
MESKIPUN boleh dikatakan agak baru dalam dunia fesyen jam tangan, ia bukan penghalang buat jenama Artwist.Co untuk dikenali secara meluas.
Jenama jam tangan tempatan itu kini berjaya menempa nama apabila produknya mendapat tempat bukan sahaja di tanah air, malah di pasaran luar termasuk di Eropah.
Artwist.Co diasaskan dua pereka tanah air iaitu Zakiyah Hasan dan Bostami Ahmad pada 2019 dengan memberi penekanan menggabungkan karya seni ke dalam rekaan jam.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Zakiya (kiri) mengasaskan Artwist.Co bersama rakannya, Bostami pada 2019.
Dengan penjualan dalam jumlah terhad antara satu hingga 300 unit, ia sekali gus membuatkan produknya menjadi buruan pengumpul barangan bernilai.
"Kami mulakan rekaan jam berasaskan karya seni. Sebab itu nama jenama ini Artwist.Co. Kami twist the art dengan benda lain.
"Ia termasuk sejarah, memento dan ingatan terhadap peristiwa penting dalam bentuk jam tangan. Kami juga banyak melakukan kolaboratif dengan artis tempatan dan luar negara.
"Itu antara yang meletakkan kami lain daripada lain," kongsi Zakiyah yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Artwist.Co.
Berkongsi proses awal membina Artwist.Co, Zakiyah berkata, ia bukan satu perkara mudah lebih-lebih lagi dengan mengambil kira kekurangan kepakaran teknikal di Malaysia.
Ujarnya, Artwist.Co mengambil masa dua tahun melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum melancarkan produk jam tangan di pasaran.
"Kami terpaksa pergi ke beberapa negara untuk melihat kepakaran teknikal dan nilai kapasiti mereka untuk keluarkan rekaan kami.
"Kami pergi ke Jepun, Switzerland, Hong Kong dan China, melakukan kajian perbandingan. Proses ini memang memakan masa dan kos.
"Dua tahun pertama memang R&D sahaja," ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Produk dan Industri, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dalam pada itu, Zakiyah berkata, Artwist.Co turut berdepan cabaran untuk meyakinkan pengguna khususnya di dalam negara.
Menurutnya, rata-rata pengguna khususnya penggemar jam tangan masih agak skeptikal terhadap jenama tempatan.
"Kalau tanya mana-mana jenama tempatan pun, mereka mengatakan orang kita masih skeptikal dan berkiblatkan jenama daripada Barat.
"Walhal kalau kita tengok dari segi kualiti ada saja jenama tempatan setanding jenama luar," ujarnya.
Di sebalik cabaran tersebut, Artwist.Co berjaya mencatatkan prestasi jualan cukup memberangsangkan apabila produknya mendapat permintaan bukan sahaja di Malaysia, malah di 25 negara hanya dalam tahun ketiga selepas beroperasi.
Kebanyakan eksport tersebut tertumpu di Eropah, Indonesia dan Brunei.
Pada tahun tersebut juga mereka berjaya menjual sebanyak 1,500 utas jam tangan.
Dalam pada itu, keputusan Artwist.Co memperkenalkan kolaboratif di bawah edisi korporat bersama dengan ikon dan artis tempatan turut melonjakkan namanya di pasaran tempatan.
Antara kerjasama awal mendapat perhatian adalah edisi bersama seniman dan penyanyi terkenal negara, Datuk M. Nasir bersempena konsert ulang tahun 40 tahun penglibatannya dalam industri seni tanah air.
"Ia satu kejayaan besar. Kesemua 120 utas jam tangan yang kami keluarkan habis terjual," ujarnya.
Kerjasama itu menampilkan dua edisi iaitu edisi korporat dikenali sebagai Suatu Masa dan edisi seni menampilkan lukisan Masjid Al-Aqsa oleh M. Nasir yang dikenali sebagai Gerbang.
Edisi istimewa kolaborasi Artwist.Co bersama M. Nasir.
Artwist.Co turut menjalankan kolaboratif bersama beberapa ikon lain termasuk Wings dan Butterfingers.
Pada masa sama, turut memberikan penghargaan terhadap tokoh pemimpin negara menerusi siri jam tangan edisi perdana menteri yang menampilkan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, Zakiyah berkata, antara pencapaian membanggakan berjaya diperoleh apabila mereka dijemput ke Milan Design Week di Itali pada tahun lalu untuk menampilkan jam tangan edisi seni.
Selain itu, dengan kerjasama bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Artwist.Co turut melancarkan produknya di Paris, Perancis.
"Kami juga sedang berbincang bersama seorang rakan kongsi di Milan untuk buka satu pejabat wakil di bandar tersebut," ujarnya yang turut menjalani pengajian dalam bidang sarjana di The Scuola Politecnica di Design, Milan.
Bergerak ke hadapan, Zakiyah berkata, Artwist.Co berharap agar industri dan bakat pembuatan jam tangan di dalam negara terus berkembang lebih maju.
"Pada waktu ini ada dalam tujuh hingga lapan jenama tempatan di Malaysia. Jadi visi kami supaya pembuat jam tangan di Malaysia boleh menjadi juara dalam industri pembuatan jam tangan.
"Kita ada banyak kepakaran. Malah secara faktanya banyak syarikat tempatan menghasilkan komponen jam cuma mereka tidak diangkat," terangnya.
Menurut Zakiyah, kesemua komponen jam tangan keluaran Artwist.Co dihasilkan di Jepun melalui kerjasama dengan syarikat Miyota.
Harga jam tangan Artwist.Co dijual bermula daripada RM500 hingga RM3,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram