Dua lelaki di England didapati bersalah, curi mangkuk tandas emas istana bernilai RM28 juta


  • Benua
  • Rabu, 19 Mac 2025

Dua lelaki telah didapati bersalah atas kesalahan mencuri tandas emas milik artis Itali, Maurizio Cattelan, dari Blenheim Palace, United Kingdom pada 2019. 

DUA lelaki didapati bersalah pada Selasa atas kesalahan mencuri tandas emas milik artis Itali, Maurizio Cattelan, dari Blenheim Palace, United Kingdom pada 2019. 

Mahkamah Oxford Crown mendapati Michael Jones, 39, bersalah atas kesalahan memecah masuk, manakala Fred Doe, 36, bersalah atas konspirasi untuk menukar atau memindahkan harta jenayah. 

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan selama tiga minggu.

BACA LAGI: [VIDEO] Misi hantar manusia ke Marikh bermula hujung 2026

BACA LAGI: Mak ayah tak sedar anak main mercun bola, 2 beradik melecur teruk di Kuala Nerang

Tandas emas 18 karat yang berfungsi sepenuhnya itu bernama America (2016), dianggarkan bernilai RM28.8 juta (£4.8 juta) dan telah dipamerkan dalam sebuah pameran seni di istana abad ke-18 itu sebelum dicuri oleh lima suspek pada 14 September 2019. 

Seorang lagi suspek, James Sheen, 40, mengaku bersalah lebih awal atas kesalahan pecah masuk, pemindahan harta jenayah dan konspirasi untuk memindahkan harta jenayah.

Bukti DNA Sheen ditemui pada tukul besi yang ditinggalkan di tempat kejadian serta dalam trak Isuzu yang digunakan untuk rompakan tersebut.

Menurut kenyataan Polis Thames Valley, Sheen merupakan dalang utama yang merancang pencurian itu. 

Beliau mengarahkan Jones untuk meninjau kawasan istana sebanyak dua kali sebelum kejadian, iaitu pada 7 dan 13 September. 

Pada lawatan kedua, Jones membeli keahlian Blenheim Palace dan menempah untuk menggunakan tandas tersebut.

Dia turut mengambil gambar tandas emas itu, lokasi pameran serta laluan masuk dan keluar untuk memudahkan rompakan.

Polis percaya bahawa tandas emas tersebut dibawa ke beberapa lokasi berbeza, dicairkan dan dijual dalam tempoh beberapa jam selepas dicuri. 

Dalam tempoh 15 hingga 28 September, Sheen dikatakan merancang penjualan emas itu. 

Doe pula menawarkan untuk mencari pembeli dan menguruskan jual beli emas tersebut. 

Perbualan mereka menggunakan mesej berkod untuk membolehkan mereka berbincang mengenai 'kereta' dan '26 setengah', yang menurut pihak pendakwaan merujuk kepada harga emas curi sebanyak RM159,000 (£26,500) bagi setiap kilogram.

Pendakwa raya, Julian Christopher KC, memberitahu mahkamah bahawa rompakan itu dirancang dengan teliti dan dijalankan dengan pantas. 

Suspek bertindak merempuh pintu pagar kayu yang berkunci untuk memasuki kawasan Blenheim Palace pada pukul 5 pagi menggunakan dua kenderaan curi iaitu trak Isuzu dan VW Golf. 

Mereka hanya mengambil masa lima minit untuk melakukan jenayah tersebut.

Shan Saunders dari Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) menyatakan bahawa kes itu melibatkan siasatan yang rumit dengan pelbagai cabang penyiasatan di seluruh negara. 

"Walaupun emas itu tidak pernah ditemui, kami yakin pendakwaan ini telah membantu mengganggu rangkaian jenayah dan pengubahan wang haram yang lebih besar," katanya.

Ketiga-tiga lelaki itu akan dijatuhkan hukuman pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti. 

Seorang lagi suspek, Bora Guccuk, 39, dari London Barat telah dibebaskan daripada tuduhan konspirasi untuk menukar atau memindahkan harta jenayah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram