Tak kisah untung sikit, Nasi Bajet Shima kekal harga RM3.50 lima tahun berturut-turut


  • Bizz
  • Khamis, 24 Okt 2024

Gerai Nasi Bajet Shima beroperasi di Seksyen 6, Kota Damansara, Selangor. — Twitter

SABAN tahun, isu kenaikan harga barang terus menjadi masalah utama membelenggu rakyat Malaysia.

Perkara tersebut dirasai oleh hampir kebanyakan isi rumah termasuk dalam kalangan peniaga yang rata-ratanya dilaporkan terpaksa menaikkan harga jualan mereka.

Bagaimanapun, di sebalik peningkatan yang berlaku, terdapat juga segelintir peniaga yang masih terus bertahan mengekalkan harga jualan mereka untuk mengelakkan pengguna merasai beban kenaikan harga barangan.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Antara yang mengambil keputusan tersebut adalah peniaga nasi bajet dikenali sebagai Nasi Bajet Shima yang beroperasi di Seksyen 6, Kota Damansara, Selangor

"Gaji naik, barang pun naik harga. Tapi Nasi Bajet Shima dengan izin Allah tak naik harga tahun depan 2025. Korang singgahlah gerai, sokong beli. Korang beli, dapatlah saya rolling (pulang) modal niaga dan buat infak sikit.

"Mungkin ada yang tiba-tiba bajet bulanan tak cukup, datang sahaja gerai. Cakap nak nasi free (percuma), insyaALLAH ada rezeki. Jangan biarkan perut anda kelaparan," tulis peniaga tersebut di laman X yang menggunakan akaun NurulShima_3.

Dalam pada itu, peniaga tersebut, Nurul Hashima Abu Aris, 43, berkata, sejak memulakan jualan nasi bajet pada empat tahun lalu bermula 2020, dia tidak pernah sekali pun menaikkan harga bungkusan makanan yang ditetapkan pada RM3.50.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, meskipun terdapat berlaku kenaikan dalam harga barangan, peningkatan terbabit masih boleh ditampung khususnya melibatkan harga barangan basah seperti ayam, ikan dan sotong.

"Walaupun harga naik, tapi tak tinggi. Saya boleh tampung lagi jika kenaikan itu sekitar 50 sen. Kalau naik sampai RM4 hingga RM5 itu mungkin lain.

"Tapi sekarang ini Alhamdulillah semua ok. Untung pun masih ada walaupun tak banyak sebab kita cuba main dengan kuantiti," katanya kepada Majoriti.

Nurul Hashima berkata, pada waktu ini, dia menjual kira-kira 200 bungkus nasi bajet sehari di gerainya yang beroperasi dari pukul 4 petang hingga sekitar 6 petang bermula dari Isnin hingga Jumaat.

Antara menu disediakan adalah nasi bajet berlauk ikan, ayam, daging, udang dan sotong.

Dalam pada itu, Nurul Hashima berkata, tindakan mengekalkan harga tersebut turut dibantu dengan kesudian pembekal bahan masakan tetapnya yang menyokong inisiatifnya menjual makanan bajet.

"Saya ada pembekal yang saya kenal dan dah lama berurusan. Bila saya cakap dengan mereka saya nak buat nasi bajet, mereka pun sebenarnya macam bermurah hati.

"Jadi bila saya pergi beli barang, dapatlah harga special dan saya pun dapatlah jual pada harga murah," kongsinya yang turut dibantu oleh ibu dan juga seorang adiknya untuk menyediakan bungkusan jualan nasi bajet itu.

6109294295560340281

Antara menu nasi bajet di gerai jualan Nurul Hashima. — Twitter

Sebelum mula menjual nasi bajet pada 2020, Nurul Hashima yang menetap di Kota Damansara terlebih dahulu berniaga makanan penghantaran dari rumahnya hampir selama 10 tahun selepas mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberikan tumpuan kepada keluarga.

Dia juga pada waktu ini masih terus mengambil tempahan makanan bagi sebarang acara di samping meneruskan jualan nasi bajet pada hari bekerja.

Menurut Nurul Hashima, meskipun menjual makanan pada harga murah, dia masih boleh mendapatkan keuntungan kasar kira-kira RM2,000 setiap bulan.

Dalam pada itu, dia yang juga berasal dari Teluk Intan, Perak berkata, motivasinya untuk terus menjalankan perniagaan nasi bajet tersebut mendengar pelbagai kisah dan cabaran daripada pelanggannya sendiri.

"Sebab gerai kita terletak depan surau tepi jalan. Selama empat tahun banyak ragam, cerita dan kisah pelanggan yang saya jumpa. Sebab kita layan pelanggan kita macam keluarga. Jadi macam-macam perkara dikongsikan.

"Ada yang alami masalah kewangan, suami meninggal. Lepas itu anak-anak masih kecil. Jadi bila tahu kisah-kisah mereka ini, kita rasa macam memang tak boleh naik harga walaupun 50 sen. Sebab 50 sen pun kalau kumpul-kumpul banyak juga," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram