
STATUS yang dimuat naik pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu berhubung keadaan dua anak lelakinya Khidir dan Abu Bakr yang didiagnos sebagai autisme mendapat reaksi positif daripada masyarakat.
Menerusi hantaran dikongsinya pada hari ulang tahun ke-40 tahun, Jep atau nama sebenar Mohd. Nadzri Zainal Abidin itu memanjatkan kesyukuran selepas menerima berita tersebut.
Meskipun pahit untuk ditelan, Jep tetap berusaha untuk sentiasa memberi kasih sayang sama rata kepada dua anak syurganya itu.
Hantaran itu turut dipenuhi dengan kata-kata sokongan dan dorongan daripada seluruh rakan selebriti, penyokong termasuk ibu bapa yang berdepan dengan situasi sama di ruangan komen.
Mengulas lanjut, seorang pengguna akaun Facebook Zaini Abas yang juga ayah kepada anak autisme mahu menjadikan perkara tersebut didedahkan dengan lebih meluas dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Anak syurga itu amanah, bukan beban. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun saya yakin, ALLAH memilih insan yang hebat untuk memikul amanah ini.
"Sebagai ayah kepada anak autisme dan juga seorang pendidik serta aktivis dalam dunia anak-anak istimewa ini, saya faham betapa peritnya proses penerimaan.
"Dari saat mendengar diagnosis hingga ke perjuangan setiap hari untuk memahami, mendidik dan menyayangi tanpa syarat.
"Jep dan isteri, kalian tidak keseorangan. Ramai dalam komuniti ini yang melalui perjalanan yang serupa.
"Namun percayalah, dengan ilmu yang betul, insya-ALLAH jalan ini akan terasa lebih ringan.
"Jangan biarkan usia emas anak-anak ini berlalu tanpa intervensi awal," tulisnya.
Katanya lanjut, fasa umur kanak-kanak tersebut yang masih kecil adalah waktu paling berharga untuk bantu mereka belajar berkomunikasi, mengurus diri, membina fokus dan membentuk potensi yang luar biasa.
Dia pada masa sama mengajak keluarga yang memiliki anak autisme termasuk selebriti untuk bersamanya menjayakan kempen kesedaran autisme.
"Kita perlukan suara ayah seperti Jep. Suara selebriti yang dihormati dan mampu membuka mata masyarakat bahawa anak autisme bukan ‘kurang’, tetapi berbeza.
"Mereka bukan beban, tetapi rahmat yang menyedarkan. Semoga dengan platform yang ada, gunakan untuk terus memberi kesedaran kepada ahli keluarga dan masyarakat," ujarnya.
Untuk rekod, Jep dan pelakon, Sari Yanti melangsungkan perkahwinan mereka pada 25 Februari 2017.
Pasangan itu juga dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Dariya Inara, 7, Muhammad Khidir, 5, dan Abu Bakr, 4. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram