
KONSEP jualan di bawah satu bumbung semakin mendapat perhatian terutama dalam industri fesyen dan gaya hidup.
Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan pengunjung mendapatkan pelbagai jenama dalam satu tempat, tetapi juga memberi pengalaman membeli-belah secara tersusun dan lebih baik.
Acara pop-up, bazar eksklusif dan platform berkonsepkan komuniti semakin menjadi pilihan kerana menghimpunkan variasi jenama tempatan sambil menawarkan elemen tambahan seperti aktiviti interaktif, ruang kreatif dan perkongsian ilmu.
Inisiatif seperti ini bukan sekadar tempat jual beli, tetapi mencipta ruang untuk kolaborasi dan membentuk hubungan lebih erat antara pereka, usahawan dan pelanggan.
BACA LAGI: Sarimah, Lisdawati antara selebriti sumbang baju raya 'pre-loved' untuk mereka memerlukan
BACA LAGI: 'Ready-to-wear' atau tempah khas, ini jenama fesyen raya pilihan Daiyan, Syamim dan Dynas
Min Luna merupakan individu kuat di sebalik CirKLe. — Instagram/@minluna
CirKLe, sebuah inisiatif baharu dari Min Luna Creative Agency (MLCA), melancarkan acara pop-up pertamanya di The Campus Ampang, Ampang, Selangor.
Acara berlangsung selama sepuluh hari ini bermula dari 17 Mac hingga 26 Mac 2025, bertujuan menghimpukan pelbagai jenama fesyen tempatan di dalam satu ruang berkonsepkan Ivy League.
Menurut Pengarah Kreatif MLCA, Min Luna yang juga orang kuat di sebalik penganjuran CirKLe, konsep tersebut diinspirasikan daripada ‘Circle of Kuala Lumpur’.
“Kami mahu mencipta pop-up yang lebih tersusun dan eksklusif dengan menampilkan pereka muda dan jenama tempatan yang pelbagai,” katanya.
Acara jualan berkenaan menampilkan 33 vendor, termasuk jenama terkenal seperti Hanya, Larney, Syomirizwa Gupta, Anaabu dan banyak lagi.
"Di CirKLe, pengunjung boleh lihat pelbagai jenama fesyen yang mempunyai nilai estetika tersendiri," ujar kakak kepada pelakon, Nadiya Nisaa itu.
Bertanya mengenai rancangan untuk melakukan siri jelajah ke negeri lain untuk raya tahun akan datang, Min berkata, beliau belum lagi memikirkan ke arah itu.
Studio fotografi disediakan bagi pengunjung memotretkan gambar bersama orang tersayang. — Instagram/circkle.community
"Macam cepat sangat pula. Apabila pertama kali menganjurkan pop-up, kami memikirkan ia perlu lebih sekadar pop-up. Sebab di CirKLe, kita buat semua.
"Sebab itu kami sediakan ruang khas studio fotografi di mana pengunjung boleh datang, beli-belah dan ambil gambar di sini. Studio fotografi dikendalikan oleh jurugambar fesyen terkenal, iaitu Aaron Lee dan Ayman Yazid," jelasnya.
Bukan fesyen semata, malah, pengunjung juga boleh mendapatkan pengisian rohani menerusi ceramah agama oleh Ustaz Mizi Wahid dan Ustazah Liyana Musfirah yang turut diadakan.
Mengulas mengenai harapannya terhadap CirKLe, beliau tidak mengharapkan sesuatu yang besar, sebaliknya mahu cuba sebaik mungkin untk menyatukan segala aktiviti di bawah satu bumbung tanpa terhad dengan fesyen.
"Saya bukanlah nak sesuatu yang besar sebab saya rasa, apabila sesuatu komuniti itu terlalu besar, kami takut kalau acara dianjurkan lari daripada konsep asal.
"Sebab itulah kami perkenalkan studio fotografi dan pada masa sama pengunjung boleh ikut serta sesi ceramah oleh Ustaz dan ustazah yang dijemput," ujarnya.
CirKLe Pop-Up dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Pengunjung yang berbelanja RM350 dan ke atas layak menebus barangan eksklusif seperti topi, termos, atau buku nota bertemakan kampus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram