
PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa masyarakat untuk menghentikan budaya buli terutamanya di sekolah dan mana-mana institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Asyraf turut menegaskan bahawa pihaknya tidak sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli di Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Menurutnya, selama dua tahun beliau menerajui MARA, platform media sosial sama ada di Facebook, Instagram, Tiktok mahupun X menjadi ruangan yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan maklum balas bagi menambah baik potensi institusi yang menjadi payung kepada agenda Melayu-Bumiputera.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Anak syurga amanah', ramai sokong Jep Sepahtu lepas tahu 2 anak diagnos autisme
Asyraf juga tidak menafikan budaya buli yang semakin meluas itu sedikit demi sedikit dapat dibanteras dengan bantuan dan kerjasama semua pihak.
"Bila saya mula terjah ke Institusi-institusi Pendidikan MARA (IPMA), semuanya berdasarkan aduan dan maklum balas ibu bapa, pelajar dan pendidik.
"Alhamdulillah, banyak perkara seperti isu kartel dan kualiti dewan selera, makanan, tandas, asrama, bilik guru dan fasiliti lain di IPMA berjaya diselesaikan," katanya.
Justeru, beliau merayu agar pelajar-pelajar terutamanya jangan sesekali ragu-ragu untuk melaporkan sebarang perilaku buli di asrama.
"Jangan risau dilabel 'jibam', 'mat report', 'baruw' dan sebagainya. Jangan sesekali membiarkan diri mahupun taulan dibuli dalam apa jua bentuk.
"Kita kena sama-sama hentikan budaya buli. Tiada tempat untuk pembuli mahupun sebarang bentuk budaya buli di IPMA termasuk MRSM," tegasnya.
Tambahnya, sekiranya terdapat pihak yang cuba menutup atau mempertahankan pembuli mahupun kes buli, tindakan tegas akan diambil termasuk ke atas pengetua, pengarah, warden termasuk guru.
Peringatan itu dilakukan susulan kes tujuh pelajar MRSM di Pulau Pinang yang didapati terlibat dalam kes buli baru-baru.
Terdahulu, tular sebuah rakaman kejadian buli dipercayai berlaku di maktab berkenaan yang memaparkan seorang pelajar lelaki dalam keadaan tertiarap di atas katil, dipercayai menjadi mangsa sekumpulan pelajar lain yang bertindak kasar dengan menghempap kepala serta badannya.
Dalam video sama, mangsa turut disebat menggunakan tali pinggang pada punggung tanpa belas kasihan.
Kes itu bagaimanapun disiasat pihak polis dan kesemua pelajar terlibat sudah diambil tindakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram