
TUGAS sebagai penghantar barang bukanlah sesuatu yang mudah. Mereka berdepan dengan pelbagai cabaran setiap hari, termasuk cuaca yang tidak menentu, kesesakan lalu lintas, serta tekanan untuk memastikan pesanan sampai tepat pada waktunya.
Di bulan Ramadan, situasi tersebut menjadi lebih mencabar apabila mereka perlu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari sambil tetap komited dengan pekerjaan mereka.
Bagi kebanyakan penghantar barang, masa berbuka puasa bukanlah sesuatu yang boleh dinikmati dengan selesa di rumah bersama keluarga.
BACA LAGI: [VIDEO] Remaja parah diseret 4x4 akibat lawan arus elak sekatan jalan raya di LKSA
BACA LAGI: Dua wanita dikesan susulan mayat bayi ditemukan dalam tandas di stesen minyak Sungai Haji Dorani
Kesibukan jadual kerja sering memaksa mereka untuk berbuka di mana sahaja yang sempat, sama ada di tepi jalan, di stesen minyak atau di tempat rehat yang berhampiran.
Terbaharu, tular satu video memaparkan seorang lelaki sedang berbuka puasa sendirian selepas seharian bekerja.
Keadaan itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya, dengan ramai yang meluahkan rasa sebak serta menghargai pengorbanan pekerja penghantaran yang bertungkus-lumus mencari rezeki.
"Dia mungkin seorang ayah atau anak lelaki yang mencari nafkah untuk keluarganya. Melihat dia berbuka sendirian di tepi jalan membuatkan saya sedar betapa bertuahnya kita yang dapat berbuka bersama keluarga di rumah," luah seorang pengguna media sosial, Muhammad Amin di ruangan komen.
Sementara itu seorang lagi pengguna Facebook Siti Nurul Ain turut meluahkan rasa sayu apabila melihat video berkenaan.
"Pengorbanan mereka jarang mendapat perhatian, namun mereka tetap tekun mencari rezeki demi kelangsungan hidup.
"ALLAH, tak boleh bayangkan kalau ayah, suami atau abang saya berbuka puasa sendirian. Semoga 'abang parcel' dimurahkan rezeki," tulisnya.
Keadaan itu menggambarkan realiti kehidupan segelintir pekerja sektor gig yang bergantung kepada pendapatan harian.
Walaupun tugas mereka dilihat sebagai rutin harian biasa oleh sesetengah pihak, hakikatnya mereka memainkan peranan penting dalam memastikan masyarakat menerima keperluan seharian dengan mudah, terutamanya dalam era digital yang semakin berkembang.
Susulan itu seorang warga maya Syahrul Azim menggalakkan orang ramai untuk untuk menunjukkan keprihatinan dengan membantu pekerja penghantaran, sama ada dengan memberi makanan, minuman atau sekadar ucapan terima kasih yang mampu menggembirakan mereka.
"Di bulan yang penuh keberkatan ini, setiap bentuk kebaikan, sekecil mana pun, mampu memberi makna besar kepada mereka yang bekerja keras demi kelangsungan hidup," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram