
SURI rumah berusia 36 tahun ditahan polis selepas disyaki menyimbah air panas ke atas anak perempuannya yang berusia 10 tahun akibat marah apabila mendapati set kosmetiknya telah digunakan.
Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam pada Khamis di kediaman mereka yang terletak di Batu Berendam, Melaka.
Suspek dikatakan berang selepas melihat alat soleknya telah digunakan sebelum bertindak memukul anak sulungnya menggunakan alat urutan mudah alih.
BACA LAGI: Sindiket jual dadah di parkir lumpuh, pasangan suami isteri antara dicekup polis
BACA LAGI: Drama berunsur 'lavender marriage' cemari institusi perkahwinan, wujudkan norma songsang
Kejadian itu berlaku di Batu Berendam, Melaka pada Khamis.
Tidak berhenti di situ, dia kemudian menyimbah dua gelas air panas ke atas mangsa.
Perkara tersebut terbongkar apabila guru mangsa yang berusia 40 tahun, yang turut membuat laporan polis pada Jumaat selepas menyedari pelajarnya hadir ke sekolah dengan pakaian biasa dan bukan pakaian sukan seperti kebiasaannya.
Ketika disoal siasat, kanak-kanak itu mengadu mengalami kesakitan.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan lebam di bahagian tangannya.
Guru tersebut kemudian membawa mangsa ke bilik guru untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Mangsa mendedahkan bahawa dia telah bermain dengan alat solek ibunya sebelum diserang.
Ketika kejadian berlaku, dua adik-beradiknya sedang tidur.
Kanak-kanak itu juga memaklumkan kepada bapanya yang berusia 33 tahun, namun tiada tindakan segera diambil.
Guru berkenaan cuba menghubungi bapa mangsa tetapi panggilannya tidak dijawab.
Bimbang dengan keadaan muridnya, dia kemudian membawa kanak-kanak itu ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
Susulan siasatan, suspek ditahan pada Jumaat dan perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Sabtu.
Ketua Polis Melaka, Deputi Komisioner Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. — The Star/RSN MURALI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram