
DALAM era kemajuan pendidikan dan teknologi, kes buli dalam kalangan pelajar sekolah masih menjadi isu yang membimbangkan.
Meskipun pelbagai kempen dan tindakan telah dilaksanakan, realitinya, ramai mangsa masih menderita dalam diam memendam perasaan dan trauma, kesan daripada dibuli.
Masyarakat perlu sedar bahawa buli bukanlah perkara remeh dan perlu dipandang serius.
BACA LAGI : Anggota polis parah tertembak diri sendiri di IPK Pulau Pinang
BACA LAGI : Zayn Rayyan mati akibat dijerut, ada kesan telinga dipotong — Pakar forensik
Tindakan mengejek, memperlekeh, atau memalukan seseorang, khususnya kanak-kanak dan remaja, boleh meninggalkan kesan psikologi yang mendalam hingga ke akhir hayat.
Seorang pengguna Facebook, Drea Ann, tampil berkongsi pengalaman silamnya yang menjadi mangsa buli ketika di sekolah suatu maa dahulu.
Drea Ann (kiri) masih trauma dengan kejadian buli yang menimpa dirinya ketika berada di bangku sekolah rendah.
Walaupun peristiwa tersebut sudah lama berlau, namun wanita berkenaan masih lagi trauma kerana menjadi mangsa tuduhan palsu dan cemuhan hanya kerana statusnya sebagai anak yatim piatu.
"Saya masih ingat masa sekolah rendah, saya dituduh mencuri RM2 hanya kerana saya tiada bapa.
"Cikgu R terus mempercayai tuduhan itu tanpa mendengar penjelasan saya," luahnya pada Rabu.
Kejadian itu menjadi lebih menyakitkan apabila rakan sekelas turut mengejek dan menghina dirinya dengan kata-kata kesat seperti ayat, “Sudahlah miskin, tiada bapa, anak luar nikah, tinggal di flat, mencuri lagi.”
Namun, Drea Ann bernasib baik kehadiran seorang guru bernama Cikgu Liza menjadi titik perubahan dalam insiden tersebut.
Cikgu Liza bertindak membawa seluruh kelas ke bilik guru dan menggunakan pendekatan simbolik dengan meletakkan segelas air di atas meja, menyatakan sesiapa yang bersalah akan berubah menjadi katak selepas meminumnya.
Semua pelajar minum kecuali seorang kelasnya yang akhirnya mengaku dialah yang mencuri dan meletakkan duit dalam beg rakannya kerana takut tertangkap.
Walaupun kebenaran akhirnya terbukti, trauma yang dialami oleh Drea Ann tidak mudah padam. Ejekan dan penghinaan yang diterima terus menghantui dia hingga ke sekolah menengah.
"Saya masih menangis apabila dengar perkataan-perkataan itu. Ia buat saya persoal kenapa ayah tinggalkan saya. Sampai bila saya akan dikenang sebagai pencuri hanya kerana saya anak yatim?," soalnya sendiri.
Ironinya, pada tahun 2025, Drea Ann terserempak semula dengan individu yang pernah menuduh dan membulinya.
Kali ini, individu tersebut meminta maaf dengan penuh penyesalan selepas anaknya sendiri menjadi mangsa buli di sekolah.
"Saya sudah lama maafkan. Tapi luka itu kekal. Zaman remaja saya tidak pernah normal seperti orang lain," tambahnya lagi.
Menurut mangsa, satu-satunya sumber kekuatan dalam hidupnya ialah ibunya—seorang wanita tabah yang membesarkan anak-anak sendirian selepas ditinggalkan suami pada usia muda.
"Mak saya tidak pernah berkahwin lain. Dialah mak, dialah juga ayah. Dia kuat, dia luar biasa,"
Drea Ann turut menasihati warga maya agar tidak menjadi pembuli dan menjaga percakapan mereka.
"Jadi pengajaran di sini, jangan sesekali membuat luka di hati orang kerana kita tidak tahu kesannya seperti apa, dan kita tidak tahu kedepannya nasib anak, cucu, cicit kita seperti apa.
"Jadilah baik untuk sesama manusia, kalau tidak dapat jadi baik, keluar dari hidup orang itu dan berhenti menyakiti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram