Rahsia duo suami isteri bina Innai jadi jenama fesyen lokal terkenal


  • Bizz
  • Rabu, 05 Mac 2025

Izrin (kanan) dan Marcus merupakan duo suami isteri yang menjadi tulang belakang kepada jenama Innai & Co.

DIASASKAN pada 2003, Innai merupakan jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri fesyen tempatan.

Jenama ini terkenal dengan rekaannya yang menggabungkan kraf batik tangan tradisional dengan fabrik berkualiti tinggi bagi mencerminkan kekayaan warisan Malaysia.​

Bermula dengan menghasilkan pakaian baju perkahwinan dan fesyen bespoke, Innai & Co kini berkembang menjadi label yang turut menyediakan produk sedia pakai atau ready-to-wear.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGIStatus agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

Langkah itu antara lain didorong oleh populariti yang dikecapi oleh jenama tersebut dalam kalangan penggemar fesyen di Malaysia.

Dua individu penting bertanggungjawab menerajui kejayaan tersebut tidak lain dan bukan ialah pasangan suami isteri, Izrin Ismail yang juga pengasas Innai & Co dan Marcus Mikhail Low.

Penyertaan Marcus bersama jenama tersebut bermula sejak 2010 ketika Innai & Co melancarkan Innai Red yang merupakan label pakaian bespoke jenama tersebut.

Ketika itu, Marcus menjalankan tugas bagi menguruskan operasi termasuk dalam aspek kewangan syarikat termasuk akaun, gaji dan sistem kerja.

Menurut Izrin (kanan), beliau dan suaminya masing-masing mempunyai kelebihan yang melengkapi antara satu sama lain dalam membantu mengembangkan jenama Innai & Co. — Innai 

Berkongsi kepada Majoriti, Izrin berkata, gandingan beliau dan suaminya sememangnya saling melengkapi dalam memacu perniagaan diusahakan mereka.

"Sebagai suami isteri yang bekerja dalam satu syarikat saya, saya rasa banyak kebaikan lebih-lebih lagi kami mempunyai pemikiran yang sama," ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Izrin, situasi itu tidak bermakna bahawa mereka langsung tidak pernah bercanggah daripada segi pendekatan yang ingin dijalankan.

Ini kerana beliau yang juga ibu kepada dua orang anak itu berkata, kedua-dua mereka mempunyai kemahiran dan kelebihan tersendiri dengan Marcus dalam aspek pengurusan kewangan sementara dirinya pula daripada segi hala tuju rekaan fesyen.

"Bekerja dengan suami isteri mempunyai banyak kelebihan kerana pemikiran kami selalunya selari. Namun, suami saya sangat berhati-hati dalam aspek kewangan dan kurang mengambil risiko. 

"Apabila kami memilih sesuatu projek, dia cenderung untuk memilih yang mempunyai risiko paling rendah agar tidak membawa kerugian besar.

"Kadang-kadang, kami berbeza pendapat kerana saya mahu mencuba sesuatu yang baru, tetapi dia sering memberikan peringatan dan pertimbangan kewangan.

"Ini membuatkan saya perlu lebih berhati-hati dan menimbang pro dan kontra sebelum melaksanakan sesuatu idea," ujarnya yang turut menyifatkan Marcus sebagai individu yang cukup teliti dan berhati-hati dalam menjalankan operasi syarikat.  

 

Diminta berkongsi tip buat mana-mana suami isteri yang menguruskan perniagaan bersama, Izrin berkata, antara perkara diamalkan bersama  suaminya sepanjang 14 tahun mengembangkan jenama Innai & Co ialah mereka tidak membawa urusan kerja ke rumah.

Ujarnya, setiap pasangan perlu bijak dalam membahagikan waktu antara kerja dan keluarga.

"Jadi, kadang-kadang kalau macam anda tidak bersetuju dengan sesuatu di pejabat atau ada isu dengan staf tidak perlu bawa serta bincangkan benda itu di rumah.

"Ya, walaupun kadang-kadang kita terlepas sebab tengah dalam mod kerja, tapi saya rasa kita perlu tahu bila perlu berhenti fikir pasal kerja dan fikir mengenai hubungan kita sebagai suami dan isteri.

"Jadi, saya rasa keseimbangan antara hidup dan kerja itu sangat penting dalam apa-apa situasi," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram