Rompak guna pistol mainan, lelaki larikan 2 dulang rantai emas bernilai RM250,000 di Melaka


  • 112
  • Khamis, 20 Mac 2025

Pameran kaca di sebuah kedai emas dipecahkan di Bangunan Arked MARA, Kuala Sungai Baru pada petang Khamis. — PDRM

SEBUAH kedai emas kerugian RM250,000 apabila disamun seorang lelaki bersenjatakan pistol mainan di Bangunan Arked MARA, Kuala Sungai Baru dekat Ayer Keroh, Melaka pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden, Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku lebih kurang pukul 2.20 petang. 

"Mangsa berusia 49 tahun bersama anaknya masing-masing berusia 10 dan tujuh tahun berada di dalam kedai itu sebelum didatangi suspek yang berpakaian hitam dan menutup muka dengan menggunakan topi keledar.

BACA LAGI : [VIDEO] Rempuh 3 motosikal di 3 lokasi berbeza, ayah rayu bantuan orang ramai kesan pemandu Myvi langgar lari anak

BACA LAGI : [VIDEO] 'Kucing hidu bahaya', pemandu Myvi baru masuk kenderaan nyaris maut kena 'sodok' kereta laju di Kulim

"Bimbang akan keselamatan mereka, pemilik kedai segera menarik kedua-dua anaknya dan berlari masuk ke sebuah bilik di bahagian belakang premis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, suspek kemudiannya bertindak memecahkan pameran kaca di bahagian hadapan.

"Lebih kurang dua dulang rantai emas yang mengandungi 50 utas rantai tangan emas pelbagai berat dilarikan dengan anggaran kerugian lebih kurang RM250,000.

"Susulan kejadian itu, mangsa mebuat panggilan polis dan sepasukan anggota dihantar ke tempat kejadian. 

"Siasatan awal mendapati suspek membuang pistol mainan sebelum melarikan diri bersama barang kemas yang dicuri, hanya beberapa saat sebelum polis tiba di tempat kejadian.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06 - 5562222," katanya lagi.

Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram