
TINDAKAN pantas pihak polis berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam dua kejadian samun bersenjata menggunakan parang di sekitar Kulai, Johor pada Jumaat, lebih kurang dua jam selepas insiden dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian pertama berlaku pada pukul 8.26 pagi melibatkan seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun yang disamun dan ditetak di kawasan belakang bangunan sebuah restoran di Jalan Seri Putra, Kulai.
"Mangsa mengalami kecederaan di lengan kiri akibat ditetak menggunakan senjata disyaki parang dan telah menerima rawatan di hospital," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
BACA LAGI : Usah malu ada ijazah tetapi jadi suri rumah, ada beza 'ibu di dapur' berpendidikan tinggi
BACA LAGI : [VIDEO] 'You touch you go', Asyraf Wajdi hantar pegawai siasat kes buli MRSM di Pulau Pinang
Tambahnya, pada hari sama, polis menerima satu lagi laporan kejadian samun bersenjata yang berlaku di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai sekitar pukul 8.45 pagi.
"Kali ini, mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun.
"Suspek menaiki motosikal Yamaha 135LC dan menghampiri mangsa sebelum melarikan wang tunai, kad pengenalan serta telefon bimbit. Namun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut," jelas beliau.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee
Bertindak atas maklumat awam dan hasil risikan, polis berjaya mengesan serta menahan suspek lelaki berusia 40 tahun dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Jalan Skudai-Gelang Patah pada pukul 10.05 pagi, iaitu kurang dua jam selepas kejadian pertama berlaku.
"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," kata Seng Lee.
Antara barangan yang dirampas termasuk sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, telefon bimbit, beg tangan, dokumen pengenalan diri seperti MyKid dan pasport Indonesia, barang kemas, wang tunai serta kotak peralatan bertukang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Polis turut menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah di kawasan setempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram