
TINDAKAN seorang remaja menunggang secara berbahaya dengan melawan arus selepas lari daripada sekatan jalan raya membawa padah apabila cedera diseret sebuah pikap di Lebuhraya Kemuning - Shah Alam (LKSA) Kilometer 7.3 Persiaran Sultan, Seksyen 14 dekat Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian yang tular menerusi satu rakaman video itu berlaku ketika suspek berumur 17 tahun menunggang motosikal jenis Modenas Kriss.
"Ketika kejadian, iaitu kira-kira pukul 9 malam, pihaknya mengadakan sekatan jalan raya di lokasi terbabit sebelum mendapati motosikal yang ditunggangi suspek membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak sekatan tersebut.
BACA LAGI : Ilmu pertahankan diri senjata wanita hadapi ancaman jenayah, bukan pilihan tapi keperluan - Shree Sharmini
BACA LAGI : Dua wanita dikesan susulan mayat bayi ditemukan dalam tandas di stesen minyak Sungai Haji Dorani
"Menurut anggota Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) yang sedang membuat pemantauan, pihaknya cuba menahan motosikal terbabit yang melawan arus dengan memintanya untuk berhenti tetapi tidak diendahkan, sebaliknya remaja berkenaan menyeberangi jalan menaiki pembahagi jalan secara berbahaya.
"Penunggang motosikal terbabit kemudian dilanggar dan diseret kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal terbabit patah paha kiri, patah bahu kiri serta bahu kanan dan masih ditahan di wad Hospital Shah Alam, Selangor hingga kini.
"Penunggang motosikal berumur 17 tahun, seorang pelajar Tingkatan 5 dan tiada rekod jenayah.
"Siasatan awal mendapati penunggang motosikal melarikan diri kerana tiada lesen memandu dan cukai jalan motosikal tamat tempoh," katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan memaparkan seorang penunggang motosikal dirempuh kenderaan selepas melarikan diri dari sekatan jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram