Transformasi tata kelola tunjuk hasil, Encorp kembali catat untung RM3.4 juta, lepas 6 tahun rugi


  • Bizz
  • Rabu, 05 Mac 2025

Encorp merupakan syarikat pembangunan hartanah dan pelaburan dimiliki FIC.

ENCORP Berhad (Encorp), syarikat pembangunan hartanah dan pelaburan dimiliki Felda Investment Corporation Sdn. Bhd., (FIC) berjaya merekodkan keuntungan buat pertama kali selepas enam tahun apabila mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.4 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Perkembangan itu menyaksikan pemulihan kewangan kukuh syarikat terbabit yang kali terakhir merekodkan keuntungan pada 2016.

Untuk rekod, Encorp melaporkan kerugian bersih sebanyak RM8.5 juta pada tahun sebelumnya.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGI: Status agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

Untuk prestasi tahun penuh 2024, kumpulan terbabit mencapai keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.1 juta, menandakan proses pemulihannya yang kuat daripada kerugian sebanyak RM1.1 juta pada tempoh yang sama pada tahun 2023.

Dalam satu kenyataan, Encorp berkata, pemulihan berkenaan disumbangkan antara lain oleh kejayaan pemulihan peruntukan kos jualan sebanyak RM6.6 juta dari tahun-tahun sebelumnya, keuntungan perakaunan sebanyak RM2.1 juta daripada penyesuaian nilai adil terhadap hartanah pelaburan, dan pemulihan rekod inventori sebanyak RM1.8 juta, yang kesemuanya menyumbang secara positif kepada hasil akhir.

Kumpulan itu yang tersenarai dalam Bursa Malaysia juga dilapor mengalami peningkatan dalam prestasi jualan, disokong oleh aliran pendapatan stabil daripada konsesi, pendapatan sewa, pembinaan, dan pengurusan fasiliti.

Pengerusi Bukan Eksekutif Encorp, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff menyifatkan perkembangan positif itu disumbangkan antara lain oleh transformasi tata kelola yang dijalankan pengurusan tertinggi kumpulan tersebut sejak kira-kira dua tahun lalu.

Menurut Mohd. Yusmadi perkembangan positif mencatat keuntungan antaranya disumbangkan oleh transformasi tata kelola dijalankan pengurusan tertinggi. — Encorp Berhad

Kunci transformasi

Ujarnya, usaha perubahan fasa pertama itu meliputi usaha memperkemas aspek keseluruhan pengurusan dan perundangan terhadap operasi syarikat.

"Kami menyedari kunci transformasi Encorp perlu bermula dengan tata kelola. Ini kerana kami ketika itu, kami menyedari mendapati ada perkara-perkara yang sebenarnya mampu memberi keuntungan kepada Encorp, tetapi ia bocor disebabkan tata kelola yang longgar dan tidak diurus dengan baik.

"Jadi untuk itu, dalam transformasi dilaksanakan, kita pastikan agar sebarang pelanggaran tata kelola, baik dari kepimpinan tertinggi mahupun di bawah, perlu diambil tindakan tegas agar menjadi contoh.

"Kedua, apabila kita mengetatkan aspek tatakelola terutam daripada segi perundangan, kita melihat banyak peningkatan dalam kutipan sewa di premis dan hartanah di bawah pengurusan kami," ujarnya.

Beliau memaklumkan bahawa pada Jun tahun lalu, Encorp turut melaksanakan penyusunan semula carta pengurusannya bagi meningkatkan aspek pemantauan, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam operasi syarikat.

Sementara itu, Mohd. Yusmadi berkata, dengan kejayaan fasa pertama transformasi pengurusan Encorp tersebut, pihaknya akan mula memberikan perhatian bagi aspek pembangunan sumber manusia di bawah organisasi tersebut.

Pembangunan hartanah terus menjadi penyumbang pendapatan terbesar Encorp iaitu 51 peratus, diikuti pendapatan konsesi sebanyak 39.8 peratus. — Encorp

Ujarnya, langkah tersebut dilihat sangat penting dalam memacu perkembangan Encorp yang kini turut mula memberi perhatian bagi meneroka sektor baharu selain hartanah seperti pendidikan, perhotelan dan pelancongan.

"Saya percaya staf dan kakitangan Encorp kebanyakannya mempunyai potensi dan bakat boleh dikembangkan dengan cara lebih efektif.

"Jadi, saya akan memastikan baik latihan dalaman mahupun luaran akan diperbanyakkan.

"Kami juga akan memastikan mereka ditempatkan di posisi lebih tepat supaya bakat mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya," jelas Mohd. Yusmadi.

Dalam pada itu, bergerak ke hadapan, beliau berkata, sebagai syarikat yang dimiliki oleh entiti di bawah Felda, Encorp kini turut sedang dalam rangka untuk merapatkan hubungannya bersama Felda khususnya dalam operasi pembangunan di bawah agensi tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga mahu melihat Encorp menjadi pemaju yang menyokong dalam pelaksanaan agenda nasional termasuk di kawasan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan projek perumahan rakyat di bawah kerajaan.

Dengan aset bersih setiap saham kukuh pada RM1.06, Encorp kekal berada dalam kedudukan baik untuk mengekalkan pertumbuhan dan mengukuhkan ketahanan kewangan.

Pembangunan hartanah terus menjadi penyumbang pendapatan terbesar Encorp iaitu 51 peratus, diikuti pendapatan konsesi sebanyak 39.8 peratus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram