Habis terjual lepas 10 minit 'live', suami isteri usahakan kek batik homemade 'crunchy' laris di TikTok


  • Bizz
  • Rabu, 19 Mac 2025

Muhammad Azrul mula menjual kek batik secara sambilan sejak sekitar April tahun lalu.

PADA mulanya, Muhammad Azrul Mohd Radi sekadar mencuba-cuba menjual kek batik dihasilkannya bersama isteri di TikTok.

Tanpa disangka, jualan manisan yang dilakukan secara suka-suka itu pantas menarik perhatian pengguna di platform tersebut.

Malah, siaran langsung yang dibuat ketika memotong hidangan kek batik berkenaan mendapat jumlah tontonan konsisten mencecah lebih 1,000 pengguna.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGI: Status agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

"Pada satu ketika, semua kek sebanyak 16 bekas yang kami jual laris dalam tempoh 10 minit pertama selepas buat live," kongsinya kepada Majoriti.

Permintaan rakan pejabat

Muhammad Azrul berkata, beliau dan isterinya, Aiman Nurhanan Mohd Zubir pada awalnya mula menjual kek batik selepas mendapat tempahan daripada rakan pejabat sekitar April tahun lalu.

Permintaan itu bermula selepas mereka membawa manisan itu pada jamuan sambutan Aidilfitri.

Muhammad Azrul sedang menyediakan kek batik di dapur kediamannya. 

"Tapi ketika itu kami buat on-off. Kalau ada tempahan baru kami buat. Biasa dalam seminggu ada tiga hingga empat tempahan," ujarnya yang menyediakan jualan makanan itu di kediamannya di Sentul, Kuala Lumpur.

Namun, sekitar penghujung Oktober 2024, Muhammad Azrul, 37, berkata, beliau mendapat idea untuk cuba menjual produk tersebut menerusi TikTok dengan melakukan video siaran langsung sambil meneruskan jualan secara offline.

Langkah awal tersebut menyaksikan pasangan itu merakam siaran langsung mereka sedang memasak kek batik.

"Tapi masa mula itu kami buat live 4 jam, yang tengok hanya tiga empat orang," ujarnya.

Pada masa sama, mereka turut mengambil masa selama beberapa minggu sebelum menerima pelanggan pertama yang membeli kek batik mereka.

Bagaikan seperti sudah rezeki, pembeli pertama jualan pasangan terbabit merupakan sebuah akaun Tiktok yang memiliki pengikut lebih 200,000 pengikut.

Sejak itu, kek batik mereka mula mendapat pembeli lebih konsisten.

Bermula dengan dua bekas sehari, jumlah jualan meningkat kepada 16 bekas sehari dengan setiap daripadanya seberat 500 gram dan dijual pada harga RM35.

Mereka turut meningkatkan bilangan jualan kepada 20 bekas pada waktu hujung minggu selepas mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan di TikTok.

Menurut Muhammad Azrul, antara keistimewaan kek batik resipi daripada isterinya itu adalah tekstur yang rangup atau crunchy.

Muhammad Azrul ketika sedang bersiaran langsung di TikTok.

"Isteri saya memang dah berbelas tahun buat kek batik sekadar suka-suka sampailah jumpa resipi sekarang," katanya yang melakukan perniagaan itu secara sambilan bersama isterinya selepas selesai waktu bekerja.

Muhammad Azrul berkata, pada waktu ini, kek batiknya mendapat permintaan yang tinggi daripada Lembah Klang dan Johor.

Pada masa sama ujarnya, permintaan kini juga mula diterima daripada Sabah dan Sarawak.

"Pada awalnya, kerisauan pembeli daripada Borneo ini adalah berkaitan dengan ketahanan makanan disebabkan tempoh penghantaran yang memakan masa.

"Tapi apabila dijelaskan biskut batik boleh disimpan dalam suhu bilik selama 10 hari, barulah mereka berani buat tempahan," ujarnya.

Satu bekas Biskut Batek Tingkat12 seberat 500 gram dijual pada harga RM35.

Dalam pada itu, Muhammad Azrul mengakui beliau dan isterinya perlu bijak membahagikan masa antara kerja hakiki dan perniagaan sambilan yang dilakukannya itu.

Ujarnya, mereka akan mula melakukan siaran langsung di TikTok setiap malam sambil memotong kek batik yang siap dimasak pada pukul 8 malam hingga 11 malam.

Selepas itu, beliau dan isteri akan mula memasak kek batik pada pukul 12 tengah malam hingga 3.30 pagi dan hanya tidur selepas itu.

Mereka juga akan bangun awal pada pukul 7 pagi untuk menyelesaikan bungkusan bagi dihantar ke syarikat penghantaran.

Bergerak ke hadapan, Muhammad Azrul berkata, beliau dan isterinya sememangnya mempunyai perancangan untuk menjalankan perniagaan tersebut secara sepenuh masa.

"Tapi untuk sekarang ini, kami lebih fokus untuk perkenalkan diri dahulu.

"Sebab itu biasanya walaupun kek kami dah habis untuk hari itu, kami masih terus buat siaran langsung setiap hari," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram