
MELIHAT kepada senarai lima orang terkaya di dunia, hampir kesemuanya adalah datang daripada dunia perniagaan teknologi dan inovasi.
Daripada Elon Musk yang memiliki Tesla dan SpaceX, Jeff Bezos (Amazon), Mark Zuvckerberg (Meta) hingga Larry Elison (Oracle).
Bagaimanapun, di dalam senarai lima teratas itu, Bernard Arnault dan keluarganya merupakan satu-satunya pengecualian.
Ini kerana berbanding dengan empat nama disebutkan awal tadi, Bernard yang dianggar memiliki kekayaan AS$171 bilion (RM760.95 bilion) adalah satu-satunya bilionair yang bukan datang daripada dunia teknologi.
Ini kerana beliau merupakan pemilik kepada konglomerat fesyen mewah global berpangkalan di Paris, Perancis iaitu LVMH yang terdiri daripada lebih 70 jenama barangan mewah di seluruh dunia.
Dilatih sebagai jurutera
Bernard mengambil alih LVMH pada 1989. — Agensi
Bernard dilahirkan pada 5 Mac 1949 di Roubaix, Perancis, dalam keluarga yang terlibat dalam perniagaan pembinaan.
Bernard belajar di École Polytechnique, sebuah universiti ternama di Perancis yang mana beliau memperoleh ijazah dalam bidang kejuruteraan.
Walaupun dilatih sebagai jurutera, Bernard lebih tertarik dengan dunia perniagaan.
Disebabkan itu, sebaik menamatkan pengajian pada 1971, beliau terus menyertai syarikat pembinaan milik keluarganya, Ferinel.
Langkah pertama besar Bernard dalam dunia barangan mewah bermula pada tahun 1984, apabila beliau membeli syarikat mod terkenal Perancis, Boussac Saint-Frères, yang pada masa itu berdepan kesulitan kewangan.
Namun, tidak lama kemudian, Arnault menjual sebahagian besar aset syarikat itu dan menumpukan perhatian kepada Christian Dior, sebuah jenama fesyen mewah yang menjadi asas empayar perniagaan dibangun beliau.
Membina LVMH
Louis Vuitton menjadi antara penyumbang terbesar pendapatan LVMH. — Agensi
Pada 1987, Bernard memperoleh saham majoriti dalam LVMH, syarikat gergasi yang menggabungkan dua nama besar dalam dunia mewah iaitu Moët & Chandon yang merupakan pengeluar minuman dan jenama beg tangan mewah, Louis Vuitton.
Beliau mengambil alih LVMH sepenuhnya pada tahun 1989 dan mula menggabungkan lebih banyak jenama mewah di bawah payung LVMH.
Dalam pengembangan bisnesny, beliau memegang prinsip untuk menggabungkan warisan tradisional dan inovasi moden.
Beliau sangat bijak dalam memilih jenama yang mempunyai potensi tinggi antaranya menerusi pembelian saham syarikat besar seperti Tiffany & Co. pada 2020 dengan nilai AS$16.2 bilion (RM72 bilion).
Pembelian itu merupakan salah satu pengambilalihan terbesar dalam sejarah syarikat LVMH dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran barang kemas mewah global.
Antara pengambil alihan penting lain sebelum itu termasuk Fendi pada 1999, Celine (2001), Givenchy (1988).
Dalam tempoh tersebut, Bernard turut memberi tumpuan besar kepada pengembangan pasaran di Asia, terutamanya China yang menjadi salah satu pasaran terbesar produk mewahnya.
Pada masa ini, Louis Vuitton merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan LVMH diikuti jualan barang kemasnya menerusi jenama Tiffany & Co. dan Bulgari serta rangkaian kedai kecantikan kosmetik terbesar dunia, Sephora. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram