
LEBIH 70 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara besar-besaran yang dilancarkan Israel di utara dan selatan Semenanjung Gaza pada Khamis.
Lebih menyedihkan lagi, tragedi berdarah itu berlaku sebelum subuh di saat umat Islam di seluruh dunia bersiap untuk bersahur dan menjalani ibadah puasa.
Namun, bagi penduduk Gaza, mereka tidak sempat menjamah makanan sebelum serangan kejam itu meragut nyawa mereka.
Serangan yang berlaku pada awal pagi Khamis itu merupakan sebahagian daripada tindakan ketenteraan Israel yang disambung semula pada Selasa, selepas gencatan senjata dengan Hamas yang berkuat kuasa sejak 19 Januari lalu runtuh.
Dalam gelombang serangan baharu itu, lebih 400 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan ke atas bangunan kediaman dan tempat perlindungan sementara.
Serangan yang berlaku pada awal pagi Khamis itu merupakan sebahagian daripada tindakan ketenteraan Israel yang disambung semula pada Selasa. — Agensi
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 970 orang terbunuh dalam tempoh dua hari sahaja akibat pengeboman tanpa pandang bulu oleh tentera Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa serangan udara tersebut hanya permulaan dan berjanji akan terus menyerang wilayah Palestin itu dengan 'kekuatan penuh'.
Dalam perkembangan lain, tentera Israel turut melancarkan operasi darat secara terhad bagi mengawal semula Koridor Netzarim, satu kawasan strategik yang memisahkan Gaza kepada dua bahagian.
Sebelum ini, pasukan tentera Israel telah berundur dari kawasan tersebut sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.
Keadaan di Semenanjung Gaza terus memburuk dengan kematian yang semakin meningkat, sementara usaha antarabangsa untuk menamatkan konflik masih buntu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram