Niat nak puasa penuh punah gara-gara keracunan, ibu 4 anak kesal peniaga bazar Ramadan abai kebersihan makanan


Pengunjung bazar harus berhati-hati memilih makanan supaya tidak terbeli makanan yang basi dan kotor sebagai juadah berbuka.— Gambar Hiasan 

BAZAR Ramadan sering menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan juadah berbuka puasa, namun kebersihan makanan yang dijual sering menjadi isu yang membimbangkan. 

Setiap tahun, kes keracunan makanan yang dilaporkan berpunca daripada makanan yang dibeli di bazar mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pembeli.

Dalam satu hantaran di media sosial pada Khamis, seorang pengguna, Ungku Ziera meluahkan kekecewaannya selepas mengalami keracunan makanan yang teruk akibat membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan. 

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki cabul 3 wanita di bazar Ramadan Temerloh ditahan, beri alasan lama tak berhubungan, hidap HIV

BACA LAGI: Peniaga bazar Ramadan masih berdegil guna 'stapler', tak peduli soal keselamatan pembeli, kanak-kanak

Ungku Ziera menganggap kejadian itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah turut mengagalkan hasrat dia dan anak-anaknya untuk menunaikan ibadah berpuasa secara penuh pada tahun ini.

"Sebagai seorang ibu, saya amat sedih dengan sikap peniaga-peniaga yang tidak menitikberatkan kebersihan makanan mereka,” luahnya.

Dia turut berkongsi pengalaman peribadinya sebagai bekas peniaga bazar Ramadan yang amat mementingkan kebersihan dan kualiti makanan yang dijual.

"Saya memang sejenis yang cerewet tentang kebersihan dan makanan saya. Memanglah tidak semua peniaga tetapi ada segelintir yang apabila saya datang bazar penuh lalat hinggap pada makanan tetapi peniaga buat tidak tahu sahaja.

"Saya pula yang kena bantu kipaskan makanan itu," katanya. 

Perkara sebegitu menyebabkan beliau lebih berhati-hati dalam memilih gerai untuk membeli juadah berbuka.

“Rasa rimas melihat lalat atau langau yang hinggap makanan di bazar. Jika saya nampak makanan dalam keadaan begitu, saya terus tidak jadi membelinya,” katanya.

Selain isu kebersihan, Ungku Ziera turut menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai harga makanan yang dianggap tidak berpatutan.

Ungku Ziera berkata, harga juadah di bazar Ramadan semakin meningkat saban tahun, namun kualiti dan kebersihannya tidak seiring dengan harga yang dikenakan.

"Dijual pula pada harga yang tidak masuk akal lagi sebegitu," katanya. 

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung isu itu dan lokasi kejadian juga tidak dapat dikenal pasti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram