GENRE rock tempatan sejak mula diperkenalkan pada pertengahan 1980-an sehingga kini masih mempunyai kelompok peminat yang ramai.
Malah, sehingga kini, kumpulan rock yang sudah lebih 30 tahun bertapak dalam industri muzik masih kekal aktif menghasilkan karya mereka.
Namun, mengharungi perjalanan muzik yang panjang, sudah pasti ada pertelingkahan sesama anggota kumpulan sehingga berlakunya perpecahan.
Berikut Majoriti senaraikan lima kumpulan rock tanah air yang mempunyai vokalis yang berbeza.
Mega
Kumpulan Mega yang ditubuhkan pada 1988 pada mulanya dianggotai oleh Adie (gitar), Sam (gitar), Lomaq (bes), Joey (dram) dan Zarith selaku vokalis.
Album pertama pada 1989 yang berjudul Mega mendapat sambutan yang cukup hangat dengan jualan 80,000 unit dek kerana lagu Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara dan Pasti.
Namun, disebabkan kontrak Zarith telah tamat, Mega memperkenalkan vokalis baharu iaitu Rahmad yang cukup terkenal hingga kini.
Rahmad (tengah) ketika menyertai Mega.
Ada yang mengatakan vokal Rahmad tidak cukup 'rock' untuk menggantikan Zarith tetapi hakikatnya nama Rahmad Mega kekal diingatan hingga kini.
Selain Rahmad, Mega juga pernah mempunyai vokalis lain iaitu Reyno ketika kumpulan itu membuat kemunculan semula pada 2015.
Exist
Bermula sebagai kumpulan rock remaja, Exist yang dianggotai Along (gitar), Shah (gitar), Ajai (keyboard), Musrad (bes), Ujang (dram) dan Mamat selaku vokalis.
Mamat berjaya menjulang nama Exist menerusi lagu berhantu mereka berjudul Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara dan Janji Bidadari.
Namun, disebabkan pergolakan dengan syarikat rakaman, Mamat meninggalkan Exist untuk bergerak solo dan kumpulan itu memperkenalkan vokalis baharu, Ezad Lazim.
Keseluruhan anggota Exist termasuk Mamat (dua dari kiri) dan Ezad Lazim (kanan).
Ternyata, kehadiran Ezad berjaya menyambung kegemilangan Exist menerusi lagu Masih Terserlah Ayumu, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Jesnita.
Kedua-dua vokalis ini mempunyai peminat mereka yang tersendiri dan terbaharu, mereka bersatu semula dengan menampilkan Mamat dan Ezad sebagai vokalis dalam konsert yang bakal diadakan pada November depan.
Wings
Siapa yang tidak kenal dengan kumpulan Wings. Semasa penubuhannya, kumpulan ini dianggotai oleh enam pemuda yang terdiri daripada Awie (vokalis), Syam (gitar utama), Baharom (gitar kedua), Zul (keyboard), Eddie (bass) dan Jojet (dram).
Wings cukup terkenal dengan vokal Awie yang bukan sahaja bertenaga, tetapi juga sukar digugat penyanyi lain.
Menghasilkan enam lbum sejak 1987 hingga 1993, Awie akhirnya memilih untuk membawa haluan sendiri.
Album Orang Asing yang menampilkan Mel selaku vokalis menggantikan Awie.
Wings kemudian memperkenalkan Mel selaku vokalis baharu mereka selepas berjaya mengenepikan 40 individu lain yang cuba menyertai kumpulan itu.
Tampil dengan album berjudul Orang Asing pada 1995, Mel kemudian memilih untuk keluar kerana merasakan dirinya tidak serasi dengan muzik Wings.
Bekas vokalis kumpulan May, Mus pula kemudian dipilih menggantikan Mel dan sempat menghasilkan album ketujuh Wings berjudul Biru Mata Hitamku yang malar segar hingga kini.
Namun, selepas lapan tahun, akhirnya Awie kembali ke dakapan Wings sehingga kini.
XPDC
XPDC boleh diibaratkan sebagai kumpulan yang mempunyai kelompok peminat yang bukan sahaja tegar, tetapi cukup lantang bersuara melibatkan kumpulan itu.
Membawa muzik rock 'keras', XPDC pada asalnya dianggotai Mael (vokalis), Izo (gitar), Man Tobey (gitar), Zuar (bes), dan Lee Space (dram).
Dikenali sebagai Metallica Malaysia, XPDC yang bermula sejak 1989 terkenal dengan lagu berjudul C.I.N.T.A, Cinta Kenangan Silam dan Hijau Bumi Tuhan.
Namun pada 1997, Mael memih untuk menarik diri ekoran masalah peribadi dan digantikan dengan Ali.
Izo (kanan) bersama Mael (dua dari kanan) selaku vokalis dalam XPDC.
Pertukaran vokalis ketika XPDC meniti waktu kemuncak membuatkan peminat mereka berbelah bagi.
Ali berjaya membuktikan kemampuannya pada 1998 menerusi album Samurai dengan lagu seperti Teman dan Semangat Perjuangan Harmoni.
Namun pada 2005, Ali memilih untuk keluar dan Mael mula membuat penampilan semula. Kemudian, pergolakan berlaku sesama ahli kumpulan.
Akhirnya kini, XPDC menjadi dua kumpulan berbeza sehingga ada kumpulan peminat yang bertelagah sesama sendiri sama ada mahu bersama XPDC (Mael) atau XPDC (Ali).
May
Kumpulan May muncul pada 1985 ketika Wings dan Search meniti kemuncak kerjaya yang mengakibatkan kumpulan dianggotai Abu (gitar), Yus (bes), Man (dram) dan Mus (vokalis) sedikit tenggelam.
Namun, vokal Mus yang berbisa berjaya mengangkat nama May menerusi lagu-lagu berjudul Cintaku Sewangi Kasihku, Cintamu Mekar Dihati dan Sendiri.
Mus sudah dianggap menjadi muka depan May akhirnya memilih untuk keluar selepas mereka menghasilkan empat album bersama.
Yantzen (kiri) ketika mula menyertai May.
Kedudukan Mus kemudian digantikan oleh Yantzen, bekas vokalis kumpulan Rusty Blade.
Yantzen menyertai May pada 1992 dan kekal sehingga 1997 serta sempat menghasilkan tiga album yang diterima baik peminat.
Walaupun kini Mus sudah kembali bersama May, tetapi hubungan dengan Yantzen kekal baik dan mereka masih membuat persembahan bersama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram