
SEORANG pelajar tidak bernasib baik apabila dirempuh penunggang motosikal ketika sedang melintas jalan di hadapan sekolahnya baru-baru ini.
Menerusi video tular di media sosial sejak Selasa, kejadian berlaku ketika pelajar terbabit mahu pulang dari sekolah.
Pada masa sama, kelihatan beberapa kenderaan lain sudah memberhentikan kenderaan selepas melihat pengawal keselamatan mengangkat bendera merah.
BACA LAGI: Meta sekat pengguna bawah 16 tahun buat ‘live’ di Instagram, perlu izin ibu bapa
Meskipun bendera itu sudah diangkat, seorang penunggang motosikal yang juga kelihatan lengkap pakaian sekolah bagaimanapun meneruskan perjalanan sebelum melanggar mangsa di lintasan pejalan kaki kuning.
Mangsa dan penunggang terbabit kemudiannya dilihat terjatuh di bahu jalan selepas pelanggaran itu.
Keadaan mangsa bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada terdapat kecederaan parah atau tidak.
Rata-rata warga maya yang menonton video tersebut turut mengecam tindakan penunggang motosikal yang dianggap tidak peka dengan keadaan sekeliling.
"Kawasan pejalan kaki ada garisan kuning sepatutnya yang bawa motosikal lebih peka dengan orang melintas jalan," komen Shamsul Abdul.
"Budak bawa motosikal tak tengok hadapan sedangkan pengawal dah hentikan kereta," kata Faizal Akmal.
Bukan itu sahaja, kebanyakannya juga menggesa pihak berwajib untuk mengenakan tindakan tegas terhadap penunggang terlibat.
"Si pelaku, tindakan anda tidak bererti tidak bersalah, video dashcam jelas dan nyata. Ibu bapa atau penjaga sila ambil tindakan ke atas pelaku," gesa Izhaf Thes.
Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram