
DALAM dunia minyak wangi yang sering didominasi jenama antarabangsa, muncul satu nama tempatan tampil berani mengangkat seni, budaya dan penceritaan lokal ke dalam setiap semburan yang dihasilkan.
Medin Fragrances, diasaskan seorang usahawan yang juga anak jati Kuala Lumpur, Mohd Fitri Mohamad Phahimi, 36, yang bermula sebagai penjual wangian sejak 2015.
Kehadirannya bukan sekadar sebuah jenama wangian biasa sebalikya cuba membawa cerminan jati diri Malaysia meliputi seni, kebudayaan dan sejarah tempatan.
BACA LAGI: Survival tukang jahit, dulu nak dekat raya makin rancak kini suram, bersaing jualan online
BACA LAGI: Wau buatan pemuda Selayang pernah disewa hingga cecah RM25,000, tarik minat pembeli warga Perancis
"Semua ini kami cuba cerminkan menerusi produk wangian yang dihasilkan termasuk dalam aspek pembungkusan.
"Di situ kami gabungkan elemen seni dan kebudayaan yang membawa cerita mengenai Malaysia," katanya kepada Majoriti.
Berpengalaman hampir 10 tahun dalam industri wangian, Mohd Fitri memulakan langkah dalam dunia haruman dengan menjual produk diinspirasikan daripada jenama antarabangsa.
Dalam tempoh tersebut, beliau turut terdedah kepada keadaan pasaran produk wangian di dalam negara termasuk proses penghasilannya.
"Sebab untuk minyak wangi ini, kita tak boleh hanya jual satu jenis produk atau SKU (stock keeping unit). Kita kena banyak.
"Dulu saya jual hampir 600 jenis wangian. Jadi kosnya agak tinggi dan daripada segi pulangan pula lambat," kongsinya yang memaklumkan telah membelanjakan sekitar RM100,000 untuk membawa masuk produk wangian luar.
Bagaimanapun dalam tempoh tersebut, pasaran tempatan menurutnya berdepan beberapa isu antaranya lambakan produk wangian palsu dan tahap pengetahuan pengguna yang masih belum matang.
Mohd Fitri mula berkecimpung dalam dunia wangian pada 2015. — Medin Fragrance
Situasi itu kemudiannya mencetuskan idea buatnya untuk tampil dengan jenama wangian sendiri dikenali sebagai Medin Fragrance pada 2023 dengan menumpukan kepada penghasilan produk haruman eksklusif dan terhad.
Percubaan pertamanya ialah menerusi Kuala Lumpur Series yang mengambil inspirasi daripada nama-nama jalan utama di ibu negara seperti Petaling Street dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Namun, bukan seperti yang diharapkan, koleksi wangian sulungnya itu tidak mendapat sambutan daripada pengguna tempatan.
"Kami tampil dengan bau-bauan berat berasaskan kulit dan saffron.
"Tapi ramai orang tak tahu saffron tu bau macam mana. Bila cakap bau kulit, orang bayangkan kulit lembu.
"Maksudnya imaginasi pengguna kita masih belum sampai lagi ke tahap itu," ujarnya.
Perkara itu kemudiannya mendorongnya mengambil langkah berani dengan membuat pelancaran produknya di Singapura.
Tanpa disangka-sangka, siri terbabit mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengguna di negara tersebut apabila semua 500 botol yang dibawa habis terjual ketika acara berkenaan.
"Bila produk kita dapat sambutan yang bagus di Singapura, bermula daripada situ baru orang kita mula terima wangian kita," kongsinya yang juga bapa kepada tiga orang anak.
Bertitik tolak daripada peristiwa berkenaan, Medin Fragrances telah mengeluarkan beberapa siri koleksi haruman baharu di mana setiap daripadanya dikeluarkan dalam jumlah terhad iaitu sekitar 200 botol dan ia tidak menunggu masa lama untuk habis terjual.
Yang terbaharu adalah koleksi wangian Studio Jalan Ampas Series yang merupakan tribut kepada era kegemilangan sinema Malaysia.
1. Di sebalik jenama Medin Fragrance, apakah konsep dan nilai yang ingin diketengahkan?
Medin ini sebenarnya mahu menterjemahkan bau-bauan yang sedang trend di pasaran global tetapi dengan sentuhan tempatan.
Kami cuba gabungkan seni dan kebudayaan Malaysia. Dunia kami bukan sekadar bau, ia merangkumi cetita, rekaan pembungkusan dan gaya hidup yang cuba kami kaitkan dengan identiti budaya kita.
Sebagai contoh, bukan orang Eropah sahaja yang makan coklat, kita pun makan coklat.
Jadi, kenapa tidak ada representasi bau coklat yang dinikmati orang lokal dengan perspektif kita.
2. Boleh ceritakan bagaimana Medin Fragrance membangunkan setiap bauan unik yang ditampilkan dalam koleksi?
Medin mahu menterjemahkan bau-bauan yang sedang trend di pasaran global tetapi dengan sentuhan tempatan. — Medin Fragrance
Proses mencipta wangian ini agak memakan masa. Sebagai contoh, untuk koleksi pertama iaitu Petaling Street, inspirasi awal datang daripada gabungan bau colok dan oren yang melambangkan bau di tempat tersebut.
Berdasarkan sample profile yang ada mengandungi nota citrus dan juga aroma bau asap gaharu.
Kedua-dua elemen itu perlu dominan dalam perfume tersebut. Konsepnya mudah, seperti membuat minuman, tapi ia perlu sedap.
Setiap lokasi yang diangkat sebagai nama perfume kami mempunyai signature bau tersendiri, seolah-olah aroma itu ‘turun’ secara semula jadi kepada lokasi tersebut.
Contohnya, untuk wangian Bujang Lapok di bawah Studio Jalan Ampas Series. Ia diinspirasikan daripada budaya minum kopi, satu kebiasaan bagi orang-orang lama.
Kami ambil elemen itu dan masukkan bau kopi. Kemudian, untuk beri keseimbangan dan kesegaran, kami masukkan lavender, menjadikan wangian ini segar dan mudah didekati.
3. Masih ramai yang merasakan wangian jenama antarabangsa lebih baik berbanding produk tempatan. Sebagai penggiat industri wangian tempatan, bagaimana anda melihat sentimen ini?
Bagi saya, persepsi produk luar lebih baik daripada tempatan adalah perkara yang subjektif. Hidung masing-masing berbeza, jadinya citarasa juga berbeza. Tapi sebagai anak tempatan, saya secara peribadi tak suka dengar orang cakap produk luar lebih bagus.
Zaman sekarang adalah zaman teknologi, bukan lagi zaman kita tiada akses kepada maklumat atau kemahiran untuk menghasilkan produk dengan kualiti yang setara dengan jenama luar.
Antara koleksi minyak wangi dengan cita rasa tempatan yang dikeluarkan di bawah jenama Medin Fragrance. — Medin Fragrance
Kita beli bukan kerana harga semata-mata, tapi kerana nilai dan reka bentuknya. Begitu juga dengan produk kami.
Kalau sekadar nak beli murah, itu pilihan masing-masing. Tapi kalau nak beli sesuatu yang ada jiwa dan inspirasi tempatan, kami ada.
Di Medin Fragrance, kami bukan hanya menjual minyak wangi. Kami menjual sentimen.
Kami menjual cerita, seni, dan budaya yang menghidupkan inspirasi untuk anak-anak muda terus berkarya.
4. Sebagai jenama yang menghasilkan wangian eksklusif dan edisi terhad, adakah strategi ini mendatangkan cabaran dalam memastikan kelestarian kewangan syarikat?
Memang mencabar untuk kekal dalam industri wangian niche ini. Kami belum mampu capai tahap jualan RM200,000 hingga RM500,000 sebulan.
Buat masa sekarang, kami hanya mampu jana sekitar RM100,000 sebulan. Tapi dalam jumlah itu pun, banyak yang kami belajar terutama dalam aspek manufacturing.
Proses pembuatan sangat penting. Kami ambil tempoh ini untuk faham dan kaji semua aspek, dari formulasi ke pengeluaran.
Sejujurnya, saya agak cemburu dengan negara jiran kita. Di sana, mereka ada ekosistem — tempat khas untuk beli minyak manis (compound atau bahan asas minyak wangi). Tapi di Malaysia, kita belum ada fasiliti atau pusat rujukan seperti itu.
Jadi bagi saya, harapan kita adalah untuk pantas belajar, pantas bertindak, dan mengisi ruang kosong itu.
5. Apakah matlamat akhir yang ingin dicapai jenama Medin Fragrances?
Akhirnya, matlamat utama (endgame) kami adalah untuk mendidik dan memperkenalkan identiti wangian Malaysia kepada dunia.
Kami tak mahu sekadar wujud sebagai satu jenama, kami mahu menjadi satu simbol budaya dan kebanggaan nasional dalam bentuk wangian.
Kami juga menyimpan cita-cita nak guna 100 peratus bahan dari Malaysia untuk wangian kami. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram