
INDUSTRI akuakultur di Malaysia terus menunjukkan potensi pertumbuhan memberangsangkan dengan ia mencapai nilai pengeluaran mencecah RM3.9 bilion pada 2023 menerusi penghasilan kira-kira 492,680 tan metrik ikan.
Dengan perkembangan positif tersebut, Kerajaan pada tahun lalu menyasarkan agar sektor akuakultur menyumbang 40 peratus daripada jumlah pengeluaran perikanan menjelang 2030, berbanding 30 peratus pada 2024.
Akuakultur merujuk kepada aktiviti penternakan spesies akuatik dalam persekitaran dikawal seperti kolam, sangkar laut, atau sistem recirculating aquaculture systems (RAS).
Prof. Madya daripada Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia, Dr. Risyawati Mohamed Ismail berkata, pertambahan penduduk bermakna permintaan terhadap makanan laut berkualiti tinggi dan produk akuakultur akan turut meningkat.
BACA LAGI: Inovasi meja ergonomik anak muda dari Pulau Pinang, tak gentar persaingan, teruskan legasi keluarga
BACA LAGI: Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan
Katanya, pinggir pantai Malaysia yang luas dan sumber air tawar yang banyak merupakan resipi terbaik dalam menyediakan persekitaran subur untuk aktiviti akuakultur bagi mempelbagaikan spesies hidupan seperti udang, tilapia, ikan keli dan rumpai laut.
"Industri akuakultur di Malaysia dicirikan oleh gabungan operasi tradisional berskala kecil, ladang yang lebih besar dan moden menggunakan teknologi canggih serta amalan pengurusan.
Spesies teratas dihasilkan di ladang akuakultur negara adalah ikan air tawar yang menyumbang kira-kira 69 peratus daripada jumlah pengeluaran pada 2020. — Gambar hiasan
"Walaupun industri menghadapi cabaran seperti wabak penyakit, kebimbangan alam sekitar dan permintaan pasaran berubah-ubah, ini juga menawarkan peluang ekonomi.
"Bahkan, ia juga berpotensi memenuhi permintaan makanan laut yang semakin meningkat di rantau ini. Industri akuakultur di Malaysia merangkumi pelbagai jenis spesies," katanya.
Menurut data Jabatan Perikanan Malaysia, spesies teratas yang dihasilkan di ladang akuakultur negara adalah ikan air tawar yang menyumbang kira-kira 69 peratus daripada jumlah pengeluaran pada 2020.
Antara spesies ikan air tawar paling banyak diternak ialah tilapia dan ikan keli.
Ikan marin dan udang merupakan spesies penting dalam industri akuakultur Malaysia.
Ikan marin menyumbang kira-kira 11 peratus daripada jumlah pengeluaran dan udang 9 peratus.
Ikan tilapia antara spesies tertinggi dikeluarkan sektor akuakultur negara.
Spesies ikan laut paling banyak diternak adalah kerapu, siakap dan ikan bawal.
Spesies udang yang diternak di Malaysia ialah udang harimau hitam dan udang kaki putih.
Perubahan harga
Disebabkan permintaan begitu pesat berkembang, Risyawati berkata, bekalan makanan ikan berkualiti tinggi merupakan faktor kritikal menentukan kemapanan industri akuakultur di negara. Katanya, buat waktu ini, kebanyakan bahan makanan digunakan dalam operasi akuakultur negara adalah diimport dari luar.
"Ini boleh menyebabkan gangguan rantaian bekalan akibat turun dan naik harga serta isu kualiti.
"Industri akuakultur di Malaysia banyak bergantung kepada bahan pembuatan makanan yang diimport seperti tepung kacang soya, tepung ikan dan tepung gandum.
"Pergantungan kepada bahan import boleh menyebabkan harga makanan ikan terdedah kepada keadaan pasaran antarabangsa, nilai mata wang tidak menentu dan gangguan rantaian bekalan," ujarnya.
Selain itu, Risyawati berkata, kualiti dan keselamatan bahan mentah dalam pembuatan makanan ikan yang diimport juga mungkin sukar dikawal dan membawa kepada kebimbangan mengenai bahan cemar, pemalsuan dan keselamatan makanan.
"Walaupun Malaysia berpotensi menghasilkan pelbagai bahan makanan, termasuk jagung, ubi kayu dan kek isirung sawit, tanaman ini sering dialihkan untuk industri lain seperti biofuel.
"Ketersediaan bahan tempatan yang terhad boleh merencatkan pertumbuhan dan kemapanan industri akuakultur terutamanya bagi penternak berskala kecil yang mungkin bergelut untuk mendapatkan makanan mencukupi," jelas beliau.
Ikan keli antara spesies ikan air tawar paling banyak diternak.
Risyawati berkata, harga bahan makanan ikan sememangnya sentiasa berubah disebabkan faktor seperti cuaca, penawaran dan permintaan global serta dasar perdagangan.
Situasi itu menyukarkan lagi penternak untuk merancang dan mengurus kos pengeluaran.
"Menangani cabaran ini memerlukan. usaha yang diselaraskan dalam kalangan pihak berkepentingan dalam industri, agensi kerajaan dan institusi penyelidikan," ujarnya.
Beliau menambah, beberapa penyelesaian diperlukan termasuk menggalakkan penggunaan bahan-bahan tempatan, melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menambah baik formulasi makanan dan kaedah pengeluaran.
"Pada masa sama, membangunkan perkongsian strategik dengan pembekal antarabangsa juga dapat memastikan bekalan bahan ternakan berkualiti tinggi kekal stabil," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram