Urusan kewangan lemah, ambil ringan punca bisnes PKS gagal, Swipey bantu sedia solusi


  • Bizz
  • Rabu, 12 Mac 2025

Beroperasi dengan pasukan terdiri daripada hanya 15 orang, Swipey kini berkhidmat kepada lebih 2,000 perniagaan di Malaysia. — Swipey

WALAUPUN sering dipandang enteng, kewangan adalah aspek penting berfungsi sebagai nadi dan enjin pertumbuhan bagi setiap perniagaan.

Malah, ia juga merupakan penentu kepada sama ada berjaya atau gagal sesebuah perusahaan untuk berkembang.

Bagi kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hari ini, mengurus pelbagai aspek dalam kewangan perniagaan menjadi satu cabaran kerana sifatnya yang disifatkan membosankan, kompleks dan renyah.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGI: Status agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

Berusaha menangani masalah tersebut Swipey, iaitu platform operasi kewangan digital menyasarkan untuk membina platform pelbagai fungsi.

Dengan matlamat bagi memudahkan pengurusan pembayaran dan perbelanjaan untuk perniagaan, perkhidmatannya meliputi penyediaan papan pemuka pengurusan perbelanjaan mesra pengguna, kad visa korporat maya dan fizikal serta pembayaran invois dan bil automatik.

“Platform pengendalian kewangan kami melangkaui hanya pembayaran, ia membabitkan semua perkara yang berlaku dari saat anda menerima invois, kepada kelulusan dan pengesahan pembayaran, hingga kemasukan ke dalam sistem perakaunan,” kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Swipey, Kalyana Mohan Teagarajan.

Menurutnya, ketika ini kira-kira 90 peratus daripada proses dalam kewangan perniagaan berlaku sebelum dan selepas pembayaran.

"Di situlah kami mahu melangkah masuk dan berinovasi,” kongsi Kalyana.

Swipey diasaskan Kalyana dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Rouvin Thiruchelvam, selepas melihat jurang ketara yang wujud dalam pengurusan kewangan perniagaan moden.

Misi Rouvin (kiri) dan Kalyana bantu memudahkan pengurusan kewangan supaya perniagaan berkembang dengan baik. — Swipey

Sebagai graduan kejuruteraan, beliau pernah bekerja selama lebih 10 tahun di General Electric (GE), United Kingdom (UK), dengan tugasan pertama adalah dalam bahagian kewangan sebelum berpindah peranan ke operasi yang menerajui transformasi digital di cabang perniagaan gas dan minyak GE.

Selepas pulang ke Malaysia, beliau mula menggunakan pengalaman dan kemahirannya untuk membantu rakan dan keluarga memajukan perniagaan.

“Sifat perniagaan untuk tradisional dan baharu adalah berbeza, tetapi masalah dihadapi sentiasa sama.

"Mereka bertanya, 'Bolehkah anda membantu saya berkembang?',” ujarnya.

Pengurusan kewangan lemah

Sementara itu, Rouvin, yang juga memulakan kerjaya dalam bahagian kewangan di GE, menghabiskan tempoh tujuh tahun bekerja dalam sektor ekuiti persendirian dan pelaburan di CIMB.

"Pada masa ini saya melihat PKS telah mencapai tahap di mana mereka berusaha untuk meningkatkan pertumbuhan sebelum pergi ke proses disenarai awam.

“Daripada 100 syarikat, sekitar 98 daripadanya tidak dapat menjalankan proses pelaburan kerana mereka tidak mempunyai sistem, alatan dan proses untuk beralih daripada kedai fizikal kepada perniagaan yang mencapai peringkat institusi,” kongsinya.

Ketika cuba memulakan perniagaan sendiri, Rouvin mendapati beliau turut menghadapi kesukaran yang sama.

Pengalaman itu menjadi pendorong untuknya mencipta penyelesaian membantu pemilik perniagaan daripada beban berkaitan dengan pengurusan kewangan.

“Terdapat begitu banyak kebimbangan mengenai wang hilang atau salah guna, kesilapan perakaunan dan pengauditan, sehingga menghalang (perkembangan) kerana anda tidak boleh mengabaikan aspek perniagaan ini.

"Kami fikir bahawa jika kami boleh menghilangkan masalah dalam isu pengurusan kewangan, ia akan memberikan kebebasan kepada perniagaan untuk lebih fokus untuk berkembang," tambahnya.

Disebabkan itu, Swipey dilahirkan dengan idea untuk membina semula operasi kewangan sebagai platform disatukan yang boleh diakses dan mudah digunakan untuk perniagaan kecil.

“Bagi kami, ia adalah satu pasaran baharu yang belum diterokai. Tiada pihak lain yang menyediakan perkhidmatan serupa," kata Kalyana.

Usaha membangunkan penyelesaian itu melibatkan langkah menemu bual 130 perniagaan di Malaysia mengenai proses pembayaran dan operasi kewangan mereka.

"Kami mendapati bahawa 93 peratus daripada PKS tidak layak atau telah berputus asa memohon pembiayaan daripada bank," katanya.

Akibatnya, banyak perniagaan menggunakan kad kredit peribadi.

Situasi itu membawa kepada pelbagai masalah seperti cabaran mengasingkan perbelanjaan peribadi dan perniagaan, kekurangan pebjelasan tentang untung rugi sebenar, dan risiko penipuan.

Dengan Swipey, perniagaan boleh memiliki pelbagai kad untuk tujuan perbelanjaan dan fungsi berbeza, sekali gus menangani sebarang risiko kewangan.

“Anda boleh menutup buku akaun anda sebanyak beberapa kali lebih pantas kerana setiap akaun akan pergi ke buku rekod kewangan tertentu.

"Jika salah satu kad itu terjejas, anda boleh membekukannya dan mengeluarkan kad baharu dalam beberapa saat,” tambah Kalyana.

Tingkat pendapatan

Melalui penjejakan dan pelaporan perbelanjaan automatik, tetapan kawalan belanjawan serta mekanisme pembayaran khusus, platform yang dikuasakan dengan ciri teknologi itu boleh membantu mengurangkan ralat dan kelewatan serta meningkatkan produktiviti dan pemulihan.

"Memperbaiki semua isu operasi ini akhirnya akan mebawa kepada lebih banyak PKS yang berjaya.

"Bukan sahaja mereka meningkatkan pendapatan mereka, mereka juga mempunyai peluang lebih besar mengakses pembiayaan kerana buku rekod kewangan mereka yang lebih bersih," jelasnya.

Beroperasi dengan pasukan terdiri daripada hanya 15 orang, Swipey kini berkhidmat kepada lebih 2,000 perniagaan di Malaysia.

Papan pemuka mesra pengguna Swipey yang memudahkan pengurusan perbelanjaan.

"Pendekatan kami sangat tertumpu pada pertumbuhan yang dipacu oleh produk kami.

"Caranya adalah dengan membina produk, menyampaikan nilai, membiarkan orang ramai merasai perkhifmatan tersebut, dan kemudian membimbing mereka melalui perjalanan pendigitan dan mengautomasikan peranan CFO (Ketua Pegawai Kewangan)," jelasnya.

Dalam pada itu, Swipey kini turut merancang untuk menangani jurang lain yang wujud dalam operasi kewangan perniagaan.

Ia termasuk memperluaskan perkara berkaitan perbelanjaan dan mencipta penyelesaian untuk penghutang, proses invois pelanggan dan kutipan pembayaran.

Swipey juga sedang mencari cara untuk menangani jurang pembiayaan besar dalam pasaran tempatan dengan memudahkan pemberian pinjaman untuk perniagaan.

"Kelebihan kami ialah kami begitu arif dengan kewangan harian perniagaan, daripada pembayaran dalam talian kepada pembayaran gaji, jadi kami mempunyai data masa nyata yang berkualiti tinggi.

"Ini membolehkan kami bekerjasama dengan rakan kongsi untuk jamin dan menyokong mereka dengan modal kerja tambahan menggunakan sistem dan data kami," kata Kalyana.

Ketika syarikat tersebut terus meningkatkan usaha bagi berinovasi dan memodenkan pengurusan kewangan, beliau percaya terdapat juga potensi besar wujud untuk mengubah aspek kewangan dalam sesebuah perniagaan.

Dengan peningkatan pendigitalan proses manual, Kalyana percaya tenaga kerja di bahagian kewangan boleh disumber daya untuk menjalankan kerja lebih bermakna dan memainkan peranan aktif dalam keputusan perniagaan.

"Oleh kerana mereka tidak terikat dengan kerja manual, mereka akan berpeluang untuk meningkatkan kemahiran ke fungsi kewangan strategik dan termasuk menjadi rakan kongsi perniagaan.

"Itu akan menjadi satu game-changer dan Swipey akan membantu mereka dalam perjalanan itu," jelas Kalyana. — The Star/NICOLE CHEW

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram