
KEJADIAN buli dalam kalangan pelajar institusi pendidikan semakin membimbangkan apabila tular sebuah rakaman video yang dipercayai berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pulau Pinang baru-baru ini.
Video berdurasi satu minit 31 saat tersebut memaparkan seorang pelajar lelaki dalam keadaan tertiarap di atas katil, dipercayai menjadi mangsa sekumpulan pelajar lain yang bertindak kasar dengan menghempap kepala serta badannya.
Lebih mengejutkan, mangsa turut disebat menggunakan tali pinggang pada punggung tanpa belas kasihan.
BACA LAGI: Mohon ikat jamin dikurangkan sebab tanggung 2 anak, askar tumbuk pemandu wanita minta dibicarakan
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya orang Malaysia, asal Jerantut Pahang', Abang Belon sayu difitnah warga asing, tiada IC
Meskipun tidak dapat dipastikan sama ada kejadian itu sekadar gurauan atau perbuatan buli sebenar, reaksi orang ramai di media sosial jelas menunjukkan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar di institusi pendidikan elit seperti MRSM.
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Susulan penyebaran video itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan siasatan segera dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan insiden terbabit dan pelajar yang terlibat.
"Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa ini berlaku di MRSM. Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil.
"Saya sudah mengingatkan banyak kali sejak diberikan amanah menjaga MARA, ‘you touch, you go!’” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Tambah beliau, MARA tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang cuba membudayakan perbuatan buli dalam apa jua bentuk.
"Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan ‘buli’ dalam apa jua bentuk di MRSM,” tegasnya.
Susulan kejadian itu, pihak polis mendapati insiden tersebut berlaku pada pertengahan awal 2024 dan sudah mengenal pasti pelajar yang terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar dilaporkan berkata, kejadian membabitkan tujuh pelajar termasuk mangsa berusia 15 tahun itu dikatakan hanya bergurau dan ejek-mengejek sesama sendiri.
Bagaimanapun, tiada laporan diterima berhubung insiden tersebut.
Kesemua pelajar terlibat juga dilaporkan akan dirakamkan keterangan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Setakat ini, pihak MARA memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya selepas siasatan lengkap dijalankan.
Orang ramai, terutamanya ibu bapa, terus mendesak agar langkah pencegahan lebih serius diambil oleh pihak berkuasa dan institusi pendidikan demi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar terjamin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram