga menjejaskan kebahagiaan sendiri.
BACA LAGI: Besarkan bisnes, perbanyak staf pemasaran, perancangan usahawan wanita jika terima bantuan kewangan
BACA LAGI: Demi sara 2 anak, bekas ratu cantik Hong Kong buat 'live' tutorial hingga lewat malam di TikTok
Ilmu kewangan seperti menabung sangat penting untuk menjamin kestabilan ekonomi dalam rumah tangga. — Gambar hiasan/Freepik
Melalui satu hantaran tular di Threads, seorang pengguna berkongsi pemerhatian terhadap keluarga yang terlalu berharap kepada anak.
“Selalunya, keluarga yang ada mentaliti kuat bahawa anak itu adalah ‘pelaburan’ atau ‘pelan persaraan’ dan mengharapkan balasan apabila dah besar, merekalah punca rezeki kewangan anak tersekat dan banyak masalah.
"Berbeza dengan keluarga yang tak letak sebarang harapan, rezeki mereka biasanya melimpah ruah. Mereka (anak) tidak terhutang dengan ibu bapa. Anak itu amanah. Berikan segala pendidikan duniawi dan ukhrawi dengan penuh kasih dan ikhlas.
"Insya-ALLAH, apabila mereka besar nanti, mereka akan rasa bahagia dan rela hati untuk membalas kasih sayang tu, datang dari hati yang ikhlas tanpa rasa terbeban," tulisnya.
Melihat ruangan komen, rata-rata warga maya bersetuju dengan pandangan itu.
"Saya menyaksikan ada anak yang baru nak bina hidup sendiri jadi mangsa pelan pelaburan mereka. Sampai sekarang anak mereka masih susah, nak kahwin pun tak lepas-lepas sebab hampir setiap minggu ada sahaja masalah yang timbul daripada ibu bapa," komen @thesjistore.
"Alhamdulillah rezeki sekarang ni melimpah ALLAH bagi. Anak saya seorang sahaja, tetapi dari dahulu dah pesan pada suami untuk duduk rumah orang tua.
"Anak perempuan saya berhak untuk jalani hidup dia sepenuhnya. Saya tak nak jadi punca dia rasa tersekat untuk hidup dengan bebas dan bahagia," kata @sofeashahrol.
Sementara itu, @juju_aabdul pula berkongsi pandangan seimbang dari sudut seorang ibu berpengalaman.
“Saya pun sama. Kalau boleh, tak nak susahkan anak-anak dan kalau mampu, biarlah kita urus sendiri. Tanggungjawab ibu bapa ialah beri kasih sayang, pendidikan tanpa mengungkit. Anak-anak pula bantu jika ibu bapa tak mampu.
"Tetapi kalau semuanya mencukupi, janganlah bebankan anak-anak dengan permintaan yang tak perlu atau di luar kemampuan," kongsinya.
Dr. Mohammad Nidzam
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir menjelaskan bahawa dalam Islam, anak memang disuruh berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa.
"Ia boleh dilihat menerusi firman ALLAH: "Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa." (Surah al-Isra’, ayat 23)," katanya kepada Majoriti.
Beliau turut menegaskan lima tanggungjawab anak terhadap ibu bapa iaitu berbuat baik kepada mereka, tidak meninggikan suara, tidak mengherdik, berkata dengan perkataan yang baik serta merendahkan diri.
Termasuk dalam berbuat baik ialah menjaga kebajikan ibu bapa apabila mereka tua.
Namun, menurut Dr. Nidzam, anak juga mempunyai tanggungjawab terhadap pasangan dan anak-anak sendiri.
Justeru, meletakkan harapan berlebihan terhadap anak, terutamanya dari segi kewangan boleh membawa kepada ketidakseimbangan dalam tanggungjawab dan hubungan kekeluargaan.
Islam menekankan tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan, tanpa mengharapkan balasan.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain..." (Hadis Riwayat Ahmad)
Maka, jika anak membantu ibu bapa, biarlah atas dasar kasih sayang, bukan paksaan atau rasa bersalah.
Mendidik dengan ikhlas dan tidak mengungkit akan membuka pintu rezeki buat semua dan menjalin hubungan yang diberkati dunia akhirat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram