Badan naik merah terkena sinaran UV walaupun sesaat, ketahui risiko penyakit Xeroderma Pigmentosum mengundang kanser


  • Sihat
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Pol Dominguez memakai pakaian lengkap untuk menutup seluruh tubuh badannya daripada sinaran UV.

SEJAK kecil, kita sering didedahkan tentang kelebihan matahari kepada tubuh badan seseorang.

Umum mengetahui bahawa pendedahan kepada sinaran matahari mampu memenuhi keperluan vitamin D yang penting untuk kesihatan tulang dan sistem imun manusia.

Bagaimanapun, seorang budak lelaki berusia 11 tahun dikenali sebagai Pol Dominguez banyak menghabiskan masanya di rumah untuk mengelak daripada terkena sinaran ultraviolet (UV) yang boleh membawa maut kepadanya.

BACA LAGI: Kanak-kanak ada kolesterol tinggi berpotensi dapat penyakit jantung awal

BACA LAGI: Perjuangan Celine Dion lawan Stiff Person Syndrome, tak semua tahu tentang penyakit jarang ditemui ini

WhatsApp Image 2024-08-04 at 7.38.07 PM

Pol Dominguez memakai pakaian pelindung tebal untuk mengelak sinaran UV.

Ini kerana, Dominguez menghidapi Xeroderma Pigmentosum (XP) iaitu sejenis penyakit yang menjejaskan kulit dan matanya.

Kes Dominguez dianggap melampau kerana pendedahan cahaya matahari sesaat pun boleh menyebabkannya mengalami luka lecuran yang serius.

Sekiranya dia terpaksa meninggalkan rumah, dia akan memakai pakaian pelindung yang tebal sehingga menyebabkannya berasa tidak selesa.

Rumah Dominguez juga dibuat kalis sinaran UV dengan lapisan pelindung pada bahagian tingkap, langsir dan kipas untuk memastikan sekelilingnya sentiasa dalam keadaan sejuk.

Dominguez hanya boleh keluar tanpa peralatan perlindungan pada waktu matahari terbenam ataupun pada waktu malam.

Apakah itu Xeroderma Pigmentosum?

Menurut kajian Cleveland Clinic, Xeroderma Pigmentosum adalah gangguan genetik yang menyebabkan seseorang mengalami hipersensitiviti kepada sinar UV.

Simptom bagi penyakit ini adalah mengalami luka lecuran, masalah pada bahagian muka, lengan dan bibir.

Orang yang hidup dengan penyakit XP mudah mendapat selaran matahari dan berisiko mendapat penyakit kanser berbanding individu normal.

Bagi kanser kulit non-melanoma (umum) seperti karsinoma sel basal atau karsinoma sel skuamosa, mereka berisiko sebanyak 10,000 kali lebih tinggi berbanding orang biasa.

Bagi kanser kulit yang paling serius iaitu melanoma, penghidap penyakit XP berisiko sebanyak 2,000 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini.

Selain itu, penghidap juga berpotensi mengalami penyakit lain seperti astrocytoma, kanser payudara, glioblastoma, kanser buah pinggang, leukemia, kanser paru-paru, kanser testis, kanser tiroid dan kanser rahim.

WhatsApp Image 2024-08-04 at 7.33.57 PM

Penghidap penyakit XP mudah mengalami luka lecuran apabila terkena sinar matahari.

Gejala dan punca XP

Xeroderma pigmentosum adalah gangguan genetik, bermakna ia berlaku disebabkan oleh perubahan gen yang luar biasa (mutasi).

Seseorang boleh mewarisi mutasi gen ini daripada satu atau kedua-dua ibu bapa.

Gejala penyakit ini kebiasaannya berbeza-beza, tetapi secara umumnya akan menjejaskan kulit, mata dan sistem saraf.

Gejala pada kulit yang boleh berlaku termasuk selaran matahari, kulit kering dan nipis (xerosis), bintik-bintik (lentigo) sebelum penghidap berusia dua tahun, penipisan kulit (atrofi) dan garis merah pada kulit.

Selain itu, gejala pada mata adalah dry eyes syndrome, degenerasi makula, keradangan kornea (keratitis), sensitif terhadap cahaya (fotofobia), kehilangan bulu mata.

Lebih menakutkan, individu yang menghidap penyakit ini juga berpotensi mengalami buta.

Gejala dari sudut neurologi pula dilihat apabila seseorang mengalami kehilangan refleks, kesukaran menelan, kawalan otot yang lemah (ataxia), spastik, penurunan kognisi, kehilangan pendengaran, saiz kepala yang lebih kecil (microcephaly) dan kecederaan pada pita suara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram