Aidilfitri yang dinanti Ali XPDC tapi impian belum jadi kenyataan


  • Hiburan
  • Isnin, 02 Mei 2022

Ali dan isterinya menunjukkan sebahagian daripada kerepek dan kuih raya yang dijual di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Memang saya tunggu Aidilfitri kali ini tetapi apa boleh buat, dah jadi begini. Saya perlu reda sahaja".

Itu yang diluahkan oleh penyanyi, Ali XPDC atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail ketika Majoriti hadir ke rumahnya baru-baru ini.

Menurut Ali, dua tahun tidak dapat merasakan kemeriahan beraya, sememangnya dia menantikan Aidilfitri kali ini.

"Saya ada rancang nak bertemu bapa saudara tetapi bila dah jadi macam ini memang agak sukarlah," katanya.

WhatsApp Image 2022-04-30 at 6.17.10 AM (1)

Ali gagal menahan sebak ketika bercerita mengenai dugaan yang dihadapinya.

Menurut isteri Ali, Syarifah Azuwanna Syed Joned, memang Ali teringin sangat nak jumpa bapa saudara dia dan rakan-rakan yang lain.

"Kalau dulu masa Ali sihat, memang dia sentiasa jumpa bapa-bapa saudara dia, melawat dan beri duit belanja kepada mereka.

"Ini bila dia dah sihat sedikit, dia ada cakap nak pergi. Tapi saya kata nanti dululah, bagi dia pulih betul-betul baru kita ziarah.

"Bapa-bapa saudara dia pun ada yang tak berapa sihat. Nanti dua-dua menangis susah juga kan," katanya tersenyum.

Ditanya mengenai persiapan raya tahun ini, Syarifah Azuwanna berkata, kalau tahun sebelum ini memang dia yang akan persiapkan segala barangan raya untuk anak-anak dan Ali.

WhatsApp Image 2022-04-30 at 6.17.11 AM

Sharifah Azuwanna setia menjaga Ali sejak penyanyi itu diserang angin ahmar.

"Memang sebelum ini Ali akan bagi duit kepada saya untuk buat persiapan Aidilfitri. Cuma tahun ini bila dah jadi macam ini, kita sambut sederhana sajalah. Pakai apa yang ada sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Ali sempat memberitahu yang dia sedang berusaha untuk memulihkan dirinya agar dapat bertemu dengan saudara mara dan rakan-rakan yang banyak membantunya.

Jelasnya, sepanjang dia sakit, ramai yang membantu meringankan bebannya terutama sekali dalam bentuk kewangan.

Gadai emas jual kerepek

Bergantung sepenuhnya kepada pendapatan yang diperoleh Ali, Syarifah Azuwanna yang juga seorang suri rumah berkata, dia terpaksa memikul tanggungjawab untuk menjaga Ali dan mencari nafkah keluarga.

"Itu yang pada bulan puasa, anak saya cakap nak berniaga kerepek untuk cari pendapatan sedikit sebab sampai bila nak bergantung harapan pada orang luar.

"Wang simpanan untuk dibuat modal tak banyak, jadi saya gadaikan barang kemas dan hasilnya kami guna untuk menjual kerepek," katanya.

WhatsApp Image 2022-04-30 at 6.19.29 AM

Antara kerepek yang dijual oleh anak Ali di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Syarifah berkata, dia bersyukur kerana sepanjang Ali tidak sihat, ramai yang tampil membantu dan tapak berniaga mereka di Sungai Besi, Kuala Lumpur juga diberikan percuma.

Jelasnya, bukan itu sahaja, rakan-rakan dan peminat Ali juga bantu membeli dan promosi jualan kerepek sehingga dia dapat tebus semula barangan kemas yang digadainya.

"Saya rasa apa yang berlaku ini adalah berkat Ali selama ini yang sentiasa menghulurkan bantuan terutamanya wang ringgit kepada mereka yang memerlukan.

"Saya pernah sekali menegur dia. Kenapa selalu sangat bagi duit dekat orang lain sebab saya risau dia kena tipu dan sebagainya.

"Tapi lihatlah apa yang berlaku sekarang. Begitu ramai yang tampil menghulurkan bantuan ketika dia sakit," katanya.

WhatsApp Image 2022-04-30 at 6.17.10 AM (2)

Ali terharu dengan bantuan yang dihulurkan saudara dan rakan-rakannya ketika dia sakit.

Untuk rekod, tahun ini adalah tahun ketiga Ali diduga dengan faktor kesihatan tetapi insan ini tetap kuat dan bersemangat menempuh ujian yang menimpa.

Pada 26 Mac 2020, Ali melecur 30 peratus di tangan dan muka selepas disambar api ketika membakar sampah dirumahnya.

Pada September 2021 pula, Ali terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami sakit jantung.

Pada Mac lalu, Ali sekali lagi diduga apabila secara tiba-tiba terkena serangan angin ahmar sehingga dia terpaksa ditidurkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram