
SEORANG kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) autisme dan mengalami masalah pembelajaran dilaporkan hilang dari rumahnya di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran Kampung Landak Paya, Kupang dekat Baling, Kedah pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mohd. Azmi Othman, kanak-kanak terbabit, Muhammad Fayyad Affan Mohamad Fakhri disedari hilang kira-kira pukul 12.30 tengah hari Jumaat.
Katanya, datuk kanak-kanak terbabit dikatakan menyedari ketiadaannya di dalam rumah, lalu bertanyakan kepada ibu mangsa.
"Selepas menyedari kanak-kanak yang mempunyai masalah lembam, kelewatan bercakap dan autisme tersebut tiada di dalam rumah, mereka terus mencari di kawasan sekeliling rumah termasuk kawasan sungai yang jaraknya kira-kira 50 meter di hadapan rumah,” katanya memetik laporan Kosmo!
Tambah beliau lagi, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang terdapat di rumah itu, kanak-kanak terbabit didapati keluar dari arah belakang rumah menuju ke pagar seterusnya keluar di sebelah kanan rumah.
"Usaha pencarian kini dilakukan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan bomba sukarela dan penduduk kampung.
"Pencarian dilakukan di sekeliling rumah iaitu pada jarak 100 meter dan seterusnya sehingga 200 meter dari rumah. Kita bimbang kanak-kanak terbabit pergi ke tepi sungai yang jaraknya kira-kira 50 meter dari rumahnya,"ujarnya.
Tambahnya, walaupun pagar Rumah Pam Skim Perairan Kampung Landak Paya tertutup, namun pihaknya khuatir kanak-kanak itu boleh ke sungai kerana selepas rumah pam itu sudah tiada pagar.
Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang wanita dipercayai ahli keluarga mangsa memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Muhammad Fayyad yang dikhuatiri hilang sejak pukul 12.30 tengah hari Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram