
ANDA seorang kaki hiking? Jika ya, anda perlu mengambil maklum perubahan mengenai peraturan mendaki di Selangor.
Bermula 1 April, semua pendaki yang ingin melakukan aktiviti tersebut di Selangor mesti memohon permit secara dalam talian menerusi Sistem e-Permit Perhutanan Selangor (SeForest).
Sebelum ini, para pendaki perlu mendapatkan kelulusan daripada pejabat Jabatan Perhutanan di daerah tempat mereka ingin mendaki.
BACA LAGI: Bukan pop-up biasa, CirKLe 'one stop centre' himpun jenama tempatan
Para pendaki mesti melakukan permohonan 48 jam daripada waktu mereka ingin melakukan pendakian dengan pembayaran harus dilakukan dalam tempoh 24 jam selepas permohonan diluluskan.
"Sesiapa yang didapati memasuki hutan simpan kekal tanpa permit yang sah boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhutanan Nasional 1984 yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000 dan penjara sehingga lima tahun," kata Jabatan Perhutanan Selangor.
Jabatan itu turut mengatakan yang pautan permohonan akan disiarkan pada 1 April di media sosial mereka termasuk panduan turut disediakan.
Dalam pada itu, Jabatan Perhutanan Selangor mengumumkan yang semua Taman Eko Rimba di bawah pengurusannya akan ditutup pada 31 Mac dan 1 April bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sejak 1 September 2024, kemasukan pelawat ke semua 43 kawasan rekreasi dan pendakian di hutan simpan kekal Selangor dihadkan bagi menjaga kualiti alam sekitar daripada tercemar. — The Star/SHALINI RAVINDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram