Dari Kendal ke Batu Pahat, Adam Esham warisi legasi 100 tahun pengeluar biji kopi tempatan 'rare' cecah harga RM1,200 sekilogram


  • Bizz
  • Khamis, 27 Mac 2025

Adam memulakan kembali pertanian kopi pernah diusahakan keturunan keluarganya di Batu Pahat.

SEBAIK menyelesaikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2018, Adam Esham tidak menunggu lama untuk menceburi bidang pertanian kopi di kampungnya, yang terletak di Batu Pahat, Johor.

Motivasinya pada ketika itu tidak lain dan bukan adalah untuk menghidupkan kembali pertanian tradisi pernah diusahakan keluarga nenek moyangnya yang berhijrah ke daerah tersebut dari Kabupaten Kendal di Jawa Tengah, Indonesia sekitar 1860-an.

Pada waktu itu, dengan keluasan kebun sekitar 8 hektar, antara tanaman lain yang ditanam selain kopi ialah tembakau dan pinang.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Bagaimanapun, selepas hampir 100 tahun mengusahakannya, tanaman kopi milik keluarganya mula merosot sekitar 1960-an akibat kemarau panjang yang memusnahkan hampir sebahagian besar kebun di daerah tersebut.

Hal tersebut diburukkan lagi dengan dasar perindustrian negara yang ketika itu sudah tidak lagi memberikan tumpuan terhadap pembangunan pertanian tempatan sehingga memberikan kesan besar terhadap pekebun kecil tempatan.

368023780_769571961842099_5166298461244375025_n

Antara biji kopi yang sedang diproses di ladang House of Kendal. — House of Kendal

Kedua-dua faktor tersebut menyebabkan keluarganya mula meninggalkan tanaman berkenaan yang sudah menjadi sebahagian daripada perusahaan mereka dalam tempoh hampir mencecah seabad.

"Jadi bila nak mula itu saya fikir, kita ada kopi, tapi kenapa kita sebagai negara yang boleh menanam kopi sebagai salah satu hasil pertanian tak buat perkara itu," kongsinya kepada Majoriti.

Bermula daripada situ, Adam bersama bapanya, Esham Salam yang juga seorang usahawan dan jurutera kembali memulakan aktiviti pertanian di kebun lama milik keluarganya yang ketika itu sudah terbiar sejak sekian lama.

Kini, ladang Kopi Liberica di bawah jenama House of Kendal tersebut mengeluarkan lebih satu tan biji kopi sebulan dengan sebahagian besar daripadanya adalah untuk tujuan eksport.

Menurut Adam, 25, antara negara yang menerima hasil tanamannya adalah Switzerland, United Kingdom, Jepun dan Amerika Syarikat.

306348653_1455703804836283_277814448953882412_n

Biji Kopi Liberica yang dikeluarkan di ladang House of Kendal. — House of Kendal

"Biji kopi kita menerima penerimaan yang lebih baik untuk pasaran luar negara berbanding eksport," ujarnya yang merupakan lepasan Kolej Tuanku Ja'afar, Negeri Sembilan.

Dalam pasaran dunia ketika ini, Kopi Liberica menyumbang kurang daripada 2 peratus daripada pengeluaran kopi global.

Pengeluaran kopi dunia pada waktu ini didominasi oleh dua jenis utama iaitu Arabika sekitar 70 peratus dan Robusta 28 peratus.

Untuk rekod, Kopi Liberica merupakan spesies kopi utama ditanam di Malaysia, menyumbang kira-kira 90 peratus daripada pengeluaran kopi negara, dengan selebihnya adalah kopi Robusta.

Antara negeri pengeluar utama kopi Liberica di Malaysia termasuk Johor dan Selangor.

Adam berkata, berbeza berbanding jenis biji kopi lain yang mana hasil pengeluarannya mengikut musim, Kopi Liberica dari ladangnya mampu mengeluarkan hasil secara bulanan.

Tanah di Batu Pahat yang mempunyai ciri tanah liat pantai dan sabut kelapa turut memberikan kelebihan dalam memberikan rasa unik terhadap biji kopi dihasilkan.

6147778353583734701

Antara produk biji kopi dihasilkan House of Kendal. — House of Kendal

Dalam pada itu, Adam yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik turut menyangkal tanggapan umum mengenai kualiti Liberica berbanding biji kopi popular lain.

"Untuk daripada segi kualiti kopi, kita tak boleh cakap apa yang lebih baik sebab ia bukan bergantung kepada jenis kopi.

"Tapi ia bergantung kepada bagaimana kopi itu diproses," ujarnya.

Mengulas mengenai keunikan biji Kopi Liberica, selain mempunyai kandungan gula yang tinggi, ia juga memiliki kandungan kafein dan asid yang paling rendah.

Ia juga mempunyai rasa tropikal dengan nota rasa buah-buahan tempatan di Asia Tenggara seperti nangka, cempedak dan durian.

Bergerak ke hadapan, Adam berkata, House of Kendal kini menyasarkan untuk meletakkannya sebagai jenama kopi premium keluaran tempatan yang berkualiti.

"Saya rasa kita boleh lakukan itu. Sekarang ini ada kopi kita yang harganya mencecah RM1,200 sekilogram," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram