Super Schools Rugby 2025: 10 pasukan baharu antara 36 berentap bermula Mei ini


  • Podium
  • Ahad, 09 Mac 2025

SSR 2025 dijadualkan bermula pada Mei ini dan akan menjadi kejohanan ragbi 15s terbesar bagi kategori bawah 18 tahun.

KEJOHANAN ragbi sekolah paling berprestij di Malaysia, Super Schools Rugby (SSR), menyambut edisi ke-10 penganjurannya dengan memperkenalkan 10 pasukan baharu dalam dua divisyen utama bagi 2025.

Penambahan itu mengukuhkan lagi status SSR sebagai platform utama pembangunan bakat ragbi muda negara.

Berlangsung dengan tema “Satu Dekad Keunggulan”, kejohanan itu kini menyaksikan sebanyak 36 pasukan bertanding dalam dua kategori utama, iaitu Divisyen SSR dan Divisyen Akademi SSR (SSRA).

BACA LAGI: Sekali lagi layak ke Asia, pengaruh Kinoshi mampu bawa Hiroki Sakai sertai Selangor

BACA LAGI: Luqman Hakim pilih pulang ke Malaysia, ini 4 wonderkid hilang dari radar Liga M

Dalam saingan utama Divisyen SSR, lima pasukan baharu telah diterima masuk, menjadikan jumlah keseluruhan pasukan yang bersaing merebut Piala Cabaran Tan Sri Wan Aziz meningkat kepada 24 pasukan.

Lima sekolah yang baharu menyertai kejohanan itu ialah Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah dari Pahang, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah dari Melaka, Sekolah Menengah Sains (SMS) Teluk Intan dari Perak, SMS Tuanku Jaafar dari Negeri Sembilan, dan SMS Sultan Mohamad Jiwa dari Kedah.

Mereka akan bersaing dengan 19 sekolah ternama lain termasuk institusi berprestij seperti Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), The Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Victoria Institution (VI) dan juara bertahan, SMS Hulu Selangor (SEMASHUR).

Sementara itu, Divisyen Akademi SSR (SSRA), yang diperkenalkan bagi memberikan peluang kepada sekolah sukan, akademi ragbi dan kelab untuk bertanding dalam format 15 sebelah, turut menerima lima pasukan baharu.

Dengan penyertaan baharu itu, jumlah keseluruhan pasukan SSRA meningkat kepada 12.

Pasukan baharu yang menyertai SSRA ialah SMK King Edward VII dari Perak, Sultan Ismail College dari Kelantan, SMK Shah Alam dari Selangor, serta dua kelab ragbi dari Lembah Klang, iaitu COBRA dan KL Tigers.

Mereka akan bersaing bersama pasukan sedia ada seperti juara sulung Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Akademi Ragbi Selangor (ARAS), menjadikan saingan semakin sengit dan berprestij.

Super Schools Rugby terus komited dalam mengembangkan ekosistem pembangunan ragbi peringkat sekolah, bukan sahaja meningkatkan standard persaingan tetapi juga mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Kejohanan tahun ini dijangka menjadi yang paling mendebarkan dengan 36 pasukan bersaing untuk merebut kejuaraan.

SSR dianjurkan oleh Enervive Sports, sebuah agensi sukan yang sinonim dengan pembangunan dan pengkomersialan sukan di Malaysia.Antara pasukan yang akan bertanding dalam SSR 2025.

Selain menguruskan kejohanan sukan, Enervive Sports turut terlibat dalam pembangunan padang sintetik EV Arena dan pengeluaran pakaian sukan khas EV.

Kejohanan SSR 2025 dijadualkan bermula pada Mei ini dan akan menjadi kejohanan ragbi 15s terbesar bagi kategori bawah 18 tahun.

Dengan tema “Satu Dekad Keunggulan”, kejohanan ini bakal menjadi platform utama bagi pemain muda berbakat untuk mengasah kemahiran mereka dalam sukan ragbi.

Semua pasukan bertanding diharap dapat memberikan aksi terbaik dalam saingan tahun ini, menjadikan edisi ke-10 SSR sebagai kejohanan paling kompetitif dan menarik dalam sejarahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram